RENCANA

Utusan Malaysia 10 April 2001

Cabaran k-ekonomi kepada belia-I

PETIKAN ucaptama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Sidang Puncak Belia 2001 di Universiti Malaya, 7 April lalu anjuran Persatuan Graduan Muda Malaysia dan Persatuan Pemuda Negara.

GLOBALISASI hari ini telah menjadi semacam fenomena paling penting. Ia mendekatkan dunia melalui banyak cara perdagangan yang luas, liberalisasi pasaran, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pergerakan merentas sempadan yang semakin bebas dan rangkaian media global yang merebak.

Interaksi antara negara dan masyarakat juga semakin kerap dan melebar berbanding dahulu.

Aliran modal antarabangsa telah meningkat dengan banyak dengan kadar pelaburan langsung asing (FDI) meningkat tujuh kali ganda dari 1970 hingga 1990-an. Aliran modal jangka masa pendek - yang kebanyakannya mudah meruap - meningkat lebih tiga kali ganda berbanding 1980-an, dan sekarang jumlah kasarnya lebih daripada AS$2 trilion. Jumlah pelancong yang melawat negara lain juga meningkat dua kali ganda antara 1980 dan 1986, daripada 260 juta kepada 590 juta pelancong setahun.

Dan tentunya kerana teknologi yang lebih baik dan lebih murah, manusia berhubung lebih kerap dan lebih lama. Masa yang dihabiskan untuk panggilan telefon antarabangsa melonjak daripada 33 bilion minit pada 1990 kepada 70 bilion pada 1996. Dan ini belum lagi mengambil kira kesan e-mel dan Internet.

Lebih dekat dengan kita di sini, Malaysia telah mendapat banyak manfaat daripada perkembangan-perkembangan itu. Pertumbuhan ekonomi sejak hampir sedekad yang lalu dibantu oleh banyaknya aliran FDI ke dalam ekonomi kita.

Tanpa ekonomi terbuka begitu, kita tidak mungkin dapat menarik pelaburan penting dalam bidang seperti pembuatan, minyak dan gas, serta dalam sektor teknologi tinggi berintensifkan modal.

Pelaburan-pelaburan ini membantu ekonomi kita pulih daripada krisis kewangan Asia apabila keadaan pasaran global membolehkan kita membebaskan diri daripada kegawatan.

Kita juga menerima akibat kerana menjadi pemain yang aktif dalam ekonomi dunia global yang semakin saling bergantung sifatnya. Krisis kewangan Asia adalah kesan langsung pasaran modal global yang terlalu cepat liberal.

Pada tahun 1990-an, apabila negara di rantau ini termasuk Malaysia menarik pelaburan, kita tidak terlalu ambil berat sama ada ia jangka panjang atau jangka pendek. Bersama negara-negara jiran, kita membenarkan modal asing membeli kilang-kilang dan mengambil pekerja tempatan. Kita juga membenarkan mereka melabur dengan banyaknya dalam pasaran saham dan hartanah.

Apabila mata wang baht Thai diserang pada 1997, buih itu meletup. Wang yang disimpan dalam pasaran saham kita mengalir keluar dengan cepatnya. Pengaliran keluar modal dari Indonesia, Korea Selatan, Thailand, Filipina dan Malaysia itu berjumlah 11 peratus daripada keluaran dalam negara kasar negara-negara itu sebelum krisis.

Hari ini kita juga berdepan dengan ancaman yang dibawa bersama oleh globalisasi ekonomi. Oleh kerana penggantungan kita kepada ekonomi AS sebagai pasaran eksport dan rakan perdagangan dan pelaburan utama, maka kita berdepan dengan kejatuhan teruk ekonomi AS.

Masa depan di AS serta ekonomi Jepun yang nazak memaksa kerajaan untuk menyusun semula harapan ekonomi kita untuk tahun ini dan bersedia untuk suntikan tambahan kerajaan bagi merangsang pelaburan dan perbelanjaan domestik.

Ini sekali lagi menunjukkan bahawa dalam ekonomi dunia yang saling bergantung dan berkait rapat, kita tidak dapat mengasingkan diri daripada apa yang berlaku. Sama ada kita suka atau tidak, dan sama ada kita boleh mengawalnya atau tidak, perkembangan di seluruh dunia akan memberi kesan kepada kita.

Globalisasi juga membawa bersamanya jurang perbezaan dan ketidakseimbangan yang ketara. Kelihatan seolah-olah yang kaya mendapat manfaat lebih daripada yang miskin.

Menjelang 1997, jurang pendapatan antara satu per lima penduduk dunia di negara-negara kaya dan satu per lima yang tinggal di negara miskin adalah 74 kepada 1, meningkat daripada 60 kepada 1 pada 1990 dan 30 kepada 1 pada 1960.

Menjelang akhir 1990-an, satu per lima daripada penduduk yang tinggal di negara berpendapatan tinggi mempunyai 86 peratus daripada KDNK dunia - lima peratus yang di bawah memiliki hanya 1 peratus.

Ketidakseimbangan dan jurang dalam pendapatan dan peluang ini terus meningkat, dan kita sekarang sedang melihat kemunculan jurang digital antara penduduk yang mempunyai akses kepada IT dengan mereka yang tidak.

Globalisasi yang sepatutnya menjadi sesuatu yang positif kepada semua negara yang seharusnya mendapat manfaat daripada pasaran bebas, liberalisasi, pembatalan kawal selia dan perubahan teknologi, telah gagal untuk meningkatkan taraf kehidupan majoriti penduduk dunia.

Dalam konteks ini, globalisasi sangat memerlukan nilai-nilai kemanusiaan. Peluang dan manfaat globalisasi perlu dikongsi dengan lebih luas dan saksama. Sekiranya tiada apa dilakukan bagi menangani jurang yang luas ini, globalisasi akan menjadi ancaman kepada keselamatan dan kesejahteraan manusia. Pasaran modal antarabangsa yang tidak terkawal yang menjerumuskan ekonomi Asia meninggalkan kesan sosioekonomi yang sukar dipulihkan. Kesannya, kestabilan politik yang menjadi kebanggaan rantau Asia Tenggara tidak boleh lagi dipandang ringan.

Kekurangan global begitu meluas sehingga saya bimbang di sesetengah rantau, masalah-masalah ini seperti bom jangka yang menunggu masa untuk meletus tetapi tidak diendahkan oleh mereka yang kaya dan berkuasa.

Adakah dunia tidak melihat kepada 1.3 bilion penduduk dunia yang tidak mendapat bekalan air bersih; atau kepada satu daripada tujuh kanak-kanak yang sepatutnya bersekolah rendah tetapi tidak bersekolah; atau 840 juta yang kurang zat makanan; atau 1.3 bilion yang hidup dengan pendapatan kurang daripada AS$1 sehari?

Saya menyuarakan realiti ini untuk perhatian saudara-saudari kerana saya percaya saudara-saudari sepatutnya sedar tentang apa yang sedang berlaku di serata dunia. Saya mahu saudara-saudari sebagai generasi muda mengetahui bahawa ada kebaikan dan keburukan globalisasi. Dan saya mahu saudara-saudari benar-benar memahami bahawa kita adalah sebahagian daripada proses ini.

Persoalannya ialah sebagai rakyat Malaysia, apa yang perlu kita lakukan? Lebih tepat lagi, apa yang perlu kita lakukan untuk menyiapkan diri kita untuk merasai manfaat globalisasi tanpa merasai kesan negatifnya?

Jawapannya bergantung kepada bagaimana kita menguruskan kesan globalisasi ke atas negara ini dan bagaimana kita menanganinya. Minggu lalu, Perdana Menteri membentangkan Rancangan Rangka Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) di Parlimen.

Rancangan ini adalah arah strategi pengurusan ekonomi Malaysia untuk sepuluh tahun akan datang. Ia mengandungi prinsip asas pembangunan ekonomi dan pembinaan bangsa. Dan ia juga menjelaskan strategi dasar yang perlu diambil untuk mengurus dan menangani globalisasi.

Tanpa mengupas dengan terperinci rancangan itu, saya mahu membangkitkan dua teras RRJP3. Pertama, untuk Malaysia terus berdaya saing dalam dunia yang semakin global, penekanan yang lebih akan diberi kepada pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan atau k-ekonomi. Kedua, hasil pembangunan ekonomi tidak akan bermakna sekiranya ia tidak membina satu masyarakat yang bersatu berasaskan kepada keadilan dan kesaksamaan.

Pertama, sekiranya Malaysia mahu menjadi pemain yang bermakna dan bukan hanya pemerhati dan penerima teknologi dan pelaburan dalam dunia global, kita mesti membuat perubahan penting dalam cara pengurusan ekonomi.

K-ekonomi bermakna bahawa pengetahuan akan menjadi faktor pengeluaran yang semakin penting, selain tanah, buruh dan modal. Cara-cara pengeluaran tradisional akan ditukar menjadi proses yang lebih bestari, dengan lebih pekerja mahir dan disokong oleh penyelidikan dan pembangunan yang lebih luas dan banyak.

Bersambung: Cabaran K-ekonomi kepada belia-II

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi