RENCANA

Utusan Malaysia 07 April 2001

Rakyat boleh kuasai segala ilmu jika aman

IPOH 6 April - Rakyat Malaysia mampu menguasai segala ilmu di dunia ini bagi membangunkan negara jika negara dalam keadaan yang stabil dan hubungan baik antara kaum dapat dikekalkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad malam ini.

Katanya, kebolehan rakyat negara ini telah terbukti dengan kemampuan menguasai segala ilmu dan kecekapan di dunia yang begitu canggih dengan mudah, terutama kemampuan negara menjadi negara ketiga terbesar pengeluar mikrocip di dunia.

``Mikrocip digunakan hampir dalam semua barangan yang terdapat di dunia ini, bahkan kapal angkasa yang mendarat di bulan membawa mikrocip yang dibuat di Pulau Pinang, Malaysia,'' katanya semasa berucap pada majlis jamuan makan malam bersama rakyat di sini sempena lawatan rasminya ke Perak.

Dr. Mahathir berkata, ini menunjukkan rakyat negara ini mempunyai kebolehan jika mereka hendak menguasai segala ilmu dan jika mereka serius dan bertanggungjawab dalam usaha membangunkan negara.

``Saya yakin kalau kita dapat kekal keamanan dalam negara dan tidak terperangkap dan terpengaruh dengan dakyah-dakyah palsu yang tersebar luas dalam negara, saya yakin kita akan dapat mencapai matlamat tahun 2020 negara kita akan menjadi negara maju,'' katanya.

Dr. Mahathir berkata, sumbangan semua lapisan masyarakat termasuk para usahawan dan peniaga pelbagai kaum yang cekap menjalankan perniagaan serta memperolehi keuntungan yang menggalakkan, telah membantu kerajaan memugut cukup cukai untuk mendirikan begitu banyak infrastruktur di negara ini.

``Ini semua dapat dilakukan asalkan kita (rakyat) sedar tentang tanggungjawab kita pada negara tanpa mengira bangsa dan kaum kerana kita semua mempunyai tanggungjawab untuk memajukan negara,'' katanya.

Beliau berkata, rakyat tidak harus rasa iri hati dengan mereka yang kaya kerana mereka berguna pada rakyat setiap kali mereka untung RM1, sebanyak 28 sen akan dibayar kepada kerajaan sebagai cukai pendapatan yang digunakan untuk membangunkan negara.

Malah, setiap barangan yang mereka beli, ataupun projek pembangunan yang dijalankan termasuk membina rumah akan menghasilkan pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan pada rakyat negara ini, katanya.

Dr. Mahathir berkata, rakyat dapat menumpang daripada kekayaan golongan yang kaya ini dan tidak harus rasa iri hati kerana yang kaya akan menolong yang miskin secara langsung atau tidak langsung.

Perdana Menteri berkata rakyat perlu sedar mengenai hidup dalam masyarakat yang saling bergantung antara satu sama lain yang mana dapat memberi banyak nikmat untuk semua, dan rakyat juga perlu sedar keamananlah yang juga membawa kepada nikmat yang dirasai pada masa ini.

``Saya percaya jika kita sedar hakikat ini sudah tentu kita tidak akan membazir masa dengan timbul masalah dalam negara dengan menganjurkan tindakan-tindakan yang tidak bertanggungjawab seperti tunjuk perasaan dan sebagainya,'' katanya.

Beliau berkata sebaliknya segala tindakan perlu dilakukan dengan tertib dan teratur kerana negara ini sebuah negara demokrasi dengan kerajaannya pilihan rakyat. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi