Make your own free website on Tripod.com

RENCANA

Berita Minggu 08 April 2001

PM tidak mahu kemajuan Melayu terhalang


GUA MUSANG: Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata, penentangan keras beliau terhadap Pas pada masa ini berpunca daripada usaha pemimpin parti itu mahu menggagalkan kemajuan umat Islam negara ini melalui tindakan yang bertentangan dengan ajaran agama.

Perdana Menteri berkata, Pas sebenarnya bukanlah sebuah parti Islam seperti yang didakwa oleh pemimpinnya sebaliknya parti itu bertanggungjawab mengkhianati perjuangan orang Islam.

“Dia (Pas) membuat perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam, tetapi dia masih dapat menipu pengikut-pengikut Pas, sehingga mereka terus menyokong.

“Bila kita terangkan kepada pengikut Pas, dia dok kata itu juga, dia dok kata dia betul, dia Islam. Sebenarnya dia jauh daripada Islam, bahkan mengkhianati perjuangan orang Islam,” katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Gua Musang di sini, semalam.

Turut hadir Tengku Razaleigh Hamzah, yang kekal sebagai ketua bahagian itu, Setiausaha Agung Umno Tan Sri Khalil Yaakob dan Ketua Penerangan Umno, Datuk Mustapa Mohamed, yang juga Ketua Perhubungan Umno Kelantan.

Presiden Umno berkata, suatu masa dahulu Umno dituduh kafir kerana berbaik-baik dengan orang kafir dan meminta rakyat supaya tidak menyokong parti itu.

Tetapi sekarang katanya, mereka yang mendakwa hendak mendirikan negara Islam berkawan dengan orang kafir, orang yang pernah mengatakan ‘langkah mayat saya dahulu sebelum menubuhkan negara Islam’.

“Kini, Paslah yang merupakan parti kafir kerana mereka sengaja menggunakan isu kafir untuk mengurangkan sokongan rakyat terhadap Umno. Hari ini untuk mendapatkan sokongan daripada orang bukan Islam, awak sanggup meludah muka sendiri,” katanya.

Beliau berkata, tindak tanduk Pas itu membuktikan parti itu menggunakan agama untuk kepentingan politiknya dan bukan untuk kepentingan umat Islam.

Apa yang mampu dilakukan oleh Pas dalam memperjuangkan agama Islam di negara ini selain menggunakan nama Islam dalam partinya.

“Yang dapat dilihat ialah mereka punca memecahbelahkan umat Islam sedangkan Islam menyuruh umatnya bersaudara.

“Sebaliknya, Pas lebih suka berpecah belah kerana jika rakyat pecah belah ia membawa sokongan kepada parti itu.

“Mengkafirkan sebahagian besar umat Islam menunjukkan Pas tidak memegang ajaran Islam tetapi mereka berjaya memperdayakan rakyat. Contohnya mereka mendakwa tuhan mencarut, menggunakan perkataan jijik dalam novel satira, Shahnon Ahmad.

Ini satu lagi bukti bahawa Pas bukan parti Islam tetapi parti yang sebenarnya mengkhianati agama Islam, mempergunakan agama untuk kepentingan parti tetapi bukan untuk kepentingan Islam,” katanya.

Menurutnya, banyak lagi kesalahan dari segi agama Islam yang dilakukan oleh pemimpin parti itu tetapi malangnya, masih ada penyokong yang dipimpin oleh orang yang menghina Islam menafikan persaudaraan orang Islam menyokong perjuangannya.

“Mengapa mereka (rakyat) masih sanggup mengikut mereka yang jelas tidak mengikut ajaran Islam. Ini kerana mereka parti assabiyah, parti fanatik yang menyokong perjuangan parti assabiyah. Di zaman nabi dahulu terdapat banyak kabilah Arab yang bermusuh antara satu sama lain. Permusuhan mereka itu berlarutan sehingga melepasi generasi demi generasi tetapi golongan ini memang bermusuh dengan satu kabilah lain,” katanya.

Menurutnya, orang yang bersubahat dengan perkara yang bertentangan dengan Islam dilarang oleh agama Islam.

“Walaupun kita tunjukkan kepada mereka apa yang sebenarnya dikehendaki Islam mereka tetap bermati-matian dengan perjuangan mereka. Inilah perjuangan mereka, begitu taksub dan fanatik dan amalan taksub itu dilarang Tuhan serta ditegah oleh Islam,” katanya.

Beliau mendakwa, Pas menghantar anak-anak mereka masuk universiti tetapi tidak dapat memberi tumpuan kepada pelajaran kerana terganggu oleh isu yang dibawa oleh pemimpin parti itu menyebabkan mereka gagal mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi