RENCANA

Utusan Malaysia 06 April 2001

Dasar Wawasan Negara asas perpaduan

RAMAI pelawat asing kagum apabila melihat rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kebudayaan dapat hidup secara aman dan harmoni.

Ada yang juga terperanjat bahawa krisis ekonomi 1997 tidak memecahbelahkan rakyat negara ini. Ada pula yang cuba menghasut rakyat Malaysia supaya menggerakkan reformasi untuk menumpaskan kerajaan kini juga tidak membawa kesan yang diharapkan.

Sememangnya rakyat Malaysia dapat hidup secara aman dan harmoni berkait rapat dengan dasar pembangunan yang dilaksanakan. Keistimewaan dasar pembangunan negara ialah ia mengimbangkan amalan ekonomi bebas dan campur tangan kerajaan.

Sebelum tahun 1969, amalan ekonomi bebas diberi keutamaan dan ia telah membawa kepada ketidakseimbangan sosioekonomi di antara kaum di negara kita. Tidak kurang yang mengaitkan peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 dengan jurang perbezaan sosioekonomi di antara kaum.

Walaupun peristiwa 13 Mei membawa maut dan kerosakan harta benda, ia juga menyedarkan para pemimpin negara dan masyarakat bahawa sesuatu tindakan yang tegas harus diambil.

Pasaran ekonomi bebas tidak boleh dibiarkan mencari haluan sendiri. Sebaliknya, campur tangan kerajaan amat penting dalam dasar pembangunan negara.

Dalam konteks inilah lahirnya Dasar Ekonomi Baru (1971-1990) yang bertujuan untuk mencapai perpaduan rakyat melalui strategi penyusunan masyarakat dan pembasmian kemiskinan.

Semangat dan falsafah DEB kemudiannya dilanjutkan Dasar Wawasan Negara (1991-2020) di mana Dasar Pembangunan Negara merupakan fasa pertama.

Untuk jangka 2001-2010, Dasar Wawasan Negara akan menjadi strategi dan program di bawah Rangka Rancangan Jangka Panjang 3 (RRJK-3).

Pelaksanaan dasar-dasar pembangunan negara telah membawa kesan-kesan positif. Kesan yang paling jelas ialah peningkatan taraf sosioekonomi mereka yang kurang berada, khasnya golongan bumiputera.

Pada tahun 1970, lebih kurang 49 peratus daripada 1.6 juta isi rumah di Semenanjung Malaysia hidup di bawah garis kemiskinan. Pada tahun 1999 pula, kadar kemiskinan di negara kita telah dikurangkan kepada 7.5 peratus.

Ini bermakna negara kita telah membangun daripada keadaan kemiskinan berleluasa pada 30 tahun lalu hingga kini di mana kemiskinan bukan lagi isu yang penting.

Pada masa yang sama, pendapatan rakyat Malaysia telah meningkat dengan jelasnya. Pada tahun 1970, pendapat purata seisi rumah sebulan ialah RM269 di Semenanjung Malaysia. Ia telah meningkat kepada RM2,607 seisi rumah sebulan pada tahun 1997. Untuk kaum Melayu secara khasnya, ia meningkat daripada RM178 pada tahun 1970 kepada RM2,038 pada tahun 1997.

Begitu juga, dasar pembangunan negara juga memperlihatkan wujudnya satu komuniti kelas menengah bumiputera.

Golongan bumiputera yang serba kekurangan pada 30 tahun yang lalu kini telah dapat memegang ekuiti korporat yang lebih banyak.

Pada tahun 1970, pegangan hak milik dalam syarikat-syarikat berhad oleh kaum Melayu di Semenanjung Malaysia hanya 2.4 peratus. Pada tahun 1995 pula, pegangan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat telah meningkat kepada 20.6 peratus.

Mudah-mudahan, sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus akan dicapai menjelang tahun 2010 seperti yang dinyatakan dalam RRJK-3. Sasaran ini bukan susah dicapaikan sekiranya pegangan ekuiti bumiputera hanya dapat dijual kepada bumiputera.

Kejayaan dasar pembangunan negara tidak terhad kepada bidang sosioekonomi. Bagi kaum bumiputera secara khasnya, peluang untuk berpendidikan tinggi, memegang jawatan penting dan membuat keputusan telah memberi keyakinan dan menguatkan moral. Aspek-aspek psikologi ini telah mengukuhkan asas kaum bumiputera untuk mencapai sasaran yang lebih tinggi.

Kejayaan yang dicapai oleh kaum bumiputera tidak bermakna kemunduran bagi bukan bumiputera. Sebagai misalan, bagi kaum Cina, pendapatan purata seisi rumah sebulan telah meningkat daripada RM387 pada tahun 1970 kepada RM3,737 pada tahun 1997. Bagi kaum India, ia meningkat daripada RM310 kepada RM2,896 dalam jangka yang sama.

Apa yang jelas ialah pelaksanaan dasar pembangunan yang menekankan kesaksamaan antara kaum telah membawa darjah perpaduan yang lebih tinggi.

Cuba bayangkan apa yang berlaku di negara jiran di mana jurang perbedaan ekonomi antara kaum dan kemiskinan telah membawa kekecohan apabila krisis ekonomi berlaku.

Pada masa yang sama, dasar pembangunan negara kita telah dapat menyahut cabaran krisis ekonomi 1997 dan memastikan rakyat pelbagai kaum dapat terus hidup dalam aman dan damai.

Maka, tidak hairanlah terdapat pelawat asing yang menyatakan keinginan untuk menetap di negara kita sekiranya diberi peluang. - LIM HIN FUI, Kepong, Kuala Lumpur.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi