RENCANA

Utusan Malaysia 08 April 2001

Bahaya bila maruah negara diperjudikan

MUKADIMAH
KEHADIRAN sejumlah diplomat asing dalam taklimat tertutup Parti Keadilan Nasional (Keadilan) di Petaling Jaya, Selangor, minggu lalu, menimbulkan pelbagai pertanyaan mengenai sejauh manakah campur tangan asing dalam politik negara ini.

Bagi Keadilan, mereka menganggap tindakan mereka tidak salah, manakala, pemimpin kerajaan pula bimbang sekiranya campur tangan asing itu akhirnya membawa padah sehingga mengancam kestabilan politik, ekonomi dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

Antara pemimpin yang merasai bibit-bibit bahaya dari permainan pihak pembangkang itu adalah Datuk Seri Syed Hamid Albar yang percaya bahawa maruah dan kemakmuran negara seolah-olah diperjudikan oleh Keadilan dalam usaha membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam wawancara dengan wartawan, MARZUKI YUSOFF dan MARHAINI KAMARUDDIN di pejabatnya, Khamis lalu, Menteri Luar itu berkata: ``Golongan yang kecewa dan berdendam akan melakukan apa saja asalkan matlamat mereka tercapai walaupun menyedari jalan yang mereka ambil akan membawa kehancuran kepada negara.''

MINGGUAN: Perkembangan politik di Malaysia sejak akhir-akhir ini teruji dengan pelbagai peristiwa membimbangkan terutama dengan usaha berterusan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) mendapatkan sokongan pihak asing. Apa pandangan Datuk mengenai trend yang berlaku ini?

SYED HAMID: Parti-parti politik seperti Keadilan mengetahui jika ia beroperasi di dalam suasana politik dalaman, ia tidak dapat mempengaruhi dan menguasai keadaan politik atau melemah dan mengalahkan kita.

Jadi mereka mengambil satu lagi pilihan dalam dunia globalisasi dan tanpa sempadan ini dengan mengenakan tekanan dari luar dan segala proses yang melibatkan pihak asing.

Adakah Keadilan akan meneruskan strategi seumpama itu dalam perjuangan politik mereka?

SYED HAMID: Pendekatan ini mungkin akan diteruskan kerana dia merasakan tindakan mereka itu akan melemah dan memecahkan tumpuan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Mereka mahu kerajaan bukan sahaja sibuk menyelesaikan masalah di dalam negara tetapi terpaksa menangani isu luar yang terus-menerus datang sama ada daripada media cetak dan elektronik serta badan bukan kerajaan (NGO) asing.

Tujuannya hanya satu untuk melemah dan menghilangkan keyakinan kita agar lebih mudah mereka mempengaruhi rakyat menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Apakah cara mereka itu berkesan?

SYED HAMID: Saya tengok sekarang belum berkesan. Sebab itu ia tidak berhenti. Alhamdulillah, majoriti rakyat masih memihak kepada kita dan kita diberi kekuatan untuk menangani masalah yang dihadapi satu persatu.

Mungkin Keadilan menyedari mengenai bahaya jika strategi itu digunakan oleh parti lawan jika mereka sendiri berada di tempat kerajaan sekarang. Adakah trend mendapatkan sokongan asing itu akan menimbulkan implikasi buruk kepada Malaysia sebagai negara berdaulat?

SYED HAMID: Saya tidak akan mengatakan bahawa mereka dapat berkuasa. Ini kerana saya percaya majoriti rakyat tidak dapat menerima nilai dan unsur luar mencorakkan politik kita. Kita percaya bahawa kita mempunyai sistem pilihan raya dan politik kepartian yang bebas, sesiapapun boleh mengambil bahagian.

Bagaimanapun, kita tidak akan mengizinkan politik jalanan mengubah cara kita menentukan sistem pemerintahan di dalam negara ini meskipun atas nama kebebasan, demokrasi atau masyarakat madani.

Banyak bukti di negara luar, kerajaan yang naik melalui demokrasi jalanan akan dijatuhkan melalui cara yang sama. Kesan buruk akhirnya menimpa rakyat kerana negara itu tidak ada kestabilan politik dan tidak ada keharmonian. Ini bukan cara dan nilai Malaysia.

Masalahnya ada di kalangan rakyat seolah-olah merestui semua tindak-tanduk pemimpin Keadilan asalkan kerajaan sedia ada diganti.

SYED HAMID: Rakyat kita boleh mengambil iktibar dengan perkara yang berlaku di negara luar termasuk bencana demi bencana yang menimpa rakyat di sesetengah negara yang menggunakan sistem sedemikian.

Kita tengok apa yang berlaku di Indonesia. Setelah mereka menerima bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan mengubah sistem politik sehingga sekarang mereka belum mendapat satu formula yang mujarab untuk membawa kestabilan dan membolehkan kerajaan memerintah.

Semua ini harus direnungi secara mendalam oleh rakyat. Adakah mereka mahukan kebebasan tetapi negara kacau-bilau sehingga mereka sendiri yang menanggung penderitaannya.

Keadilan seolah-olah sengaja mencabar kerajaan dan kerajaan pula tidak mengambil tindakan tegas sehingga dilihat lemah kerana dianggap terlalu berlembut. Tidakkah ini menggalakkan tanggapan negatif rakyat?

SYED HAMID: Jangan anggap lembut itu lemah. Kalau diteliti ucapan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dalam pembentangan RRJP3, Perdana Menteri tiga empat kali mengulangi bahawa kalau kedudukan kita tercabar dan ancaman kepada keharmonian dan perpaduan negara berlaku, kita akan mengambil tindakan tegas mengikut sistem undang-undang kita, walaupun ia bertentangan dengan norma antarabangsa.

Ini mesej dan pendekatan yang kita buat. Selama ini kita cukup sabar tetapi jangan kesabaran itu disalah tafsir sebagai kelemahan dan takut. Kerajaan mengambil pendekatan sederhana bagi memberi peluang orang menyuarakan pendapat dengan bebas.

Tetapi jangan sampai mencabar kedudukan dan keamanan dalam negara kerana kalau itu berlaku, kerajaan perlu dan terpaksa mengambil tindakan tegas demi menjaga kepentingan majoriti rakyat.

Pada sidang Parlimen, baru-baru ini, Naib Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw membangkitkan perlunya kerajaan menghentikan konfrontasi dengan Amerika Syarikat kerana kesannya kepada negara kita. Apa komen Datuk?

SYED HAMID: Saya tidak menganggap kita berkonfrontasi dengan Amerika. Ia adalah sebuah negara kuasa besar dunia. Kita hanya mengambil sikap apabila ada sesuatu yang bertentangan dengan prinsip dan dasar, maka kita membuat teguran yang tidak keterlaluan.

Sebab itu Amerika Syarikat masih lagi menjadi salah satu pelabur terbesar di Malaysia dan juga menjadi salah satu pasaran terbesar kita dalam bidang perdagangan.

Mungkinkah pandangan Seng Giaw itu mewakili kegelisahan masyarakat perniagaan Cina?

SYED HAMID: Kalau dilihat, Amerika adalah rakan perdagangan Malaysia yang terbesar sejak beberapa tahun. Jika berlaku penurunan sekarang, ia bukan disebabkan konfrontasi tetapi akibat kelembapan ekonomi Amerika yang dijangka.

Nampak hubungan Malaysia dan Amerika renggang tetapi sekarang kita cuba mewujudkan hubungan baik di bawah pentadbiran baru Amerika yang dipimpin oleh George W. Bush.

Baru-baru ini Datuk mengakui ada tekanan asing. Apa bentuknya?

SYED HAMID: Tekanan ini dirasai apabila kita berjumpa dengan orang luar, ada negara yang membawa isu-isu melibatkan Anwar dan hak asasi manusia.

Ada negara dan NGO asing mendapat maklumat kurang tepat mengenai keadaan di Malaysia seolah-olah Malaysia tidak memberi kebebasan dan menekan akhbar dan parti-parti politik beroperasi.

Jadi itu dianggap sebagai tekanan dan usaha memburukkan negara oleh pihak pembangkang dan NGO tempatan yang antikerajaan dilakukan secara berterusan di luar negara.

Adakah ini bermakna tekanan asing belum sampai ke tahap mengancam atau menekan secara langsung seperti memboikot ekonomi Malaysia seperti yang dikenakan ke atas Iraq?

SYED HAMID: Sehingga kini belum ada dan kita percaya tekanan tidak akan timbul ke tahap itu oleh kerana kita menjaga perhubungan dua hala. Lagipun kita aktif dalam pertubuhan serantau dan pelbagai hala seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Kita aktif secara positif dan memberi sumbangan yang bermakna. Hakikat ini diterima, jadi tekanan asing tidak akan tiba ke tahap itu. Hanya mereka menyuarakan pandangan terhadap perkara-perkara yang tidak dipersetujui sebab itu kita ambil peluang untuk memberi penerangan.

Adakah isu Anwar tidak dapat diketepikan sama sekali dalam perhubungan diplomatik dan antarabangsa?

SYED HAMID: Saya berpendapat walaupun tidak hangat, isu ini akan ditimbulkan dari semasa ke semasa kerana kumpulan penyokongnya aktif di peringkat antarabangsa, malah, melebihi daripada apa yang dilakukan di dalam negara.

Misalnya, baru-baru ini Nurul Izzah (anak Anwar) ke Jerman dan akan berucap pada persidangan NGO PBB berkaitan isu Anwar dan pencabulan hak asasi manusia di Malaysia. Elizabeth Wong dari NGO kita juga menghentam kerajaan di luar negara menyebabkan rekod hak asasi Malaysia semakin buruk.

Penglibatan diplomat asing termasuk rakan ASEAN dalam taklimat oleh Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail agak mengecewakan. Adakah cara penerangan kerajaan tidak begitu berkesan sehingga mereka masih perlu mendapatkannya daripada pihak pembangkang?

SYED HAMID: Memang diplomat ini kerjanya mencari maklumat dengan melakukan pengintipan terbuka dan secara senyap. Sebahagian tugasnya untuk melaporkan dan justeru dia memerlukan maklumat.

Apabila dapat jemputan mereka menyangka ia pertemuan terbuka dan masing-masing menghantar wakil sebab hendak tahu. Walaupun diplomat perlu cekap mencium maklumat tetapi mereka perlu gariskan apa yang dianggap campur tangan.

Pertemuan yang dibuat secara terbuka seperti forum dan seminar, tidak ada masalah tetapi kalau perjumpaan tertutup yang memang mempunyai agenda politik, ini bukan lagi isu mengumpul maklumat tetapi sudah mencampuri urusan dalaman negara. Penglibatan mereka seolah-olah sebahagian daripada program perancangan parti pembangkang. Itu yang kita bantah.

Datuk ada mengatakan kalau menghadiri majlis tertutup, ini dianggap sebagai campur tangan. Apa tindakan kita untuk memastikan diplomat asing itu tidak lagi mencampuri urusan dalam negara kita?

SYED HAMID: Dalam perhubungan antarabangsa ada pihak bertanya kenapa kita tidak ambil tindakan tegas dengan menggantung hubungan diplomatik? Tetapi itu bukan cara yang bijak yang mendatangkan manfaat kepada kita. Kita perlu cari jalan muafakat.

Lagi pula dalam dunia diplomasi ini, kita tidak ambil tindakan terakhir yang akan menjejas dan merugikan kita. Bila kita menegur, ia akan memberi kesan dan menyebabkan mereka berfikir balik adakah tepat mereka pergi atau tidak. Jadi pada masa-masa akan datang, membuatkan mereka lebih berhati-hati.

Soalnya kita sudah beritahu mengenai sikap kita. Pada masa akan datang, kita tidak tahu apa bentuk tindakan kita ke atas negara luar yang terbabit.

Walaupun teguran dan peringatan telah berkali-kali diberikan oleh kerajaan Malaysia tetapi negara luar khususnya rakan dalam ASEAN seperti Indonesia dan Singapura terus mencampuri hal ehwal dalaman negara kita

SYED HAMID: Saya hairan dengan tindakan diplomat dari Indonesia dan Singapura itu. Kita akan mengkaji agenda di sebaliknya dan mengapa mereka berbuat demikian.

Sebab itulah pentingnya peringatan daripada Dr. Mahathir bahawa rakyat Malaysia mesti menunjukkan kesepakatan dan perpaduan serta mengutamakan kepentingan nasional. Jika kesepakatan dan perpaduan kita nampak longgar, orang luar akan mengambil peluang.

Pada pandangan orang luar, kita sekarang dalam keadaan lemah dan berkecamuk dan mungkin kerana itulah Indonesia dan Singapura tidak segan silu lagi untuk mencampuri urusan dalaman kita.

Indonesia dan Singapura menunjukkan sikap tidak bersahabat. Apakah yang akan berlaku jika negara anggota sering campur tangan dalam urusan dalaman anggota lain?

SYED HAMID: Selama ini, Malaysia saja yang berfikir untuk menjaga persahabatan sesama negara serantau. Mereka juga patut berfikir seperti mana kita berfikir.

Kita masih mengekalkan sikap tidak mahu campur tangan kerana kita memegang kepada prinsip hubungan dan kepentingan jangka panjang itu lebih penting.

Penjelasan dan amaran telah banyak kali dibuat oleh kerajaan mengenai bahaya campur tangan asing. Namun Keadilan terus menunjukkan kecenderungan yang kuat untuk mendapat dukungan asing. Apa kesudahannya?

SYED HAMID: Saya faham apa yang dirasai oleh Wan Azizah, beliau akan membela dan mempertahankan keluarganya, sesuatu perkara yang lumrah berlaku.

Tetapi kita tidak mahu, kerana dendam kesumat akhirnya kita tidak peduli lagi sama ada tindakan kita itu membawa kehancuran kepada negara.

Kenapa faktor Anwar begitu penting bagi kuasa besar seperti Amerika Syarikat?

SYED HAMID: Saya fikir bukan faktor Anwar semata-mata tetapi faktor politik yang lebih jauh. Anwar digunakan sebagai satu alat yang selesa dan berguna. Kita selama ini lantang dan tegas. Ada negara yang suka lebih-lebih lagi negara membangun dan ada juga yang tidak senang kita menceritakan kebenaran tentang ketidakadilan sistem ekonomi dan kewangan antarabangsa.

Tapi secara tidak langsung orang akan nampak bahawa kita ini sudah mencampuri hal ehwal dalaman sesebuah negara dan mencabar kuasa besar.

Begitu juga apa yang berlaku terhadap Anwar. Contohnya soal perubatan Anwar tidak sepatutnya menjadi kontroversi. Soalnya dia sakit dan memerlukan pembedahan.

Malaysia telah diiktiraf sebagai antara negara terbaik dalam pencapaian bidang perubatannya tetapi dengan isu terbaru melibatkan sakit tulang belakang Anwar itu, imej kepakaran doktor kita tercemar di serata dunia hanya kerana kepentingan politik.

Kalau betul sakit, mengapa Anwar tidak mahu melakukan pembedahan segera dan janganlah tergamak menjatuhkan maruah doktor-doktor kita.

Apa yang ingin Datuk katakan kepada rakyat?

SYED HAMID: Saya harap rakyat negara ini tidak terpengaruh kerana kita perlu bersama mempertahankan kedaulatan negara kita. Ini bukan soal kerajaan tetapi kepentingan rakyat secara keseluruhannya.

Janganlah dalam keghairahan melahirkan rasa benci terhadap kerajaan, nasib kita menjadi macam cerita `Pak Kadok' menang sorak kampung tergadai.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi