RENCANA

Utusan Malaysia 09 April 2001

Elak tambah masalah negara -- Nasihat PM kepada MTUC yang rancang berpiket di semua pejabat KWSP

LANGKAWI 8 April - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad meminta Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) jangan menambahkan lagi masalah dalam negara dengan meneruskan rancangan mengadakan piket besar-besaran pada 12 Mei ini.

Perdana Menteri berkata, negara setakat ini sudah menanggung pelbagai masalah, dan MTUC tidak sepatutnya mengambil tindakan yang akan menimbulkan pula masalah lain.

Lagipun, kata beliau, berpiket bukanlah cara untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

``Kalau mereka (MTUC) ingat dengan cara itu ia akan baiki ekonomi negara, teruskanlah tetapi kita berpendapat ia bukan cara untuk selesaikan masalah,'' ujarnya.

Dr. Mahathir berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat projek limbungan membaikpulih kapal layar oleh Penang Shipbuilding Corporation (PSC) di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas cadangan MTUC yang mahu berpiket di semua pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di seluruh negara atas alasan ia tidak menjaga kebajikan pekerja selaku pencarum.

Setiausaha Agung MTUC, G. Rajasekaran dalam sidang akhbar khas di Kuala Lumpur hari ini berkata, piket itu bakal disertai oleh wakil 230 persatuan gabungan dengan anggaran ahli 500,000 orang.

Kali terakhir MTUC bercadang melancarkan piket ialah pada 1996 berhubung isu pengurangan dividen KWSP. Piket itu bagaimanapun dibatalkan selepas teguran kerajaan.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir menegaskan, tidak ada sesiapa pun yang untung jika rancangan menganjurkan piket itu diteruskan.

``Kalau ada piket, orang tidak akan bayar, ada pula yang akan bertindak-balas, jadi akhirnya siapa yang untung?'' tanya beliau kembali.

Ditanya jika beliau mahu bertemu dengan MTUC, Dr. Mahathir menjawab, ``Mereka tidak minta nak jumpa saya, dia buat `announcement' (pengumuman) dulu, jadi susahlah saya nak jumpa.''

Menurut Rajasekaran, piket itu diadakan kerana mendapati KWSP tidak lagi sensitif terhadap isu-isu melibatkan kepentingan dan masa depan golongan pekerja.

Kata beliau, ia merupakan kemuncak kepada rayuan dan pandangan MTUC dalam beberapa isu berkaitan pekerja yang tidak diberi perhatian sewajarnya oleh KWSP.

Katanya, mengadakan piket merupakan keputusan sebulat suara ahli majlis MTUC yang bermesyuarat selama tiga jam, pada Jumaat lalu.

Tegasnya, selain piket, MTUC juga akan menyerahkan memorandum mengandungi lima perkara yang menjadi asas utama kepada penganjuran piket berkenaan.

``Kita bukan hendak mewujudkan suasana tidak tenteram, tetapi hanya ingin menyampai mesej kepada KWSP bahawa kami serius dalam memperjuang dan melindungi hak sebagai pekerja yang mencarum di dalam KWSP.

``Kami juga sudah bosan dengan alasan dan tindak-tanduk KWSP dalam beberapa tindakan yang disifatkan tidak mementingkan kebajikan dan nasib pekerja,'' katanya di bangunan Kesatuan Pekerja-Pekerja Industri Logam (MIEU) di sini.

Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Agung MTUC, Abdul Halim Mansor serta Naib Presiden MTUC, Kamaruzzaman Mansor dan Mohd. Khalid Atan.

Mengulas lanjut Rajasekaran berkata, antara lima perkara utama yang menjadi asas kepada penganjuran piket tersebut adalah pelaksanaan Skim Anuiti.

Katanya, MTUC bukan tidak bersetuju dengan skim tersebut tetapi berasa amat ragu dengan keberkesanan pelaksanaannya.

``Mengapa soal simpanan hari tua pekerja diserahkan kepada syarikat swasta. Hari ini juga kita sudah nampak kempen promosi tidak beretika oleh syarikat-syarikat tersebut termasuk menggunakan nama dan logo KWSP untuk menarik pelanggan,'' katanya.

Jelasnya, perkara-perkara lain yang akan disentuh dalam memorandum berkenaan adalah mengenai pembayaran dividen sebanyak 6 peratus iaitu dividen paling rendah dalam tempoh 26 tahun dan pengurangan mendadak dalam pemberian jumlah Faedah Kematian dan Hilang Upaya.

Keputusan membenarkan pengurangan jumlah caruman pekerja sebanyak 2 peratus dan isu-isu berkaitan pelaburan KWSP juga akan dinyatakan dalam memorandum berkenaan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi