Make your own free website on Tripod.com

RENCANA

Berita Harian 09 April 2001

Dari Lorong Kiri: Apabila kes jenayah disalah tafsir


Kes pergaduhan yang dicetuskan oleh kumpulan kongsi gelap atau antara individu tertentu memang sering berlaku di mana-mana sekali pun. Punca pergaduhan juga adalah pelbagai. Jika angkara anggota kongsi gelap, ia mungkin berlaku kerana masing-masing mahu menunjukkan kekuatan atau perselisihan sesama anggota kumpulan berkenaan. Itulah sebabnya anggota kumpulan kongsi gelap ini turut dikaitkan dengan kumpulan samseng. Bergaduh adalah asam garam samseng kerana mereka tidak dapat berfikir dengan waras.

Bagi pergaduhan yang membabitkan individu pula, ia boleh berlaku disebabkan perselisihan pendapat, cemburu, berpunca daripada wang dan sebagainya. Pergaduhan yang tercetus akibat perkara kecil boleh merebak apabila lebih ramai orang yang bersimpati dengan kumpulan atau individu tertentu.

Kebelakangan ini, pergaduhan antara kumpulan mudah mencetuskan peristiwa yang lebih besar apabila punca sesuatu pergaduhan dikaitkan dengan isu perkauman. Apabila mereka yang terbabit dalam pergaduhan itu mewakili dua kaum yang berbeza, maka pergaduhan itu mudah dikaitkan dengan pergaduhan kaum.

Mereka membuat andaian sendiri tanpa memberi peluang kepada pihak keselamatan menyelesaikan siasatan. Paling bahaya apabila maklumat yang salah ini sampai ke telinga mereka yang mempunyai semangat perkauman yang agak tinggi. Apabila mereka turut mencari mangsa tanpa memikirkan kesannya, maka dengan sendirinya timbul keadaan yang tegang.

Ini adalah tindakan yang paling bahaya dilakukan. Tidak ada pihak boleh meramalkan kesan sesuatu pergaduhan. Ia tidak semestinya berakhir dengan bengkak di muka atau patah riuk. Pergaduhan yang pada mula kecil, boleh menyebabkan kehilangan nyawa. Jika tidak nyawa orang lain melayang, nyawa sendiri pun mungkin terkorban. Membunuh boleh dijatuhi hukuman mati.

Oleh itu, tidak ada sebab mana-mana pihak perlu menempah maut. Nyawa mereka mungkin selamat sewaktu pergaduhan tetapi mereka belum pasti dapat lari daripada hukuman mahkamah. Keputusan mahkamah tidak mengambil kira soal kaum. Mereka yang bersalah mengikut undang-undang tetap bersalah walau daripada kaum apa sekali pun.

Mahkamah hanya melihat berat atau ringannya sesuatu perbuatan itu, tanpa mengambil kira siapa yang melakukannya. Undang-undang di Malaysia tidak mengambil kira soal kaum. Jika didapati bersalah, mahkamah akan menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Tidak ada sebab mana-mana pihak perlu bertindak mengikut emosi hingga sanggup terjebak ke lembah jenayah berat kerana ia tidak ada kena mengena dengan tanggungjawab mereka. Berilah kesempatan kepada polis menjalankan siasatan dan menyelesaikan kes seperti itu.

Bagi sesetengah kes, belum sempat hasil siasatan diketahui, berita angin merebak kononnya sesuatu pergaduhan itu berpunca daripada sentimen perkauman. Hakikatnya, peristiwa itu adalah kes jenayah biasa. Ia mungkin berlaku akibat kes peras ugut, rompakan dan angkara anggota kongsi gelap. Tetapi, disebabkan penjenayah dan mangsa berbeza kaum, ia dikaitkan dengan isu perkauman. Maklumat palsu seperti ini amat bahaya kerana ia boleh mencetuskan masalah keselamatan negara.

Bagi rakyat yang bertanggungjawab, kita tidak semestinya mengambil bahagian dalam sesuatu pergaduhan yang tidak jelas puncanya. Adalah lebih baik kita memberi kerjasama kepada pihak polis dengan memberi maklumat sekiranya mengetahui atau melihat sesuatu kejadian. Selebihnya kita serahkan kepada pihak berkuasa.

Mereka dapat mengenal pasti punca dan tahu cara menyelesaikan sesuatu kes. Kita mengetahui pasukan polis negara ini adalah antara yang tercekap, jadi kita perlu yakin dengan kemampuan mereka untuk bertindak. Mereka tahu siapa yang mempunyai angkara dan tahu puncanya.

Adalah naif jika kita menganggap pasukan polis tidak dapat mengetahui pihak yang sering mencetuskan masalah di negara ini. Daripada konteks kaum yang sering melakukan perbuatan jenayah, anggota polis dapat mengesan bentuk dan cara tindakan mereka. Polis juga dengan mudah mengetahui kaum mana yang sering melakukan jenayah berasaskan kedudukan ekonomi mereka di samping pergerakan mereka.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menggalakkan, kes jenayah memang mudah berlaku. Jika kes jenayah turut dikaitkan dengan isu perkauman, sudah tentulah keadaan menjadi huru-hara. Bagi tidak menyulitkan keadaan, rakyat tidak seharusnya masuk-campur dengan melakukan tindakan melulu sekali pun mendapat maklumat bahawa penjenayah dan mangsa berbeza kaum. Kemungkinan besarnya ia adalah kes jenayah tulen dan tidak ada kena mengena dengan isu perkauman. Jika semua pihak dapat berfikir dengan tenang, tidak timbul masalah yang boleh mengancam keselamatan negara.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi