RENCANA

Utusan Malaysia 03 April 2001

Jadikan orang Melayu progresif

WACANA Datuk Dr. Hassan Ahmad bertajuk Jati diri Melayu pada Alaf Baru (Lihat Utusan Malaysia, 29 Mac) mengundang ulasan. Ia menarik dan penting, khususnya, dari dua segi: pemikirannya yang tidak ortodoks tentang negara-bangsa dan penekanan terhadap bahasa kebangsaan sebagai alat penciptaan tamadun.

Saya bersetuju bahawa jati diri bangsa itu sesuatu yang asas dan bersifat alamiah. Manusia dilahirkan sebagai anggota sesuatu kaum atau bangsa, bukan ke dalam dunia manusia yang abstrak, yang mewarisi cara hidup mereka, termasuk bahasa turun-temurun. Kaum dan bangsa ini hanya boleh dibangunkan tamadunnya melalui bahasa bangsa itu sendiri, kerana inilah kebiasaan dan cara hidup mereka. Ini tidak bermakna kita tidak perlu mempelajari bahasa-bahasa ilmu yang lain.

Kita jangan lupa bahawa empayar dan tamadun Arab-Islam itu telah jatuh sejak abad keempat belas, walaupun mereka tetap berpegang kepada jati diri, bahasa dan agama Islam mereka. Apakah yang menyebabkan kejatuhan mereka, itu yang menjadi persoalan yang ditinggalkan tidak terjawab dalam wacana itu.

Contoh, Amerika Syarikat menunjukkan tertubuhnya suatu bangsa baru daripada pelbagai kumpulan etnik Eropah dengan bahasa Inggeris diterima sebagai bahasa rasmi tetapi tanpa satu agama rasmi, walaupun mereka tetap mempunyai pandangan hidup.

Saya bersetuju juga dengan Datuk Hassan bahawa globalisasi, satu jenis proses internasionalisme, bukan perkara baru. Dunia memulakan proses internasionalisme ini lebih 1,400 tahun dulu dengan kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w di Semenanjung Arab, yang dibangkitkan untuk seluruh manusia. Sebelum ini, semua nabi dan rasul dibangkitkan untuk sesuatu kaum dan bangsa saja.

Empayar Romawi mungkin dianggap sebuah empayar yang bersifat pelbagai bangsa, tetapi kita tidak dapat nafikan bahawa tamadun moden, atau lebih tepat dipanggil tamadun Eropah moden, bersifat paksi-Eropah (Eurocentric) dan dilahirkan daripada pokok tamadun Yunani-Romawi-Yahudi-Kristian, atau Eropah Lama. Sikap kolonial bangsa-bangsa Eropah yang telah terbukti dalam sejarah, mungkin berasal daripada pandangan hidup paksi-Eropah ini.

Seperti yang telah kita lihat, tiap perkembangan sains dan teknologi moden ada baik dan buruknya. Tenaga atom boleh digunakan untuk menjadikan dunia ini sebuah taman yang indah, tetapi boleh juga digunakan untuk memusnahkan, seperti dalam contoh kemusnahan di Hiroshima dan Nagasaki.

Semuanya bergantung kepada kumpulan mana yang mempengaruhi dan menguasai proses evolusi pada sesuatu zaman, kumpulan mukmin, kumpulan kafir atau munafik.

Sekarang kita tiba kepada soalan akhir dalam wacana itu: peranan Islam dalam tamadun Melayu. Datuk Hassan mendakwa orang Melayu masih kekal dalam satu sejarah yang agak lama, sudah 1,400 tahun, mengira dari zaman Kerajaan Melayu Sri Wijaya.

Ini kerana kita tetap berpegang teguh kepada bahasa kita dan agama Islam. Tetapi bagaimana dengan bangsa-bangsa besar yang lain, seperti China, India, Eropah dan Rusia. Bangsa-bangsa ini membangunkan tamadun-tamadun mereka, betul melalui bahasa-bahasa mereka, tetapi agama mereka berlainan.

Bagaimanapun, kita tidak harus melupakan contoh kebangkitan tamadun Arab-Islam, yang bangkit begitu cepat dan mengagumkam bangsa-bangsa yang sezaman dengan mereka. Contoh ini membuktikan pentingnya peranan agama Islam sebagai penggerak tamadun Islam yang pertama.

Nyatalah agama Islam, pada peringkat awal, telah memainkan peranan yang dinamik dalam pembangunan tamadun Arab, tetapi peranan ini telah merosot bersama kejatuhan tamadun itu. Bangsa-bangsa lain yang menganut agama yang berlainan (Buddha, Hindu atau Kristian) juga telah membangunkan tamadun-tamadun yang besar. Mengapakah Islam dahulu membawa bangsa Arab ke mercu tamadun, tetapi bangsa-bangsa yang menganut agama Islam sekarang, seperti Arab, Indonesia, Iran dan Pakistan, mundur dan duduk pada anak tangga bawah dalam skala tamadun?

Mungkinkah Islam pada zaman awal itu lebih hampir kepada ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam Quran daripada Islam sekarang yang diwarisi dari kaum teologi-fukaha seribu tahun dulu?

Agak nyata bahawa agama sekarang sudah menjadi sesuatu yang bersifat tradisional yang diwarisi turun-temurun bagi semua bangsa. Fungsinya sebagai penggerak bangsa sudah hilang. Apa yang lebih penting sebagai pedoman hidup kita ialah pandangan hidup atau budaya hidup. Inilah yang mendorong sesetengah pemimpin kita memperkenalkan konsep Melayu Baru dengan budaya baru yang lebih dinamik dan kreatif daripada budaya lama. Tetapi kebanyakan orang Melayu, tidak seperti orang-orang Eropah yang beragama Kristian, lebih 'selesa' dengan agama Islam tradisional mereka, walaupun pandangan hidup golongan elit mereka diambil daripada pelbagai aliran falsafah moden Eropah, seperti liberalisme, eksistensialisme, pragmatisme, positivisme dan komunisme.

Saya fikir inilah punca perpecahan dalam masyarakat Melayu sekarang dengan Pas menjuarai aliran Islam tradisional (dibantu oleh kaum penjajah baru Inggeris-Amerika yang mahu menghapuskan kaum nasionalis dalam UMNO), dan UMNO, khasnya Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, mempelopori aliran moden, yang lebih hampir kepada jiwa Islam.

Tamadun Melayu Baru perlu dibina melalui bahasa mereka sendiri dan ini pun sedang dilakukan. Penyelewengan dari dasar ini perlu dibetulkan, tanpa menghalang pelbagai suku kaum mempelajari bahasa ibunda mereka. Pandangan hidup kita tidak dapat tidak mestilah diambil daripada pandangan hidup yang paling benar di antara pandangan-pandangan hidup yang wujud di dunia sekarang. Jadi, bagi orang Melayu dan bangsa Malaysia sekarang, satu gabungan jati diri yang kuat dengan falsafah hidup yang progresif merupakan satu-satunya jalan keluar yang selamat. - KASSIM AHMAD, Pulau Pinang.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi