RENCANA

Utusan Malaysia 07 April 2001

Orientasi ilmu jelas dalam RRJP3

PADA hemat saya, Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga 2001-2010 (RRJP3) menekankan dua pendekatan utama. Pertama, ia meneruskan pendekatan dan falsafah pembangunan negara sebelum ini, iaitu pembangunan dengan pengagihan. Ini adalah asas kejayaan formula Malaysia selama ini dalam mencapai pembangunan yang seimbang bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang bersatu padu dan saksama.

Kedua, ialah pendekatan menyediakan dan mempersiapkan rakyat untuk membina sebuah negara yang berdaya tahan dan mampu bersaing di pasaran dunia. Ini pula adalah asas bagi mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam zaman baru yang semakin mencabar ini.

Umumnya, ramai yang yakin dengan falsafah pembangunan baru kerana ia masih berasaskan falsafah yang asal dan proses penggubalannya juga mengekalkan proses musyawarah seperti melalui Mapen II, maka RRJP3 akan mencapai kejayaan.

Pada masa yang sama, di samping menggabungkan strategi utama Dasar Ekonomi Baru (DEB) iaitu pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum dan penyusunan semula masyarakat, serta Dasar Pembangunan Nasional (DPN) yang menekankan pembangunan seimbang, Dasar Wawasan Negara (DWN), iaitu asas bagi penggubalan RRJP3, yang menumpukan untuk meningkatkan keutuhan dan daya saing negara turut mengandungi beberapa dimensi baru. Dan dimensi baru yang paling ketara ialah persoalan menyediakan rakyat yang berbudaya ilmu bagi menghadapi cabaran K-ekonomi.

Tiga dimensi yang memberi penekanan kepada ilmu itu ialah membangunkan masyarakat yang berasaskan ilmu; menjadikan sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan lebih dinamik dengan mempelbagaikan serta meningkatkan penerapan ilmu; dan, mengubah pembangunan sumber manusia bagi menyokong pembentukan masyarakat yang berasaskan ilmu.

Persoalan ilmu ini dibincangkan secara lebih khusus ketika merujuk unjuran dan perancangan RRJP3 mengenai pendidikan, latihan dan latihan-semula, terutamanya tentang penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Ini selaras dan bertepatan dengan tahap kemasukan negara ke dalam zaman k-ekonomi, iaitu negara kini berada dalam tahap transformasi daripada p-ekonomi (ekonomi berasaskan pengeluaran) kepada K-ekonomi sepenuhnya.

Untuk berjaya melalui transformasi ini, menurut perbincangan yang diterajui Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS), tiga strategi perlu dilakukan, iaitu menambahkan intensiti ilmu dalam program yang sedia ada; menganjurkan program ilmu yang baru; dan, meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mendapatkan penembusan-penembusan baru.

Adalah diharapkan tiga prinsip utama masyarakat berbudaya ilmu akan dapat diwujudkan, iaitu meletakkan ilmu dan ilmwuan di tempatnya yang paling tinggi; setiap orang sentiasa menuntut ilmu dan menyumbang terhadap pengembangan ilmu; dan setiap keputusan dan tindakan adalah berlandaskan ilmu.

Persoalan ilmu yang dikupas secara begitu komprehensif dalam RRJP3 amat penting untuk dihayati dan diamalkan, terutamanya oleh para belia. Ini adalah kerana ilmu adalah faktor pembangunan yang paling penting dalam zaman revolusi perindustrian baru kini yang dipanggil zaman K-ekonomi. Belia Malaysia mesti menguasai ilmu yang terkini dan lengkap dengan kemahiran yang paling tinggi.

Daripada tujuh bab dalam buku RRJP3, terdapat satu bab, iaitu bab 5, yang dikhususkan untuk membangunkan Malaysia menjadi ekonomi yang berasaskan ilmu. Bab ini memberikan dua rasional bagi K-ekonomi, iaitu untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang pesat dan mapan; dan untuk mengekalkan daya saing.

Dalam konteks ini, sembilan teras utama pelan pembangunan berasaskan ilmu dikenal pasti, iaitu:

* Membina tenaga kerja berasaskan ilmu melalui kajian terhadap sistem pendidikan dan latihan, pembelajaran sepanjang hayat dan menarik pakar dari luar negara.

* Mempergiatkan daya usaha dalam sains dan teknologi serta penyelidikan dan pembangunan bagi mengukuhkan inovasi.

* Mempercepatkan pembangunan infrastruktur maklumat.

* Menyusun semula sistem kewangan untuk menyediakan pembiayaan sesuai bagi aktiviti berasaskan ilmu, menyediakan alat pengurusan ekonomi makro dan mampu berhadapan dengan cabaran K-ekonomi.

* Meningkatkan kandungan ilmu dalam sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan.

* Mendorong sektor swasta bersedia menghadapi K-ekonomi serta mengenal pasti dan memanfaatkan peluang-peluang.

* Merubah sektor awam supaya lebih cekap.

* Memupuk penggunaan ilmu secara beretika.

* Merapatkan jurang digital antara kumpulan pendapatan, etnik, umur, bandar dan luar bandar dan antara wilayah.

Daripada tujuh bab dalam buku RRJP3, terdapat satu bab, iaitu bab 5, yang dikhususkan untuk membangunkan Malaysia menjadi negara ekonomi yang berasaskan ilmu. Bab ini memberikan dua rasional bagi K-ekonomi, iaitu untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang pesat dan mapan; dan untuk mengekalkan daya saing.

Bagaimanapun, definisi pengetahuan, iaitu maklumat yang ditafsir dan digunakan oleh pembuat keputusan untuk mencapai matlamat mereka dan pembahagiannya kepada pengetahuan mengenai teknologi dan pengetahuan hakiki atau daripada pengalaman, seperti yang tercatat pada halaman 129 buku RRJP3, masih bersifat utilitarian.

Ia tidak memenuhi definisi yang lebih tepat. Malahan, perkataan ilmu adalah lebih tepat daripada pengetahuan. Manakala definisi ilmu yang lebih tepat perlu diasaskan kepada ilmu adalah maklumat yang benar yang mendatangkan makna (Syed Naquib al Attas).

Ini berlaku mungkin disebabkan Pelan Induk K-Ekonomi Negara yang asalnya dijangka siap pada hujung tahun lalu itu masih belum siap lagi! - SAIFUDDIN ABDULLAH, Kuala Lumpur.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi