Make your own free website on Tripod.com

RENCANA

Berita Harian 10 April 2001

Industri ikan air tawar boleh penuhi permintaan


KUALA LUMPUR, Isnin – Jabatan Perikanan yakin industri akuakultur ikan air tawar tempatan dapat memenuhi permintaan pasaran antarabangsa dalam jangka masa kira-kira lima tahun lagi.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Hashim Ahmad, berkata tempoh itu adalah lebih singkat berbanding jangkaan asal iaitu kira-kira 10 tahun berikutan peningkatan ikan di pasaran kerana pertambahan penduduk.

Bagaimanapun, katanya, matlamat itu akan dapat dicapai sekiranya jabatan mendapat kerjasama semua pihak termasuk swasta.

Katanya, pihak yang terbabit dalam industri akuakultur perlu mematuhi garis panduan dan kod amalan yang ditetapkan jabatan bagi memastikan ikan yang dihasilkan bermutu.

“Kita bukan saja mahu peningkatan kuantiti ikan akuakultur malah memastikan kualitinya mematuhi piawaian pasaran antarabangsa kerana pengguna sekarang menitikberatkan kualiti barangan,” katanya selepas majlis pelancaran Citarasa Ikan Air Tawar Malaysia di Hotel Mutiara di sini, hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Raja Permaisuri Agong Tuanku Siti Aishah sebelum melawat pameran dan demonstrasi masakan ikan air tawar.

Turut hadir, Menteri Pertanian, Datuk Dr Mohd Effendi Norwawi dan isteri, Datin Farida Effendi.







; Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian, Datuk Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor dan Pengurus Besar Kumpulan Pernas Hotel Management Sdn Bhd, Zarita Noordin.

Citarasa Ikan Air Tawar Malaysia adalah program berterusan anjuran bersama Jabatan Perikanan dan Hotel Mutiara Kuala Lumpur bagi mempromosikan ikan air tawar kepada orang ramai.

Antara kegiatan dalam program ini termasuk wakil setiap negeri mempersembahkan masakan kepada pengunjung; Jabatan Perikanan menerbitkan buku Citarasa Ikan Air Tawar Malaysia iaitu koleksi 70 resipi masakan ikan air tawar di seluruh negara manakala Hotel Mutiara memasukkan hidangan ikan air tawar dalam menu sajian harian kepada pengunjung.

Terdahulu, Dr Mohd Effendi ketika berucap pada majlis pelancaran itu berkata, permintaan ikan dijangka terus meningkat sehingga dua juta tan metrik ikan negara menjelang 2010 meskipun pendaratan ikan semasa hanya kira-kira 1.3 juta tan ikan metrik setahun.

Sehubungan itu, Kementerian Pertanian menganggarkan akuakultur ikan air tawar mampu menghasilkan kira-kira 200,000 tan metrik ikan setahun sekiranya sumber yang ada dimajukan dengan teknologi ternakan komersial.



Sementara itu, Hashim berkata, bagi memastikan kemampuan menampung kekurangan bekalan kira-kira 600,000 tan metrik ikan setahun, Jabatan Perikanan akan memperluaskan peranan industri akuakultur.

Beliau berkata, jabatan sudah mengenal pasti beberapa kawasan seluas 350,000 hektar di Johor, Selangor, Perak, Sarawak dan Pahang yang akan direzabkan untuk pembangunan industri akuakultur.

Sehingga kini, kira-kira 17,000 hektar kawasan di seluruh negara dibangunkan untuk industri akuakultur oleh penternak kecil.

Katanya, kemajuan industri akuakultur memerlukan kerjasama penuh sektor swasta dan ia tidak memadai dengan hanya pembabitan segelintir penternak kecil yang mempunyai keupayaan terhad termasuk dari segi pemasaran.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi