RENCANA

Utusan Malaysia 10 April 2001

Cabaran k-ekonomi kepada belia-II

Bagi menjayakan proses peralihan kepada k-ekonomi, kita perlu memberi tumpuan kepada dua perkara. Satu ialah faktor pentingnya iaitu sumber manusia. Satu lagi ialah pemangkin k-ekonomi iaitu ICT. Kita perlu membangunkan sumber manusia bagi mencipta tenaga kerja yang produktif, berdaya saing dan inovatif.

Kita mesti memastikan bahawa penekanan yang lebih diberi kepada kualiti para pelajar dan bukan obses dengan jumlah yang keluar dari universiti. Jika apa yang kita lakukan ialah mengeluarkan graduan yang tidak baik secara besar-besaran, usaha kita untuk membangunkan k-ekonomi akan menjadi sia-sia. Oleh itu, walaupun kita menekankan tentang pentingnya peningkatan jumlah generasi muda yang masuk ke universiti, kita juga mesti memastikan bahawa kita tidak diperdayakan oleh angka-angka.

Dalam perkara ini, generasi muda mempunyai peranan penting yang perlu dimainkan untuk menyahut cabaran k-ekonomi. Cara terbaik yang boleh saudara-saudari lakukan untuk menyumbang kepada pembinaan bangsa ialah dengan merebut peluang yang ada dan memanfaatkannya sebaik mungkin. Sekiranya inisiatif kerajaan untuk memperbaiki peluang pendidikan dalam masa sepuluh tahun akan datang dibayar dengan pencapaian ala kadar para pelajar kita yang serupa - khasnya para pelajar Melayu - maka generasi muda tidak boleh menyalahkan sesiapa kecuali diri mereka sendiri.

Berhubung penggunaan ICT, saya ingin mengatakan bahawa ia termasuk dalam RRJP3, sesuatu yang baru dan memerlukan perubahan dalam cara kita melakukan sesuatu di semua sektor.

Masalah pokok k-ekonomi ialah kita perlu memanfaatkan ilmu pengetahuan di semua peringkat, terutama melalui penggunaan ICT dan mungkin lain-lain teknologi.

Dalam hal ini kerajaan tidak menghalang ICT sebagai satu sektor tersendiri daripada kita merancang ia sepuluh tahun lagi, yang mana teknologi sudah pun merentasi semua bidang pembangunan ekonomi dan pembinaan bangsa. Penggunaan teknologi untuk kegunaan penciptaan dan pengembangan ilmu akan menyerap semangat perpaduan bagi perancangan pembangunan negara kita.

Saya yakin, apa yang kita rancangkan untuk ekonomi kita dalam masa sepuluh tahun akan datang adalah realistik dan boleh dicapai. Tetapi pencapaiannya hanya boleh diperoleh jika ada penyatuan, kestabilan dan keharmonian di kalangan masyarakat. Tanpa faktor sedemikian, tidak ada perancangan yang baik mampu meningkatkan kualiti hidup atau produktiviti.

Jika masyarakat kita terganggu akibat ketegangan dan keganasan disebabkan perselisihan kaum, tiada tolak ansur agama atau kejatuhan nilai sosioekonomi, tidak ada gunanya bercakap tentang k-ekonomi dan teknologi seumpamanya.

Dalam hal ini, saya percaya bahawa sangat penting bagi Malaysia berpegang pada prinsip apabila menghampiri dekad akan datang dan berhadapan dengan globalisasi. Kita mesti memastikan perpaduan terpelihara dengan meneruskan tradisi keadilan sosial dan dengan itu tidak ada kumpulan yang tertinggal daripada arus pembangunan ekonomi.

Ini bermakna kita harus memfokuskan kembali strategi membasmi kemiskinan dalam mengambil kira bilangan penduduk miskin bandar di kalangan semua kaum.

Kemiskinan bandar perlu dikenal pasti dengan segera dan berkesan. Jika tidak, kita meletakkan risiko kemungkinan ketegangan kaum dan lebih dahsyat keganasan, sebagaimana yang kita lihat peristiwa bulan lalu di Petaling Jaya Selatan.

Ini juga bermakna kita harus meneruskan tindakan yang diyakini dapat meningkatkan tahap ekonomi orang Melayu.

Dalam meneruskan dasar ini, kita berharap pelaksanaannya dapat diperbaiki supaya keutamaan akan lebih diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan dan pertolongan. Kita tidak mahu menggalakkan orang Melayu bergantung kepada kerajaan.

Sekiranya matlamat kita adalah untuk mewujudkan masyarakat yang mempunyai pekerja berkemahiran profesional, maka kita harus mengikis mentaliti subsidi di kalangan orang Melayu.

Komitmen kerajaan untuk mengukuhkan perpaduan tidak boleh dipandang rendah. Kita percaya tanpa perpaduan negara, jaminan untuk berjaya dalam dunia globalisasi tidak akan tercapai. Saya berbangga Sidang Puncak Belia 2001 membawa bersama belia Malaysia tanpa mengira kaum.

Ia menjadi semakin bertambah penting bahawa amat bermakna sekali jika ada pergaulan antara golongan muda dan mengenali antara satu sama lain. Ia sudah ada dalam pemikiran seperti cadangan kerajaan merancang penubuhan Sekolah Wawasan dan mengkaji semula rancangan intergrasi pelajar di sekolah. Jika saudara-saudari membesar secara berasingan, tanpa bergaul antara satu sama lain, apabila tiba masanya melangkah masuk ke universiti, saudara-saudari akan menghadapi masalah untuk bergaul dengan pelajar daripada kaum-kaum lain.

Tahap polarisasi kaum di universiti-universiti negara kita menunjukkan satu aliran yang membimbangkan. Jika tidak disiasat dan dibiar begitu sahaja, ia akan melibatkan seluruh masyarakat.

Kita telah membiarkan hidup berasingan dan ia meningkatkan risiko kehidupan bermasyarakat. Semangat muhibah berada dalam situasi bahaya yang mungkin menjadikan tidak bermakna lagi, atau ia sekadar lambang yang diletakkan di barisan hadapan untuk upacara tertentu seperti Hari Merdeka atau sebarang perayaan besar keagamaan. Jika perpaduan nasional diancam dengan sesuatu yang sukar dicabar, saya bimbang bahawa impian kita untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu tidak akan dapat bertahan.

Bagaimanapun, dalam konteks dua perkara ini - yang dinamakan peningkatan persaingan dan kemakmuran perpaduan - saya menyeru kepada generasi muda supaya bangun dan membantu kerajaan. Tanpa dua perkara yang kritikal ini, faktor kejayaan tidak akan mampu kita urus dan bertindak balas terhadap globalisasi dalam menjamin penerusan kejayaan Malaysia.

Saya harap saudara-saudari, generasi muda sedar bahawa tiada siapa antara kita akan membantu kita menangani isu-isu ini. Kita tidak boleh bergantung pada dunia luar untuk membantu kita dalam persediaan kita meningkatkan daya persaingan atau memperkukuhkan penyatuan.

Tidak ada siapa yang akan melakukan perkara ini kecuali kita sendiri. Sesungguhnya kita mesti mempunyai keputusan dan komitmen untuk menyelesaikan masalah kita sendiri dan menghadapinya dengan strategi kita sendiri. Kita mesti lihat ke dalam diri sendiri, dalam menyediakan diri menghadapi cabaran abad akan datang.

Saya benar-benar mengharapkan generasi muda bersedia dan mampu menghadapi cabaran ini. Sesetengah orang takut golongan muda hari ini mengambil sikap sambil lewa dan tidak mampu menyerap perubahan masa atau tidak cukup berdaya tahan menghadapi cabaran hari ini.

Saya mempunyai keyakinan kepada saudara-saudari. Saya tahu bahawa kamu mampu menghadapi cabaran. Dan saya sedar bahawa kamu tidak akan mensia-siakan peluang yang telah diberikan kepada kamu.

Bukan itu sahaja saya mengharapkan kamu akan berjaya dengan cemerlang, tetapi juga kamu akan membuka fikiran kepada kenyataan di sekeliling kita. Saya tidak mahu generasi muda berfikiran tertutup dan tidak terdedah. Ini hanya akan menyebabkan tiada toleransi dan tindak balas.

Apa yang kita ingin hindarkan ialah tindak balas terhadap globalisasi yang juga tindak balas terhadap pemodenan. Kita mesti sentiasa mengawal penggunaan agama atau ideologi daripada menjauhkan tangan kita daripada kunci utama, iaitu bagi mempersiap sediakan diri kita kepada globalisasi.

Perkara terakhir yang ingin saya nyatakan di sini ialah betapa pentingnya, ingat siapa diri kamu. Hari ini dan dalam era teknologi moden dan media massa yang cepat menyerap adalah mudah bagi saudara-saudari lupa ketika berada di tengah-tengah semua pembangunan bahawa kita semua adalah rakyat Malaysia. Api patriotisme tidak pernah dan jangan sekali-kali dipadamkan.

Globalisasi tidak bermakna bahawa akan ada perkampungan global yang besar yang mana semua orang menjadi warganegara dunia. Negara-negara akan terus wujud, pelbagai agama akan terus ada dan kumpulan-kumpulan kaum juga akan terus wujud.

Dan seperti yang saya jelaskan awal, tidak ada siapa yang akan menolong saudara-saudari untuk bersedia menghadapi globalisasi selain diri sendiri dan rakyat senegara kamu.

Saya menggesa saudara-saudari supaya berpegang teguh impian negara kita. Kita sedang memasuki era baru dunia persaingan yang lebih besar; perubahan sosioekonomi dan inovasi teknologi.

Saya tidak ingin melihat kuasa perubahan ini memecah belahkan negara kita. Kita telah banyak berkorban untuk membina keyakinan rakyat dan negara ini dalam berkongsi wawasan dan menghormati kepelbagaian masing-masing. Marilah kita pastikan bahawa ia tidak akan disia-siakan.

Akhir sekali, ia terserah kepada saudara-saudari sebagai pemimpin akan datang, berapa banyak kejayaan yang kamu mahu capai pada masa depan. Apa yang telah saya lakukan di sini hari ini adalah yang terbaik yang dapat dilakukan oleh generasi tua, dan ia sebagai memandu kamu ke arah yang betul. Kami tidak boleh dan tidak mahu memegang tangan kamu selama-lamanya.

Apabila saudara-saudari mengambil tanggungjawab membina negara daripada kami, kamulah yang mendapat faedah daripada contoh kami, tetapi apa yang kamu pilih bagi masa depan sebenarnya bergantung pada diri kamu.

Saya mempunyai keyakinan bahawa saudar-saudari akan menyambung membangunkan Malaysia, terus melindungi tradisi kita yang pelbagai dan meneruskan meningkatkan kekuatan ekonomi dan daya ketahanan kita. Saya yakin saudara-saudari akan membuat generasi saya berbangga dengan kamu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi