Make your own free website on Tripod.com

RENCANA

Berita Harian 06 April 2001

Dialog: Masyarakat Cina peranakan Kelantan rasa terpinggir


SEJAK Lee Kuan Yew membuat ulasan mengenai sistem pendidikan negara, ramai yang memberi pandangan masing-masing.

Saya dapati ramai menuding jari ke arah sekolah jenis kebangsaan sebagai punca wujudnya perpecahan antara warga berbilang kaum di negara kita ini.

Ingin saya menyuarakan pendapat bahawa sistem pendidikan sekarang atau adanya sekolah beraliran bahasa Cina dan Tamil bukanlah punca polarisasi kaum.

Walaupun ramai antara pemimpin negara sering lantang berbangga rakyat berbilang kaum di Malaysia begitu beruntung kerana semua bersatu dan tidak berpecah belah, hakikatnya ialah polarisasi amat ketara antara rakyat berbilang kaum.

Usaha untuk meningkatkan integrasi hanya setakat memaniskan bibir. Kerana polarisasi yang ketara inilah, maka terdapat 90 peratus penuntut keturunan Cina bersekolah di sekolah jenis kebangsaan.

Ini bermakna mereka daripada keturunan Baba dan Nyonya serta mereka dari peranakan Kelantan juga bersekolah Cina.

Saya tidak berapa pasti keadaan sebenar masyarakat Baba tetapi sebagai seorang yang berasal daripada keluarga yang sudah lama menetap di Kelantan, saya dapati hampir semua kanak-kanak keturunan Cina di Kelantan bersekolah Cina.

Untuk pengetahuan mereka yang tidak kenal dengan orang Cina dari Kelantan, saya ingin memberi sedikit huraian.

Kami dari Kelantan sudah berada di sini sejak zaman Munsyi Abdullah lagi (sila rujuk Kisah Pelayaran Abdullah).

Hasil pendekatan dengan rakyat tempatan sejak sekian lama, kami sudah amat berubah.

Kebolehan kami berloghat Kelantan dan cara hidup kami amat berbeza daripada orang Cina lain.

Malah, seorang tokoh pendidik Cina berpendapat bahawa kami bukan Cina dan tidak perlu mereka ambil kira untung nasib kami. Pendek kata, kami tidak begitu diterima arus perdana masyarakat Cina.

Dari segi integrasi, sekiranya apa yang termaksud ialah penerimaan budaya tempatan oleh puak pendatang, maka kami di Kelantan tidak kurang dari masyarakat Baba.

Kalau Baba giat dengan seni Dondang Sayang, dari Kelantan ada orang Cina yang menjadi juara berdikir, tokoh seni budaya wayang kulit dan sebagainya.

Antara orang Cina Kelantan yang giat dalam seni budaya Kelantan ini, terdapat seorang yang disebut sebagai guru oleh seorang tokoh yang direncanakan dalam ruangan sastera dan budaya Berita Harian 24 Februari 2001. (Rujuk Che Mat Jusoh, pakar alat muzik tradisional)

Sebelum negara merdeka dan juga buat beberapa tahun selepas merdeka, hampir semua peranakan Cina Kelantan bersekolah Melayu.

Ramai generasi saya memulakan pendidikan di bangsal sekolah kampung terdekat.

Yang berjaya dimasukkan ke kelas special Malay di sekolah Inggeris.

Apa yang terjadi ialah tidak ramai daripada kami yang tahu berbahasa Mandarin.

Kami berupaya menguasai bahasa Melayu setanding orang Melayu jati.

Seorang Cina yang sudah mendapat tempat dalam dunia kesusasteraan Melayu moden sekarang berasal dari Kelantan.

Dengan keadaan yang terhurai di atas, apakah yang mendorong kami menghantar anak ke sekolah Cina?

Anak kami fasih berbahasa Melayu dan kami tidak bermasalah langsung kalau hendak membantu anak kami dalam pelajaran sekiranya mereka bersekolah Melayu.

Sebaliknya, tidak ramai antara kami yang berupaya membantu kerja sekolah dari sekolah Cina.

Orang Cina Kelantan sekarang tidak lagi menghantar anak ke sekolah kebangsaan.

Kami yang berjiwa Malaysia mendapati diri kami terpinggir dalam masyarakat Malaysia moden.

Kami bukan Melayu dan juga bukan Islam. Dalam persaingan hidup harian, kami selalu terpinggir. Kami tidak berhak ke atas keistimewaan Bumiputera.

Apa yang lebih menyedihkan ialah dalam persaingan untuk kemudahan yang diperuntukkan kepada bukan Bumiputera, kami tidak setanding dengan orang Cina lain yang mungkin masih mendongak ke arah Beijing untuk segala ilham dan petunjuk.

Kami orang Cina Kelantan berasa terabai oleh pihak berkuasa.

Perasaan terpinggir dan terabai ini memaksa kami cuba menyesuaikan diri dengan masyarakat Cina lain yang terdapat di Malaysia.

Jika begini, akan hilanglah masyarakat Cina Kelantan yang sudah hampir sebati dengan orang Melayu Kelantan.

Tidak akan ada lagi tokoh seni budaya Kelantan keturunan Cina. Tidak seorang pun cucu atau cicit tokoh yang diakui sebagai guru oleh Che Mat Jusoh, bersekolah Melayu.

Bukan sistem pendidikan yang patut disalahkan. Tidak perlu dipersoalkan apakah kami mengamalkan sikap perkauman.



CINA KAMPUNG,

Ipoh, Perak.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi