Make your own free website on Tripod.com

RENCANA

Berita Harian 10 April 2001

Pembangkang tiada semangat patriotik


SHAZIMAN Abu Mansor, 37, lulusan Kejuruteraan Awam daripada Indiana State University (ISU), Ohio, Amerika Syarikat dilahirkan di Ipoh, Perak pada 1964 tetapi dibesarkan di Tampin, Negeri Sembilan.

Keluarganya kembali menetap di kampung halaman di bandar Tampin selepas ayahnya tamat perkhidmatan dengan Keretapi Tanah Melayu. Beliau memulakan persekolahan rendahnya di Tampin dan meneruskannya di Sekolah Menengah Teknik Seremban, Negeri Sembilan. Kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memberinya peluang melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam jurusan Kejuruteraan Awam. Seterusnya, beliau meneruskan pengajian dalam bidang yang sama di ISU. Beliau berjaya menamatkan pengajian pada 1989, namun suasana ekonomi negara yang muram ketika itu menyebabkan beliau mengambil keputusan bekerja sendiri dengan berniaga secara kecil-kecilan.

Percampuran yang meluas dengan rakan perniagaan, termasuk daripada ahli Umno membuka hatinya untuk bergiat aktif dalam Umno cawangan Tampin. Bermula sebagai ahli Umno cawangan bandar Tampin, laluan sentiasa terbuka untuknya meniti ke puncak sehingga dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno bahagian Gemenceh.Kerjayanya dalam bidang politik sememangnya cerah apabila bapa yang bakal menimang anak kedua tidak lama lagi itu diberi peluang oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad bertanding sebagai calon Ahli Parlimen Tampin pada pilihan raya umum 1999. Beliau dilihat calon muda dalam Umno paling sesuai ditonjolkan ketika itu bagi mententeramkan suasana dalaman parti yang bergolak di bahagian itu. Shaziman ketika ini adalah Ahli Parlimen termuda yang mewakili Umno. Beliau juga Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan serta ahli Exco Pergerakan Pemuda Umno yang diberikan tanggungjawab sebagai Timbalan Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda.Ikuti temubual penulis khas Berita Harian (BH), AZHAR ABU SAMAH dan KHAIRUL ANWAR RAHMAT dengan beliau yang menyentuh pelbagai isu semasa, termasuk mutu perbahasan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.



BH: Sebagai Ahli Parlimen yang mewakili generasi muda Umno, bagaimana saudara melihat senario pembangkang di Malaysia hari ini?

SHAZIMAN: Dalam barisan pembangkang ada orang muda dan ada yang berumur. Pada masa ini mereka tidak lagi terlalu ekstrim pada agama kerana mereka sudah liberal dan rasional. Tapi masalahnya, pembangkang di Malaysia langsung tiada semangat patriotisme. Mereka hanya tahu mengkritik. Kalau kita dengar ucapan pemimpin mereka, boleh dikatakan tiada satu pun yang dilakukan kerajaan betul.

Mereka (pembangkang) sepatutnya lebih rasional. Kalau perkara itu betul, katakan betul dan yang salah, katakan salah. Bukannya kritik semua sekali sehingga tidak memberi cadangan untuk pembaikan. Inilah yang berlaku dalam Parlimen ketika ini. Kepada pembangkang, kalau mereka mahu tunjuk hebat dan boleh mentadbir kerajaan, mereka perlu buktikan. Lagi pun mereka (Pas) sudah memerintah Kelantan hampir 10 tahun. Apa yang terjadi kepada kerajaan Kelantan? Kadar kemiskinan semakin lama semakin teruk. Di Terengganu, saya rasa jika tiga atau empat bulan lagi Kerajaan Pusat tidak tolong, mereka mungkin tidak mampu membayar gaji kakitangan kerajaan.

Pembangkang tiada semangat cintakan negara atau memberi kritikan membina untuk memajukan negara. Sebaliknya, mereka hanya kritik untuk menjatuhkan kerajaan.

Ada dua jenis pembangkang iaitu mengkritik untuk memajukan negara dan mengkritik untuk menjatuhkan negara. Apa yang kita ada ialah pembangkang yang mengkritik untuk menjatuhkan negara dan inilah yang menyusahkan negara kita. Biasanya mereka tiada isu khusus untuk berhujah dalam Parlimen. Mereka akan gunakan apa saja isu yang boleh dimanipulasi untuk menjatuhkan kewibawaan kerajaan. Mereka buat kajian untuk mencari kesilapan kerajaan. Mana-mana yang silap dikritik dan ditokok tambah. Tetapi, pembetulannya tidak ada. Di pihak kerajaan, majoriti Ahli Parlimennya boleh bercakap dan mengutarakan idea bernas. Tidak seperti pembangkang yang hanya ada dua tiga orang jurucakap dan menjadi ayam sabung. Kekuatan Barisan Nasional (BN) ialah kita bergerak secara berkelompok, berbanding pembangkang yang lebih suka bercakap daripada memberi sumbangan untuk membina negara.

BH: Pembangkang masih menjaja isu royalti minyak Terengganu walaupun perkara itu sudah dikemukakan kepada mahkamah untuk memutuskannya?

SHAZIMAN: Inilah masalah Pas. Mereka tidak menghormati undang-undang kerana walaupun perkara itu sudah dibawa ke mahkamah, mereka masih membincangkannya di depan orang ramai. Ini satu contoh kebiadapan Pas.

BH: Sekutu Pas, Parti Keadilan Nasional (Keadilan) baru-baru ini dilihat cuba meraih bantuan asing dengan menggembar-gemburkan soal rawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada perwakilan asing?

SHAZIMAN: Kebanyakan parti pembangkang termasuk Keadilan, semangat mereka untuk mencintai bangsa dan negara ini terlalu kurang.

Tujuan mereka ialah untuk mendapat kuasa, mentadbir dan memerintah walaupun negara ini tergadai dan bukan lagi diperintah oleh rakyat negara ini. Sepatutnya, tidak boleh ada dan terselit dalam sanubari setiap rakyat Malaysia sikap sebegini.

Tidak kira sama ada orang Melayu, Cina, India, penyokong kerajaan mahu pun pembangkang. Sikap sebegini tidak sepatutnya ada. Pada saya, Keadilan hanya boleh bertahan selagi ada isu Anwar.

Perjuangan mereka tidak jelas. Saya sendiri pun tidak faham matlamat dan agenda mereka, selain memastikan Anwar dibebaskan. Lain daripada itu, saya pun tak tahu.

BH: Ketika ini, golongan muda dilihat banyak menguasai Keadilan?

SHAZIMAN: Separuh daripada mereka dahulunya mempunyai hubungan rapat dengan Anwar kerana beliau banyak membantu mereka menjadi ahli perniagaan.

Ada orang berpolitik kerana menganggap dia satu-satunya sumber untuk mereka cari makan. Bila sumber itu (Anwar) sudah tidak ada, mengamuklah mereka. Orang akan marah apabila susah nak cari makan.

Macam di Indonesia, kalau di sana mudah orang cari makan, saya rasa mustahil ada rusuhan besar-besaran.

Di Malaysia, kalau mahu panggil orang ramai datang berdemonstrasi mereka pasti tidak mahu kerana mudah mencari makan di negara ini. Rusuhan akan berlaku apabila orang susah nak cari makan.

Kita juga perlu faham kedudukan sebelum ini. Masalah ekonomi yang berlaku hari ini bukannya berlaku ketika Tun Daim Zainuddin menjadi Menteri Kewangan tetapi sewaktu Anwar. Isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan time.dotcom juga berlaku ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan tetapi ia berlanjutan ketika Daim pegang jawatan. Ini yang orang tidak nampak lalu terus menghentam kerajaan. Lesen judi di Sabah siapa yang luluskan. Ini realiti yang tidak dapat disembunyikan. Tetapi, tidak pula ketika itu orang Pas berduyun-duyun menyokong Anwar.

BH: Ada individu yang kononnya sudah tidak mendapat sokongan untuk memegang jawatan dalam Umno dilihat mahu melakukan sesuatu yang boleh merosakkan imej parti.

Bagaimana saudara melihat tindakan individu berkenaan?

SHAZIMAN: Bagi saya, tidak kira siapa pun, semangat kepada parti itu penting.

Kalau seseorang ahli itu boleh meletakkan kepentingan parti melebihi segala kepentingannya, saya yakin tidak akan ada individu pun yang akan berasa kecewa sekiranya tidak diberi tempat, sama ada dalam parti mahu pun kerajaan.

Perkara sebegini akan hanya berlaku jika individu itu mempunyai kepentingan lain yang melebihi kepentingan parti.

Inilah yang berlaku apabila tidak dapat menjadi calon sama ada ketua bahagian atau ketua pemuda, mereka mula hendak menyisihkan diri daripada Umno dan mengalih sokongan kepada parti lawan.

Ini tidak sepatutnya berlaku jika nawaitunya itu ialah berjuang untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.

BH: Pembentukan jawatankuasa khas oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk menyiasat dakwaan individu berkenaan seolah-olah menunjukkan bahawa Umno memberi ruang kepada golongan ‘bermasalah’ untuk mendengar keluhannya dan ini memberi peluang kepada yang lain untuk mengikuti jejaknya?

SHAZIMAN: Saya bersetuju dakwaan itu disiasat secara terperinci. Tetapi, jika perkara itu sudah berlaku 10 atau 15 tahun lalu, kenapa baru sekarang mahu mengetengahkan kes ini? Masa ada kuasa, kenapa tidak mahu menangani masalah itu? Ini satu lagi penyakit dalam Umno.

Pemimpin parti atau pemimpin kerajaan apabila berkuasa tidak berani membetulkan sesuatu keadaan. Tetapi, apabila sudah hilang kuasa, mulalah nak mencaci dan mencari kesilapan parti dan kerajaan. Ini satu amalan yang tidak sepatutnya berlaku.

Jangan hanya lantang sebelum dilantik memegang sesuatu jawatan, selepas dapat diam saja dan jadi yes man. Kalau dalam parti, kita boleh buat teguran melalui saluran yang betul. Jangan hentam kerajaan tak tentu arah dalam akhbar, media atau beritahu orang asing. Bawa bincang dalam mesyuarat MT, mesyuarat bahagian atau mesyuarat cawangan. Saya rasa Presiden parti dan pemimpin atasan lain boleh menerima teguran, asalkan ia dibuat dengan cara betul. Tetapi, yang sedihnya apabila sudah dapat tempat sama ada sebagai MT atau menteri, sudah tidak boleh bersuara lagi.

Daripada pandai bercakap menjadi bodoh. Ini yang susah. Apabila turun ke akar umbi berani berkokok, tapi apabila mesyuarat dia diam. Ini yang menimbulkan masalah. Budaya seperti ini harus dikikis sekiranya mereka ikhlas berjuang untuk Umno.

BH: Selaku Timbalan Pengerusi Biro Antarabangsa Pergerakan Pemuda Umno, apa fungsi sebenar biro ini?

SHAZIMAN: Dalam mesyuarat Exco Pemuda, Ketua Pemuda (Datuk Hishammuddin Tun Hussein) meminta Biro Antarabangsa menjalinkan hubungan rapat dengan negara Asia Tenggara.

Selain hubungan kerajaan yang sedia ada, kita mahu menggalakkan hubungan antara pemimpin pelapis di Asia Tenggara sama ada dengan Indonesia, Thailand, Filipina dan negara lain.

Program sebegini, secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan sedia ada di antara negara terbabit. Kami juga membantu mereka di sana yang menghadapi masalah dan memberi sumbangan termampu.

BH: Bagaimana penerimaan pemimpin negara luar terhadap pemimpin Pemuda Umno?

SHAZIMAN: Mereka memandang tinggi kepada kerajaan kita kerana berjaya menguruskan negara ini dengan baik kerana sesungguhnya bukan semua negara yang sudah merdeka akan beroleh kejayaan dalam pentadbirannya.

Kita cukup bertuah kerana bukan saja negara kita merdeka, tetapi ia juga berjaya diuruskan dengan baik.

Malah, ia dijadikan contoh sebagai antara negara membangun terbaik. Kita berasa bangga kerana menjadi Exco Pemuda kepada Umno yang menjadi tunjang BN, iaitu parti komponen yang memerintah negara ini.

BH: Fokus Pergerakan Pemuda Umno sekarang ialah untuk menjadi jurubicara rakyat. Apa yang mahu diperjuangkan Pemuda Umno?

SHAZIMAN: Ini adalah satu tugas murni yang dilaksanakan Pemuda kerana pemimpin atasan lebih suka turun ke akar umbi hanya untuk memberi penjelasan dan mereka tiada masa untuk mendengar rintihan akar umbi. Jadi, kekosongan yang ada diambil alih Pemuda Umno untuk melaksanakan tanggungjawab menyampaikan perasaan rakyat ke peringkat tertinggi. Ini satu tanggungjawab berat yang boleh membantu memperkukuhkan Umno jika pucuk pimpinan parti boleh mendengar dan sama-sama berbincang apa yang diketengahkan Pemuda Umno.

BH: Nampaknya banyak perkara yang mahu dilakukan Pemuda Umno. Adakah ia berjaya diselesaikan sebelum pilihan raya umum akan datang?

SHAZIMAN: Dalam tempoh empat tahun akan datang, mungkin segala masalah tidak akan selesai 100 peratus.

Yang jelas, Pemuda Umno tidak pernah mengenepikan masalah yang dihadapi rakyat seperti kemiskinan dan masalah pemasaran bagi golongan petani dan golongan lain yang memerlukan perhatian dan bantuan.

Kita tidak berdiam diri dan sentiasa berusaha menangani masalah yang dihadapi rakyat.

Ini penting supaya persepsi masyarakat jelas bahawa Pemuda Umno bekerja untuk rakyat. Walaupun menjelang pilihan raya umum akan datang masalah ini tidak selesai sepenuhnya, tetapi ia tetap konsisten bahawa Umno memperjuangkan nasib golongan bawahan.

Kalau pandangan sebegini tidak ada lagi di mata rakyat, Umno akan mendapat susah. Sebab itu, sekarang ini Pemuda Umno turun ke kampung, jumpa nelayan dan memaklumkan kepada peringkat atas segala masalah mereka.

Alhamdulillah, kita mendapat sokongan daripada pihak atasan untuk menyampaikan bantuan kepada yang memerlukan.

BH: Umno juga perlu bekerja keras untuk menarik sokongan rakyat sebelum pilihan raya akan datang?

SHAZIMAN: Apabila ramai pemimpin Umno sudah berkata bahawa kita perlu balik kepada perjuangan asal, maknanya kesedaran sudah wujud. Mungkin pemimpin Umno sedar berlaku kesilapan ketika memimpin parti sebelum ini.

Antara faktor yang menyebabkan kita kalah di dua negeri (Kelantan dan Terengganu) ialah faktor Anwar yang gagal dijelaskan oleh pemimpin Umno. Kita terlalu lambat menangani isu itu kepada rakyat dan ini menyebabkan undi yang diterima merosot.

BH: Isu Amanat Hadi juga menjadi penghalang kepada Umno.

Pas melihatnya sebagai isu lama yang tidak perlu dibangkitkan lagi. Apa pandangan saudara mengenai perkara ini?

SHAZIMAN: Dulu Umno berasakan Amanat Hadi bukan satu faktor yang mendorong orang Melayu menyokong Pas. Tetapi, hari ini gambaran yang diberi menunjukkan seolah-olah Umno sebagai parti yang tidak memperjuangkan Islam.

Sebenarnya, Umno sudah melakukan banyak usaha untuk menerapkan nilai-nilai Islam di kalangan orang Islam. Kalau dulu wanita Islam tidak ramai yang bertudung sekarang ini semakin ramai yang menutup aurat mereka.

Di universiti tempatan, misalnya, lebih 85 peratus pelajar perempuan Islam memakai tudung. Ini adalah contoh penerapan nilai Islam yang berjaya diterapkan kerajaan pimpinan Umno.

Pada masa sama pihak yang mendakwa Pas itu Islam dan Islam itu Pas. Umno mahu menghentikan semua ini supaya orang Melayu tidak terkeliru dengan Amanat Hadi.

Maknanya, walaupun penyelesaian isu ini dikira terlambat, namun ia masih perlu ditangani.

BH: Bagaimana saudara melihat pertemuan di antara Pas dan Umno untuk membincangkan soal perpaduan Melayu?

SHAZIMAN: Secara peribadi saya mengharapkan pertemuan yang dirancang itu menjadi kenyataan. Ini kerana pertemuan Umno dan Pas untuk membincangkan soal perpaduan orang Melayu yang menjadi teras kepada perpaduan nasional. Oleh kerana orang Melayu menjadi golongan majoriti negara ini, maka ia penting untuk keamanan dan ketenteraman negara. Tetapi, pada masa sama, saya rasa agak sukar perkara itu berlaku kerana saya lihat Jawatankuasa Teknikal Pas mengemukakan pelbagai syarat yang keterlaluan.

Untuk berjumpa saja sudah mengenakan pelbagai syarat. Saya rasa pertemuan ini sukar berlaku kecuali ada kesedaran di kalangan pemimpin Pas untuk lebih ikhlas memperjuangkan perpaduan Melayu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi