Make your own free website on Tripod.com

RENCANA

Berita Harian 09 April 2001

Langkah persiapan negara menjadi kerajaan elektronik


MISI Kerajaan Malaysia untuk beroperasi sebagai kerajaan elektronik atau e-kerajaan bukan saja menggambarkan kecanggihan, kemajuan dan kemampuan kewangan negara untuk menampung pembiayaan elektronik dalam agensi kerajaan, malah menunjukkan kemampuan kakitangannya dalam mengendalikan segala urusan dalam bentuk digital.

Sistem itu akan memudahkan banyak urusan seharian dan memendekkan tempoh penyediaan dan penyelesaian sesuatu urusan penting.

Banyak maklumat yang dapat dikongsi bersama bagi memudahkan pengurusan semua agensi kerajaan dan orang ramai. Dengan adanya sistem itu, akan dapat mengurangkan masa untuk menunggu giliran dan perjalanan ke sesuatu jabatan atau pejabat pengurusan untuk menyelesaikan urusan mereka.

Semuanya boleh dilakukan secara terus melalui talian komputer di pejabat atau di rumah masing-masing. Ini kerana urusan online biasanya dibuka di antara 12 hingga 20 jam sehari, kecuali apabila berlaku sebarang perubahan atau gangguan teknikal.

Sistem pengurusan elektronik juga mungkin dapat mengurangkan tekanan perasaan kerana ia lebih mudah dan tidak ada interaksi yang perlu dilakukan dengan kakitangan bertugas (yang sering menjadi rungutan apabila berurusan dengan jabatan kerajaan kerana layanan yang diberikan.)

Untuk memastikan matlamat itu dapat dilaksanakan dengan sempurna, kerajaan perlu menentukan setiap menteri, ketua jabatan serta pegawainya mahir menggunakan komputer dan Internet.

Golongan yang dinyatakan ini tidak semestinya berpuas hati dengan hanya menaruh kepercayaan kepada mereka yang mahir dengan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Mereka mesti juga memainkan peranan sebagai pemain utama dan menunjukkan teladan dan kepakaran dalam bidang ini.

Kemudahan dan kelebihan yang boleh diperoleh dari ICT perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat dan meningkatkan keupayaan negara untuk bersaing di arena antarabangsa.

Apa yang lebih penting kerajaan perlu bersedia dengan cabaran yang bakal dihadapi sekiranya kerajaan elektronik berjaya dilaksanakan.

Perkara ini sudah tentunya dikenal pasti oleh badan bertindak atau badan penggerak kepada misi kerajaan ini seperti berdepan dengan keupayaan Internet yang tidak mengenal sempadan dunia.

Ini bermaksud bersedia menerima musuh bukan saja dari dalam, bahkan dari luar.

Keupayaan penceroboh komputer tidak boleh dipandang ringan. Tambahan pula perisian untuk tujuan itu boleh didapati dengan mudah dan kadang kala boleh diperoleh dengan percuma di beberapa laman web.

Penceroboh hanya perlu mencari sasarannya dan perisian itu semakin hari semakin canggih berbanding perisian antivirus untuk mengelak atau menangkis serangan sedemikian.

Perbuatan itu bukan saja boleh menjejaskan urusan perseorangan, harian rakyat atau rasmi kerajaan, bahkan boleh melumpuhkan ekonomi sesebuah negara dengan serangan strategik.

Contohnya, serangan virus Melissa tidak lama dulu menyebabkan Amerika menanggung kerugian AS$80 juta (RM304 juta).

Melissa hanya salah satu dari beratus virus yang kita dengar setiap tahun. Sementara virus e-mel I Love You yang disebarkan pada 4 Mei tahun lalu, dianggar menyebabkan kerosakan berbilion dolar apabila menjangkiti sekurang-kurangnya 45 juta komputer dari firma utama Amerika hingga ke Pentagon dan Parlimen Britain.

Ia adalah serangan paling besar seumpamanya setakat ini. Dalam tahun yang sama juga enjin pencarian Internet Singapura Golden-village.com telah dilumpuhkan dengan mewujudkan gambar Adolf Hitler memeriksa barisan askarnya di hompej itu.

Soal telekomunikasi juga tidak lagi boleh dikatakan kepunyaan negara kerana ia memerlukan kerjasama dan penggantungan secara global.

Sistem telekomunikasi bukan saja digunakan untuk berkomunikasi, malah penggunaannya lebih meluas meliputi segala bentuk urusan harian.

Oleh sebab itu juga, kecurian dan rompakan melalui ruang siber bukan lagi perkara asing dalam dunia hari ini.

Dalam satu kes yang diselesaikan oleh Biro Siasatan Persekutuan Amerika (FBI), membabitkan kumpulan dari Russia yang memecah masuk sistem pengurusan kewangan Citibank dan melakukan rompakan maklumat nombor akaun bank pelanggan, yang kemudiannya digunakan untuk memindahkan wang ke akaun simpanan bayangan mereka.

Beberapa orang dari kumpulan itu kemudian dihantar ke beberapa negara untuk mengeluarkan wang tunai dari akaun berkenaan.

Kes yang dapat diselesaikan oleh FBI New York ini adalah satu kejutan dan peringatan betapa rapuhnya perlindungan maklumat dalam e-perbankan dan masalah besar yang boleh menimpa pelanggan dan pihak bank.

Teknik memecah masuk sistem komputer bukan satu cara baru untuk mendapatkan maklumat rahsia yang sensitif dari sesebuah agensi kerajaan atau badan perniagaan, kerana berlaku sejak teknologi komputer mula digunakan, terutama pada waktu peperangan untuk mengintip strategi peperangan pihak musuh.

Maklumat rahsia dalam kerajaan dan rahsia penyelidikan adalah suatu yang sering menjadi rebutan negara lain yang mempunyai agenda tersendiri.

Mereka yang memperoleh maklumat ini akan mempunyai kuasa dan sumber kewangan yang tidak ternilai.

Dengan sebab itu Kerajaan Malaysia mesti memandang berat soal sekuriti, perlindungan maklumat dan meningkatkan kefahaman kakitangan kerajaan mengenai ICT.

Pengetahuan luas mengenai penggunaan komputer semata-mata masih tidak mencukupi kerana ciri perlindungan yang terbabit dalam teknologi ini perlu diberi perhatian utama, sebelum melaksanakan sepenuhnya urusan dalam bentuk elektronik.

Bahkan kerajaan perlu mempunyai rakyat yang berkemampuan berurusan melalui elektronik.

Kita juga perlu mempunyai rakyat yang mahir dalam selok-belok penggunaan sistem digital supaya tidaklah berharap kepada orang luar untuk meningkatkan tahap keselamatan dan mencipta sistem tersendiri untuk kerajaan mereka.

Ini bermakna kerajaan perlu bersedia dari segala segi baik kewangan bagi penyediaan infrastruktur teknologi terbaik, kemahiran profesional untuk mengendalikan teknologi itu, kemampuan kakitangan kerajaan dalam pengurusan dan rakyat yang mampu menggunakan sistem yang disediakan untuk mereka, sebelum boleh diiktiraf sebagai kerajaan elektronik.

Tidak ada apa yang boleh dibanggakan jika segala kemudahan elektronik dapat disediakan oleh kerajaan tetapi tiada siapa yang dapat mengurus, mengendali dan menggunakannya.

Mungkin ia akan mengambil masa yang lebih lama daripada yang dijangka, namun persediaan ke arah itu sedang giat dijalankan dan memerlukan sokongan bukan saja daripada kakitangan kerajaan, profesional dan cerdik pandai, malah bantuan dan kepakaran dari luar untuk memastikan ia berjalan lancar. Kita juga perlu memastikan pemindahan teknologi dan kepakarannya kepada rakyat negara ini.

Malaysia memerlukan usaha berlipat kali ganda daripada negara seperti Singapura, Jepun, Amerika dan Britain kerana negara itu walaupun sudah maju, masih lagi tercari-cari sistem sekuriti terbaik. Negara itu juga terus dilanda masalah berkaitan dengan ICT.

Selain itu negara yang dikatakan maju dalam bidang ini pun masih lagi mempunyai ramai rakyat yang buta komputer.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi