Make your own free website on Tripod.com

RENCANA

Berita Harian 09 April 2001

Nasib Melayu akan jadi seperti di Singapura

GEORGETOWN, Ahad – Orang Melayu di negara ini akan mengalami nasib yang sama seperti orang Melayu di Singapura jika mereka memberi peluang kepada parti pembangkang memegang tampuk pemerintahan negara.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Mustapa Mohamad, berkata orang Melayu perlu sedar bahawa Pas dan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) tidak memperjuangkan nasib mereka kerana kedua-dua parti itu lebih tunduk kepada prinsip yang dipegang DAP.

“DAP memperjuangkan gagasan `Malaysian Malaysia’ sama seperti yang diamalkan oleh Singapura yang mengamalkan dasar `meritokrasi’, yang ternyata telah meminggirkan orang Melayu di republik itu,” katanya.

Berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Tanjung di Hotel City Bayview di sini hari ini, beliau berkata pakatan parti pembangkang itu akan merugikan masa depan orang Melayu dan memusnahkan wawasan Umno dalam memperjuangkan nasib mereka.

Seramai 186 perwakilan daripada 28 bahagian Umno dalam kawasan Tanjung menghadiri persidangan kali ini. Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Tanjung, Datuk Ahmad Ibnihajar dan timbalannya, Kapten Mohd Noor Abdul Ariff.

Mustapa berkata, Pas dan Keadilan juga tidak menghormati hak keistimewaan orang Melayu seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan apabila kedua-duanya bersekongkol dengan DAP menyokong tuntutan Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Masyarakat Cina (Suqiu) yang antara lain mahukan hak keistimewaan orang Melayu dihapuskan.

“Orang Melayu perlu sedar perkara ini. Jangan biarkan pembangkang memerintah negara ini jika mereka tidak mahu menerima nasib seperti orang Melayu di Singapura,” katanya.

Beliau yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata, pakatan DAP, Pas dan Keadilan dalam pilihan raya umum 1999 memberi keuntungan kepada mereka kerana memenangi banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, tetapi ia amat merugikan orang Melayu.

Katanya, untuk memastikan orang Melayu terus memberi sokongan terhadap Umno, pemimpin Umno di semua peringkat perlu insaf dan jangan angkuh serta mengutamakan perjuangan nasib orang Melayu.

Mustapa berkata, pemimpin dan anggota Umno perlu mengembalikan semangat dan komitmen perjuangan sama seperti ketika penubuhan Umno kerana kini ramai yang leka dengan kuasa dan kemewahan yang dimiliki.

Beliau juga meminta mereka mencari jalan untuk mengembalikan kekuatan Umno selain berjuang dengan semangat yang tinggi.

Bercakap pada sidang akhbar kemudian, beliau berkata Umno akan mengadakan program penerangan secara lebih agresif bagi menangkis tohmahan parti pembangkang, termasuk melalui pengedaran pita dan kaset secara meluas membabitkan ucapan pemimpin dan tokoh agama Umno.

Katanya, Umno tidak lagi akan bertahan dengan tohmahan dan fitnah yang dilemparkan pembangkang, sebaliknya akan mengadakan kempen penerangan secara agresif, terhadap penyelewengan yang dilakukan pembangkang.

Beliau berkata, buat permulaan pita dan kaset itu sudah diedarkan kepada orang ramai secara berperingkat-peringkat sejak dua minggu lalu melalui bahagian dan cawangan Umno seluruh negara untuk menyampaikan mesej parti kepada rakyat.

“Sebelum ini, kita (Umno) lebih banyak bertahan hingga dalam beberapa keadaan tertentu ia digunakan oleh pembangkang untuk menghentam Umno dan kerajaan,” katanya.

Mustapa berkata, disebabkan Umno lebih banyak bertahan, pembangkang bertambah berani mencabar polis dan semakin angkuh termasuk ketika berada di Parlimen.

“Sebelum ini, apabila kita kembali membalas serangan pembangkang, ramai yang meminta kita (Umno) mengendurkan serangan dan keadaan itu sering diambil kesempatan oleh pihak lain untuk memburukkan imej Umno.

“Umno tidak lagi boleh bertahan kerana pilihan raya umum sudah semakin hampir dan tinggal beberapa tahun lagi menjelang 2004 dan jika terus bertahan buruk padahnya,” katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi