Make your own free website on Tripod.com

RENCANA

Utusan Malaysia 07 April 2001

Fenomena korporat mistik abad ke-21

Oleh: SHAHROM TM SULAIMAN
DR. GAY HENDRICKS dan Dr. Kate Goodeman dalam buku The Corporate Mystics (1996) (Mistik Korporat) meramalkan, ``Pasaran global dalam abad 21 akan menyaksikan orang-orang mistik atau sufi di perusahaan-perusahaan besar atau organisasi-organisasi moden, dan bukan di biara, kuil, gereja atau masjid.

Ini jelas menunjukkan suatu episod baru. Episod zaman baru yang ditandai dengan titik balik radikal dari pertumbuhan material atau materialistik-sekularistik ke arah pertumbuhan kerohanian, dari pertumbuhan ekonomi dan teknologi ke arah pertumbuhan dan perkembangan mistik, dan dari pemujaan pada perusahaan berserta `korporat raksasa besar' ke arah pengertian baru yang jauh lebih mengesankan, seperti ungkapan ``kecil itu indah''.

Ia semakin bermakna lagi kerana dalam abad 21 juga menyaksikan perkembangan tercanggih dalam revolusi teknologi maklumat dan komunikasi. Mungkin ada benarnya semakin canggih zaman itu, semakin dahaga manusia pada `kecanggihan' kerohanian.

Korporat mistik adalah sebahagian daripada arus utama zaman ini. Kehadirannya semakin menegaskan bahawa nilai-nilai mistik-spiritul dewasa ini sudah menjadi arahan atau rujukan dalam menjalankan roda perniagaan dalam skala besar.

Ramalan Hendricks dan Goodeman ternyata benar apabila melihat beberapa kes yang terjadi. Mark Moody, pemimpin kanan Syarikat Shell, salah satu perusahaan minyak terbesar dunia, seperti dilaporkan oleh Asia Inc. (keluaran 1999), memutuskan untuk memanggil seorang pendeta Buddha untuk memberikan terapi kerohanian kepada 550 eksekutif perusahaan dan juga untuk membangun paradigma baru yang lebih canggih dan menguntungkan.

Perusahaan komputer Apple pula turut terlibat dalam ghairah baru perusahaan mistik ini. Dalam salah satu produk iklannya, ia mengangkat Dalai Lama (pemimpin kerohanian Tibet) sebagai bintang dengan slogan `berfikir berbeza.'

Dengan menampilkan pemimpin Buddha dari Tibet dan slogan tersebut, Apple ingin membangun sebuah imej baru bagi produk komputer Apple, iaitu berbeza dengan komputer lain, ia tidak hanya menampilkan kecanggihan teknologi tetapi juga kearifan dan keseimbangan dalam material dan kerohanian, kesihatan mental dan fizikal, menawarkan kebijaksanaan dan amat peduli pada lingkungan hidup di samping menawarkan keunggulan teknik mesin.

Sebenarnya Hendricks dan Goodeman telah melakukan penyelidikan lebih dari 25 tahun dan percaya pemimpin korporat yang berjaya pada abad 21 adalah pemimpin kerohanian. Kebanyakan pemimpin berjaya sudah bersiap sedia untuk mempelajari rahsia ini.

Misalnya, Naib Presiden Antarabangsa Motorola, Janiece Webb menyarankan agar seluruh pemimpin global di dunia industri, membaca rahsia kejayaan dalam The Corporate Mystics. Jauh sebelum buku Hendricks dan Goodeman diterbitkan, Time Domestic (keluaran bil. 144, no 12, Sept. 19, 1994) menulis sebuah artikel tentang The Zen of Golf. Dalam laporan itu, disebutkan bahawa Dr. M. Scott Peck, seorang guru kerohanian di kalangan pengurus `kelas atasan' dan penulis buku terlaris The Road Less Travelled, yang berada dalam daftar terlaris The New York Times selama 566 minggu telah membiayai pertandingan golf yang mempromosikan tema kerohanian, golf dan seni halus pengurusan perniagaan.

Sebetulnya, sudah ada beberapa buah buku ditulis dengan tujuan memberi ``kebijaksanaan'' bagi para pengurus dan eksekutif untuk memasuki era korporat mistik.

Antaranya adalah: 101 Corporate Haiku oleh William Warriner, Prophet of Management karya Mary Parker Follet, Manager and Mantras karangan Charlotte Butler dan John Keary.

Kenapa tiba-tiba fenomena korporat mistik ini muncul secara ekspresif? Dalam memutuskan sesuatu dan meramalkan usaha, manusia sering bersandar pada pemikiran nara sumber yang matang, menggunakan nalar yang rasional, serta data dan angka-angka yang tepat. Logiknya, segala asumsi dan ramalan yang berdasarkan pelbagai ukuran rasional itu akan menjadi kenyataan. Namun acapkali perputaran dunia berada di luar rumusan angka-angka atau matematik, misalnya, modernisme; dulunya dianggap sebagai alternatif terbaik bagi kebahagiaan manusia ternyata pada realitinya melahirkan manusia yang cacat rohani.

Apakah sebenarnya korporat mistik? Hendricks dan Goodeman menyatakan korporat mistik mendasarkan diri pada integriti, hasrat dan kecintaan bahkan pada nilai-nilai mistik-spiritul.

Ketika kita membicarakan kerohanian dalam dunia perniagaan, maka kita sebenarnya sedang membicarakan pada aspek pengalaman, dan tidak pada keyakinan keagamaannya.

Korporat mistik cuba bereksperimen dengan mudah antara dunia kerohanian dan dunia perniagaan. Di sinilah nilai-nilai dalaman mistik-spiritul melebur dalam dunia perniagaan.

Korporat mistik mengamalkan 12 ciri-ciri penting bagi pemimpin yang berjaya dalam abad 21 dalam dunia perniagaan dan pengurusan, yang justeru diperkenalkan dan bahkan seluruhnya bersumber daripada nilai-nilai mistik-spiritul itu sendiri.

Sebahagian di antaranya adalah:

Pertama, mutlak jujur. Kata kunci untuk berjaya dalam dunia perniagaan, selain berkata benar dan konsisten akan kebenaran itu, yang tidak kalah pentingnya adalah mutlak bersikap jujur.

Kedua, keterbukaan. Keterbukaan tidak saja dianggap mutlak, tetapi sudah melangkaui tuntutan moral. Keterbukaan bahkan diibaratkan sudah menjadi `hukum alam'.

Maka logiknya, ``Jika saya bertindak tidak adil, maka saya dengan sendirinya mengganggu `roda' bekerjanya dunia ini.''

Ketiga, pengetahuan diri. Korporat mistik sangat menaruh perhatian pada terciptanya masyarakat pembelajaran dalam dunia perniagaan.

Kerana itu belajar sendiri menjadi elemen utama dan sangat diperlukan dalam kejayaan sesuatu perniagaan.

Keempat, fokus dalam sumbangan. Dalam hukum perniagaan, barangkali lebih mengutamakan memberi daripada menerima. Ini penting dengan melihat kecenderungan manusia untuk menuntut hak sungguhpun kewajipan, dan menuntut penerimaan walaupun pemberian. Korporat mistik membangun kesedaran diri untuk lebih terfokus dalam hal sumbangan.

Kelima, kerohanian tidak dogmatik . Ini menjadi nilai intrinsik manusia dan dasar keabadian atas nilai kejujuran, keterbukaan, pengetahuan diri, dan fokus dalam sumbangan. Inilah yang dimaksudkan dalam korporat mistik menjadi nilai kerohanian yang universal dan tidak dogmatik.

Keenam, keseimbangan. Korporat mistik sangat menekankan keseimbangan hidup dalam empat domain utama, keakraban, termasuk dalam perkahwinan, keluarga, persahabatan, kerja, kerohanian dan masyarakat (termasuk kehidupan sosial dan politik). Dr. Stephen Covey, penulis tersohor The Seven Habits of Highly Effective People sangat menekankan keseimbangan untuk meraih kejayaan, keseimbangan antara logikal-rasional dan emosi, antara rumah dan dunia kerja, antara masa depan dan masa sekarang.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi