RENCANA

Utusan Malaysia 10 April 2001

Perkongsian bijak ibu bapa-guru

PADA usia pertengahan 20-an ini, saya dapat melihat perubahan sikap dan nilai yang begitu ketara dalam sistem kehidupan masyarakat Melayu kita. Sama ada ia kesan secara langsung hasil jerih Dasar Ekonomi Baru atau impak ketara sistem pendidikan yang banyak melahirkan masyarakat kelas menengah. Perubahan sikap dan penerimaan pandangan masyarakat kita terhadap sesuatu perkara nampaknya semakin memerlukan pembetulan dan perhatian.

Apabila anak-anak gagal mencapai kecemerlangan yang diharapkan dalam pelajaran, adalah terlalu lumrah untuk kita menyalahkan guru. Ada ibu bapa yang bertanya kepada guru, apakah kaedah terbaik untuk memberikan kefahaman yang jelas kepada pelajar terhadap subjek-subjek sukar seperti Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik?

Sebagai pendidik profesional, guru berpendapat bahawa kecemerlangan dalam pelajaran bukan sahaja dibina menerusi kaedah pedagogi yang baik, namun turut disokong oleh faktor-faktor lain yang dianggap oleh sesetengah orang sebagai hal yang remeh-temeh. Untuk cemerlang, pelajar perlukan komponen pemakanan seimbang yang sempurna (sebagaimana syor yang dikemukakan oleh Prof. Diraja Ungku Aziz), persekitaran psikologi sosial yang kondusif, dorongan dalaman dan luaran yang bermomentum, dan yang penting adalah jangan sesekali mengabaikan suruhan Allah.

Adakah dengan bangun lewat untuk ke sekolah, lalu mengabaikan solat Subuh, boleh membuka hati kita untuk menerima nur ilmu daripada Ilahi? Bukankah antara amalan-amalan untuk berjaya dalam pelajaran adalah dengan mendekatkan diri kepada Allah dengan mengunjungi masjid, sering berpuasa sunat dan membersihkan jiwa dan hati nurani daripada cemar dosa dan noda?

Namun, apabila dihujahkan perkara ini, ada ibu bapa yang tidak mahu menerima hakikat. Adakah mereka tidak nampak hubungan antara komponen spiritual dengan kecemerlangan hidup seorang insan? Saya sungguh simpati dengan nasib adik-adik yang kurang berjaya ini, diakibatkan oleh keegoan sikap ibu bapa mereka. Sebagai pemegang kuasa terhadap anak-anak, ibu bapa berhak mencorakkan anak-anak mereka. Itu faktanya.

Hambatan kemajuan dan arus teknologi nampaknya semakin menjurangkan nilai-nilai murni dalam masyarakat kita. Boleh dihitung dengan jari bilangan ibu bapa yang menghormati guru yang mengajar anak-anak mereka. Semakin ramai ibu bapa yang berusaha untuk menunjukkan bahawa mereka lebih pandai daripada guru dalam hal pendidikan anak-anak mereka.

Saya tidak menafikan bahawa jika hendak dibandingkan seorang guru siswazah DG3 atau guru lepasan maktab dengan seorang doktor, jurutera atau perkhidmatan profesional yang lain, apalah sangat guru itu, baik dari segi status atau nilai kebendaaan. Sehingga ada ibu bapa yang memandang rendah kredibiliti seorang guru, mempertikaikan rasionaliti hujah mereka dan menutup ruang menakul kelemahan bersama untuk membina hakikat sebenar.

Itu semua tidak patut terjadi dalam masyarakat Melayu yang semakin ramai golongan berpendidikan. Kerana sikap ego dalam diri yang semakin menebal, sebilangan ibu bapa Melayu nampaknya semakin mengheret simbiosis hubungan dalam tatacara murni guru - masyarakat ke lembah kehancuran.

Saya terpaksa menyelar sikap ego sebilangan masyarakat kita hari ini kerana saya masih lagi berpegang teguh pada stereotaip bahawa selepas ibu bapa, guru adalah insan yang paling mulia dalam hati saya.

Keegoan telah melanda masyarakat kita kerana kita sudah tidak berlaku profesional lagi terhadap kata dan fikir orang lain. Kita semakin membina ruang vakum antara sistem guru - masyarakat, hanya semata-mata kerana kita telah lebih berjaya dari dahulu. Ataupun, kita telah mempunyai anak-anak yang berjaya, di mana sebagai ibu bapa kita menumpang semangkuk kejayaan anak-anak tersebut, demi menaikkan harga martabat kita di sisi masyarakat. Ini membawa implikasi negatif, dengan menunaskan ulas-ulas keegoan, kerana tidak dipandu dalam arah vektor dan sisi yang betul.

Biasa terjadi, dan saya juga pernah mendengar, ibu bapa datang menyerang guru di sekolah, hanya kerana ibu bapa tersebut beranggapan anaknya tidak bersalah dan tidak wajar dihukum oleh sekolah. Walaupun terbukti terlibat dalam kes-kes berat seperti ponteng sekolah, merokok, bergaduh sehingga cedera dan banyak lagi.

Dalam kes-kes seperti ini, justifikasi ibu bapa adalah dengan membuat lompatan terus kepada kesimpulan bahawa anak - anak mereka tidak bersalah, sebaliknya orang lain yang bersalah. Ramai ibu bapa yang gagal mendengar butir penjelasan guru secara adil dan seimbang. Adakah mereka takut untuk melihat kebenaran dan menerima hakikat sebenar tentang anak-anak mereka?

Tidak! Jawapannya adalah kerana mereka ego. Orang yang ego akan tetap mempertahankan pendapatnya walaupun argumen dan bukti yang dikeluarkan terserlah kebatilannya.

Kerana ego, ibu bapa menzahirkan emosi radikal dengan tingkah laku yang agak meyakinkan untuk membuktikan bahawa hujah mereka patut diguna pakai. Sebaliknya, kebanyakan guru, mungkin terikat dengan etika profesion pendidikan atau kesan tarbiah hati semasa dilatih menjadi guru, menjadikan guru lebih suka kepada penyelesaian berprosedur dalam suasana muhibah dan tenang. Tetapi, apabila diserang oleh ibu bapa yang ego, impak psikologi pada sistem saraf akan menatijahkan kekalahan pertama buat guru, dan seolah-olah ibu bapa yang menang.

Ini tidak adil. Kezaliman telah berlaku. Oleh kerana cara ini dibiarkan menular tanpa retrospeksi dan kawalan hatta oleh PIBG sekalipun, sistem guru - masyarakat hari ini akan menuju ke arah paradigma bahawa guru adalah golongan yang harus diperangi, dengan gertak dan diplomasi penumbuk - saman!

Malang sekali, guru menjadi mangsa atas landas ego ibu bapa. Ketaranya hal ini berlaku dalam masyarakat Melayu yang dididik dengan bauran adat resam dan nilai Islam.

Apa yang ingin saya tekankan di sini adalah cara kita menerima kata tegur seorang guru. Ada PIBG yang nampaknya dilanda sindrom `masyarakat menolak pandangan guru'. Menolak pandangan guru tidak salah, jika kita mampu berhujah dengan nas yang lebih baik, dari sekadar mengkritik sahaja. Masyarakat Melayu sudah mula menutup mata pandang dan akal fikirnya untuk mendengar kata-kata seorang guru. Mungkin pada pandangan mereka, seorang guru itu terlalu teoritis dan idealistik jika hendak dibandingkan dengan seorang jurutera dan usahawan berjaya yang realistik, oportuanistik dan kapitalistik!

Leburkanlah ego itu. Terimalah pandangan seorang guru, atau setidak-tidaknya, peruntukkanlah ruang untuk kita bertafakur dan menilai. Walau duduknya di ceruk mana sekalipun, seorang guru itu adalah terusan penyambung budaya dan ilmu.

Saya bukan seorang guru. Namun, titip doa saya ada bahagiannya yang saya panjatkan untuk insan ini. - AMIR ILHAM MUADZIN, Segamat, Johor.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi