RENCANA

Utusan Malaysia 10 April 2001

Laporan diguna pakai tangani masalah sosial antara kaum

KUALA LUMPUR 9 April - Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat akan menyediakan satu laporan yang boleh digunakan oleh kerajaan bagi menangani dan mengatasi masalah sosial antara kaum di negara ini tidak lama lagi.

Menterinya, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman berkata, laporan tersebut amat penting kerana sebelum ini ia hanya disediakan berdasarkan keperluan semasa sahaja.

``Laporan yang disediakan berdasarkan keperluan semasa sahaja sudah tidak sesuai buat masa sekarang ini.

``Kita perlukan suatu laporan sosial yang boleh dijadikan petunjuk kepada kerajaan dalam menangani dan mengatasi masalah yang boleh mencetus pergaduhan antara kaum,'' jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kewangan kepada mangsa kebakaran dan kecemasan di kampung Lindungan melalui Yayasan Kebajikan Negara di sini, hari ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Kebudayaan, Datuk Paduka Norkhaila Jamaluddin.

Zaharah menjelaskan, kerja sama dari pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan bukan kerajaan (NGO) amat diperlukan bagi mengelakkan wujudnya penempatan yang terlalu sesak sehingga menyukarkan kerajaan menyelesaikan masalah yang wujud.

Malah, beliau menambah, dua badan tersebut boleh bekerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) setempat dalam memberitahu apa jua masalah kemiskinan yang boleh mendorong kepada permusuhan sesama sendiri.

``PBT dan NGO perlu bekerjasama dengan kerajaan bukan hanya bagi memastikan kawasan penempatan yang ada tidak terlalu sesak tetapi juga memberitahu kerajaan tentang setiap masalah kemiskinan yang wujud di penempatan di bawah pengawasan masing-masing, katanya.

Oleh: HASHNAN ABDULLAH

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi