RENCANA

Utusan Malaysia 11 April 2001

Malaysia boleh lumpuh kerana perisik

Oleh: ADAM ABDUL KADIR
BILA ada rusuhan, CIA ada di belakang. Inilah kata-kata yang selalu digunakan. Mungkin betul, mungkin tidak. Oleh kerana terlalu kerap dan terlalu luas ia digunakan, Amerika Syarikat (AS) buat tidak mengerti sahaja - dibiarkan begitu sahaja. Terpulanglah apa yang orang hendak katakan. Putera Norodom Sihanouk dari Kemboja terang-terang menulis buku Peperangan Saya Dengan CIA 25 tahun dahulu dan laris dijual di seluruh dunia, termasuk di AS.

Sikap begini ada baiknya. Pertama, memang benar CIA cenderung berbuat begitu. Kedua, memang benar dasar AS membetulkan sesuatu yang tidak betul daripada pandangannya, menurut asas strategi dan kepentingannya. Suatu yang baik berkenaan AS ialah sikapnya yang terbuka dan ketara berkenaan kehidupan dalam negeri. Kebebasan media amat luas. Begitu meluas dan bebasnya sehingga TV CBS pernah menyiarkan program bagaimana CIA merancang dan menggugat Iran pada tahun 1953.

Waktu itu Shah Iran terlalu lemah. Mussadegh dipilih menjadi Perdana Menteri. Akibat kelemahan Shah dan kekuatan Mussadegh, AS melihat Iran bergerak menjauhkan diri dari AS. Lalu ketua CIA di Iran di bawah seorang yang bernama Roosevelt - tidak ada kaitan dengan bekas Presiden Theodore Roosevelt (1900-08) dan Presiden Franklin Roosevelt (1932-45) - dikatakan menjadi dalang menggugat Mussadegh. Caranya ialah bertindak dengan melancarkan `rusuhan sewa' seperti `kereta sewa', iaitu mencurah wang menyewa perusuh.

Maka merusuhlah mereka. Bukan itu sahaja, jeneral-jeneral dan pemimpin-pemimpin tentera juga kena beli. Adu dumba ini akhirnya menjatuhkan Mussadegh dan beliau kemudiannya dihukum mati. Shah Pahlavi dibawa balik dari luar negara. Memerintahlah Shah semula sehingga beliau jatuh sekali lagi dalam tahun 1979. Kali ini rakyat pula merusuh terhadapnya. Sebaliknya, mereka mengalu-alukan kepulangan Ayatullah Khomeini. Kali ini segala wang CIA tidak berjaya membela Shah.

Dalam era Presiden Ronald Reagan (1981-89), terpecah rahsia CIA sekali lagi. Ini membabitkan wang CIA dalam politik luar negara AS, yang melibatkan Iran dan Nicaragua, sebuah negeri kecil di selatan AS. Nicaragua dianggap membahayakan AS kerana pemimpinnya, Daniel Ortega, orang muda berusia tiga puluhan, seorang yang berideologi komunis. Dalam peristiwa ini, CIA menggunakan wang dari operasi di Iran untuk menjatuhkan Ortega. Semuanya ini menjadi kes hangat dan terbuka dalam kongres AS.

Namun CIA tetap wujud dan terus beroperasi. CIA menjadi `virus' penyakit di luar negara, tetapi bagi AS, ia adalah `virus' antipenyakit. Bagaimana sikap rakyat AS? Jawabnya, rata-rata mereka bukan sahaja buat tidak tahu, malah sebenarnya mereka tidak tahu-menahu. Saya mengetahui tentang kehidupan di AS. Ini datangnya daripada pengalaman belajar di sana tiga puluh tahun dahulu dan kekerapan pergi ke sana dan berkunjung meluas di sana. Bualan mereka di rumah, kedai, dalam majlis, tempat-tempat rekreasi dan hiburan, stadium, juga di lobi-lobi hotel, jarang mencuit perkara-perkara seperti CIA, jauh sekali hal-hal politik.

Wanita banyak bercakap tentang prestasi anak-anak di sekolah dan universiti terutama pencapaian mereka dalam sukan, olahraga dan `pom-pom'. Lelaki pula bercakap tentang turun-naik saham, pelaburan dalam dana pencen, kemajuan dalam kerjaya dan apa yang hendak dilakukan di hujung minggu.

Bagaimanapun, mereka sangat seronok bercakap tentang kejayaan yang diukur dengan wang. Pemain bola keranjang ini dapat sekian-sekian juta setahun. Pemain golf itu dapat `sponsor' berjuta-juta ringgit. Peninju Evander Holyfield dapat AS$20 juta sekali masuk gelanggang. Mereka juga seronok dan kagum Julia Roberts mendapat 20 juta dolar untuk sebuah filem. Senarainya tidak habis.

Kalau ada pun agensi yang mereka kerap sebut ialah Federal Bureau of Investigation (FBI), iaitu agensi yang mengambil tahu kehidupan mereka dalam negara. Oleh itu bolehlah dibuat kesimpulan bahawa cakap-cakap politik dan apa yang hendak AS lakukan terhadap dunia berlaku di ibu kota Washington, tempat bertumpunya ahli-ahli politik penting AS. Oleh itu CIA tidak menjadi buah mulut.

Hanya apabila berlakunya sesuatu yang menjadi berita hangat, itulah masanya rakyat AS terkejut. Selepas itulah mereka cuba hendak tahu keadaan sebenar. Dalam tahun lapan puluhan dahulu, ada seorang ejen CIA yang tinggal di utara Thailand menulis surat kepada pemerintah di Bangkok. Surat itu mengata-ngata dan menunjuk ajar bagaimana hendak mengatasi masalah yang dihadapi Thailand ketika itu. Berikutnya, didapati surat itu datang daripada ejen tersebut. Ejen itu mengaku setelah didedah. Beliau diperintah keluar dari Thailand serta-merta.

Segalanya membuktikan bahawa tindak-tanduk CIA adalah lumrah. Di Moscow, selalu berlaku insiden di mana Rusia menghalau keluar pegawai-pegawai kedutaan AS kerana didapati mereka ejen CIA. Namun begitu, Rusia juga bukan pihak tidak berdosa. Ejen-ejen KGB juga ramai dihalau dari Washington.

Oleh itu bukanlah luar biasa bagi sesetengah pihak mengesyaki ada CIA di belakang rusuhan di Filipina dan Indonesia. Mungkin benar, mungkin tidak. Namun AS menganggap segala syak wasangka itu sebagai satu risiko kecil untuk mencapai tujuan yang lebih besar, sesuai dengan tanggapannya sebagai superpower dunia yang tunggal.

Tidaklah diketahui dengan sebenarnya kenapa AS begitu bertumpu perhatian `kritisnya' kepada negara-negara seperti Malaysia yang terletak 15,000 kilometer dari negaranya. Kita hanya boleh membuat sedikit kesimpulan dengan menggunakan sejarah. Suatu masa lebih sedikit 200 tahun dahulu, pada suku terakhir abad ke-18, tentera kerajaan Islam Turki yang memerintah Ottoman Empire (menurut istilah Inggeris) terpaksa berundur dari Vienna, Austria, apabila askar-askar dari Eropah Utara datang menolong. Kalau tidak, orang Eropah sendiri mengaku mereka pasti dipaksa memeluk agama Islam.

Ketika itu Turki sudah menakluki sesuku bumi Eropah Barat. Sejarah ini mengagumkan dunia Islam tetapi sangat menakutkan dunia Kristian. Mungkin kerana ketakutan inilah maka negara Islam utama dunia sebelah sini seperti Indonesia dan Malaysia diberikan perhatian lebih daripada sepatutnya.

Negara-negara Islam di dunia Arab dan Afrika, usah dicakap lagi, sudah lama bernaung di bawah sayap Barat, ataupun terlalu lemah untuk menjadi sebarang ancaman kepada sesiapa.

Malaysia yang menyerlah sebagai negara Islam moden dan boleh berprestasi baik dalam ekonomi serta berimbang dalam politik antarabangsa, menarik perhatian Barat. Justeru Malaysia tidak boleh dibiarkan begitu terus-menerus. Kalau dibiarkan, ia kelak mampu memimpin dunia Islam sebagaimana ia mampu menjadi jurucakap Dunia Ketiga.

Mungkinkah segala bimbang dan ragu ini menjadi sebab mengapa Washington dan sebahagian Barat begitu tertarik kepada nasib Anwar Ibrahim? Sedangkan mereka sedar perjuangan keislaman Anwar mendebarkan hati mereka sebelum Anwar diambil masuk ke dalam kerajaan.

Tegasnya, mungkin tujuan sebenar ialah untuk melihat pergolakan terus berlaku supaya negara tidak stabil, segala sumber ekonomi dan sumber tenaga manusia menjadi sesia serta tidak menyumbang kepada prestasi ekonomi. Inilah resipi kelumpuhan seperti yang berlaku di dunia Arab dan Afrika Utara. Di kalangan mereka, penawar yang masih ada ialah minyak. Tanpa minyak, Tuhan sahaja yang maha mengetahui.

Kalau ada pepatah Melayu yang berbunyi `kalau tiada angin masakan dahan bergoyang' dan pepatah Inggeris berbunyi `masakan ada asap kalau tiada api', maka berawas-awaslah kita setiap kali kita nampak `asap' berkepul dan `dahan' berayun-ayun.

Nasib individu, datang dan pergi. Nasib tanah air menjadi maruah generasi. Malaysia tidak memerlukan seorang `Roosevelt' di tengah-tengah kehidupannya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi