Make your own free website on Tripod.com

RENCANA

Berita Harian 06 April 2001

Dari Meja Ketua Biro: Ketua Menteri baru diyakini mampu hapus kemiskinan luar bandar

Oleh Lichong Angkui

DARIPADA sidang akhbar pertama ketika mengumumkan barisan Kabinet barunya minggu lalu kepada sidang akhbar kedua selepas mesyuarat Kabinet pertama kelmarin, seseorang dapat membaca dengan jelas betapa tinggi azam dan harapan Ketua Menteri yang baru, Datuk Chong Kah Kiat, terhadap rakyat dan negeri Sabah.

Mengakui tempoh dua tahun menyandang jawatan itu begitu singkat, Chong tanpa membuang masa menggariskan beberapa agenda sasaran untuk dilaksanakan.

Pada sidang akhbar pertama, Chong menyatakan keutamaannya ialah kepada soal mengurangkan tahap kemiskinan di kalangan penduduk luar bandar di Sabah selain tumpuan kepada sektor pertanian dan pelancongan.

Kemudian pada sidang akhbar kelmarin, tiga aspek lagi disenaraikan sebagai keutamaannya - pendatang asing, pembalakan haram dan pengeboman ikan - untuk ditangani sepanjang tempohnya menerajui tampuk pemerintahan.

Hakikatnya, semua soal yang disebutkan itu sebenarnya bukan masalah baru. Ia bukan diwarisi daripada Ketua Menteri era penggiliran saja, malah dipusakai sejak berdekad-dekat dulu ketika zaman Usno, Berjaya dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Isu kemiskinan, pendatang asing, pembalakan haram dan pengeboman ikan, sudah sinonim dengan politik Sabah sejak pasca merdeka. Walaupun pelbagai langkah dan pelbagai pendekatan diambil sebelum ini, ternyata generasi hari ini masih diulit kemelut itu.

Sebenarnya, usaha menangani dan membanteras masalah yang disenaraikan itu bukan terletak pada soal penguatkuasaan undang-undang. Ia terletak pada kesungguhan dan keazaman politik.

Bagaimana berat pun hukuman diperuntukkan mengikut undang-undang dan seramai mana pun pegawai penguat kuasa, ia tidak mungkin dapat menangani permasalahan yang disebutkan tanpa kesungguhan politik.

Komitmen dan kesungguhan politik penting kerana sejak sekian lama kedengaran apa yang disebut sebagai ‘politik kayu balak’ serta ‘kepentingan politik’ berhubung kebanjiran sekian ramai pendatang asing di negeri ini.

Kini, masalah menjadi bertambah rumit. Kawasan balak semakin mengecil dan pupus, manakala bilangan pendatang asing pula terus meningkat.

Begitu juga dalam soal kemiskinan. Sejak era penggiliran bermula pada 1994 lagi, ia sentiasa disebutkan sebagai keutamaan. Tetapi hingga kini, peratusan kadar kemiskinan masih tidak jauh berubah berbanding ketika pemerintahan kerajaan terdahulu.

Sewajarnya, usaha membanteras kemiskinan perlu terus diberi perhatian serius memandangkan kadar kemiskinan di Sabah masih pada tahap tinggi berbanding negeri lain.

Ini mungkin boleh dilakukan dengan menjana pembangunan ekonomi desa secara agresif bagi membebaskan penduduk di kawasan kampung tidak hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Khabarnya, sebelum ini kerajaan negeri sudah menubuhkan Institut Perusahaan Kecil dan Sederhana (IPKS). Tetapi, berapa ramai sudah mendapat manfaat daripadanya? Berapa ramai bilangan usahawan desa berjaya dilahirkan menerusi Pelan Strategik Pembangunan Luar Bandar Sabah?

Pelantikan dua Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, iaitu Datuk Masrani Parman dan Datuk Norjan Khan Bahadar, dalam Kabinet baru Chong minggu lalu, adalah manifestasi jelas komitmen kerajaan untuk menangani isu kemiskinan rakyat di negeri ini.

Malah, pemilihan Masrani selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bengkoka, iaitu antara kawasan yang masih dicengkam kemiskinan di utara Sabah, menunjukkan sikap serius kerajaan ke arah itu.

Persoalannya, apakah Chong mampu melakukan sesuatu yang lebih baik daripada Ketua Menteri sebelum ini? Hanya keadaan dan masa menentukan! Rakyat Sabah adalah hakim dan pemerhati yang setia. Mereka akan menilai dan menghakimi apabila tiba masanya kelak.

Seperti diakui oleh Chong kelmarin, sememangnya tidak mudah menyelesaikan segala masalah yang digariskan itu dalam sekelip mata. Namun, pada masa sama beliau mengakui masalah yang dihadapi kini sudah mencapai tahap serius dan tidak boleh dibiarkan berterusan.

Justeru, katanya, dengan memberi kesungguhan politik kepada agensi penguat kuasa berkaitan serta sokongan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri berkeyakinan menangani masalah berkenaan secara berperingkat-peringkat.

Hakikatnya, Chong dan Jemaah Menteri yang lain memikul satu amanah dan tanggungjawab besar untuk rakyat Sabah. Pencapaiannya sepanjang dua tahun ini akan dibandingkan dengan dua tahun terdahulu, kemudian rakyat tentunya membuat penilaian pada akhir penggal pemerintahan.

Justeru, sama-samalah mengambil iktibar daripada peribahasa Melayu ‘sebelum hujan petir bertalu kilat bersabungan’ demi menjamin masa depan rakyat Sabah yang lebih gemilang pada alaf baru ini.

Dengan keazaman politiknya yang tinggi, Chong diyakini bukan saja mampu membebaskan penduduk dari Teluk Marudu hingga ke Teluk Usukan daripada belenggu kemiskinan, tetapi rakyat Sabah keseluruhannya dalam tempoh sesingkat dua tahun ini.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi