Make your own free website on Tripod.com

RENCANA

Berita Minggu 08 April 2001

Menteri Besar raja tanah di negeri-negeri

Kiau

KIAU tertarik dengan tulisan wartawan dan ahli politik Datuk Adam A Kadir dalam Utusan Malaysia khamis lalu tentang tindakan letak jawatan Datuk Fauzi Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Beserah.

Kiau pun dah ulas hal itu minggu lalu. Jadi tak payahlah kita ulang. Yang Kiau nak sentuh ialah ulasan Adam tentang kuasa Menteri Besar, khasnya ke atas tanah.

Tanah jadi isu besar dalam dakwaan Fauzi terhadap bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Mohd Khalil Yaakob.

Adam orang politik dan anak Pahang. Maka apa yang dia ulas itu tentulah ada unsur-unsur “inside information” atau maklumat dalaman yang kita tak tahu.

Kiau cukup tertarik apabila dia kata: “Sebenarnya tidak banyak jawatan dalam dunia yang mempunyai kuasa begitu meluas seperti kuasa seorang Menteri Besar.”

Bunyinya dramatik tapi Kiau setuju banyak kebenaran kepada kenyataan itu. Adam kata, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra pernah tulis dalam surat khabar The Sun mengatakan dia kesal bagi kuasa begitu besar kepada Menteri Besar menjelang kemerdekaan.

Kita semua tahu kuasa Menteri Besar terhadap tanah, hutan belantara dan hasil bumi. Disebabkan kuasa inilah Menteri Besar begitu berkuasa. Malah dari sudut tertentu Menteri Besar boleh dikatakan lebih berkuasa dan berpengaruh daripada Perdana Menteri.

Begitu berkuasa dan terpengaruh sehingga ada Menteri Besar dan Ketua Menteri dalam sejarah yang berani, sama ada secara terbuka atau berselindung, cabar kuasa Perdana Menteri dan kuasa Kerajaan Pusat.

Kiau nak cerita balik pengalaman dengan salah seorang bekas Menteri Besar Selangor.

Satu hari, Kiau jumpa Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di pejabat lamanya di Kuala Lumpur. Kebetulan hari itu akhbar The Malay Mail siar gambar hutan simpan Sungai Buloh sedang ditebang tebas untuk dijadikan padang golf. Malay Mail berkempen pertahan hutan simpan itu daripada diteroka.

Itu cerita lama. Yang menarik ialah ulasan Dr Mahathir tentang gambar dan laporan Malay Mail itu. Dr Mahathir berkata lebih kurang macam ini:

“Menteri Besar baru jumpa saya. Saya minta lebih banyak tanah untuk rumah murah. Dia kata Selangor tak ada tanah. Tapi tengok dia bagi tanah negeri untuk padang golf.”

Sejak itu Perdana Menteri dan Kabinet berulang kali cakap soal pengurusan tanah dan pembangunan tanah kerajaan-kerajaan negeri seperti pembangunan tanah tinggi dan pergunungan yang sangat tidak memuaskan.

Tak payahlah Kiau sebut bekas Menteri Besar Selangor yang mana yang dimaksudkan itu. Selangor ada banyak bekas Menteri Besar. Cukuplah kalau Kiau katakan dia adalah antara Menteri Besar Selangor yang terpaksa undur diri dalam suasana yang kontroversi. Lebih banyak Menteri Besar Selangor yang berundur secara itu daripada bersara secara biasa.

Kiau berani kata mana-mana Menteri Besar pun akan terjebak dengan kontroversial atau lebih teruk daripada itu kalau mereka bermain api dengan isu tanah. Lambat laun rahsia mereka pecah juga.

Kiau harap Menteri Besar Selangor sekarang, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, yang sering dipuji dan disanjung, berhati-hati jalankan kuasa ke atas tanah. Dia kena ambil berat segala tuduhan dan dakwaan terhadapnya mengenai tanah kalau nak selamat.

Maaflah kalau Kiau kata salah satu punca masalah tanah di negeri-negeri ialah kerana Menteri Besar pegang jawatan lama sangat. Tanah bukan sekadar “faktor pengeluaran” tapi “faktor politik” yang sangat hebat kesannya.

Ada Menteri Besar yang pegang jawatan sampai 25 tahun sehinggalah dia dan kerajaannya kalah pilihan raya. Di kalangan Menteri Besar, ada yang sudah duduk kerusi itu 19 tahun. Kalau Ketua Menteri ada yang sudah 20 tahun. Sudah jadi macam raja.

Tapi kuasa macam pisau dalam lipatan. Tak betul jaga boleh tikam diri. Sebab itulah banyak Menteri Besar dan Ketua Menteri yang terjebak dengan rasuah, salah guna kuasa dan jenayah berat.

Maksud Kiau bukan setakat tuduhan atau dakwaan liar tapi di depan pengadilan. Ada yang dihukum mati dan ada yang dihukum penjara. Ada yang dituduh tapi tidak sabit kesalahan. Akhirnya rakyat tidak percaya lagi kepada mereka.

Elok kalau mulai sekarang tempoh seseorang jadi Menteri Besar atau Ketua Menteri dihadkan, sama ada satu penggal pilihan raya (antara empat hingga lima tahun) atau paling lama dua penggal. Tak payah buat undang-undang hanya jadikan amalan dalam parti.

Walaupun tanah hak negeri, Kerajaan Pusat boleh minta maklumat sebagai syarat tidak wajib atau guna peruntukan pusat seperti Alam Sekitar dan sebagainya untuk pantau kegiatan kerajaan-kerajaan negeri.

Kalau tidak, tak mustahil ada negeri yang jadi padang jarak padang tekukur.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi