RENCANA

Utusan Malaysia 11 April 2001

RRJP3 berorientasi ilmu

Oleh: SAIFUDDIN ABDULLAH
PELIK. Itulah gambaran yang diperlihatkan seorang Ahli Dewan Rakyat daripada bangku pembangkang yang membangkitkan masalah tidak cukup masa untuk menelaah buku Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga 2001-2010 (RRJP3) ketika ia dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat pada 3 April lalu.

Pelik kerana beliau kelihatan berminat dengan RRJP3. Sedangkan partinya menolak undangan Perdana Menteri untuk menganggotai Majlis Perundingan Ekonomi Negara Kedua (MAPEN II), iaitu salah satu wadah utama membuat perakuan-perakuan dalam proses penyediaan RRJP3.

Ini berlaku mungkin disebabkan Pelan Induk K-Ekonomi Negara yang asalnya dijangka siap pada hujung tahun lalu itu masih belum siap lagi!

Sebenarnya, terdapat sejumlah yang signifikan daripada kandungan RRJP3 yang datang daripada pandangan belia. Sebagai salah sebuah organisasi masyarakat sivil yang menganggotai MAPEN II, Majlis Belia Malaysia (MBM), misalnya, telah menyumbangkan enam daripada 137 memorandum yang diterima oleh MAPEN II.

Jika berasaskan ucapan Pengerusi MAPEN II, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid semasa menyerahkan Laporan MAPEN II kepada Perdana Menteri pada 2 November lalu, sebahagian besar daripada perakuan utama yang dinyatakannya dalam majlis itu ada terkandung dalam RRJP3. Kalau ada perbezaan besar ialah nama Dasar Wawasan Negara, di mana MAPEN II mencadangkan Dasar Pembangunan Wawasan.

Namun demikian, RRJP3 akan menjadi lebih mesra ilmu jika ia secara spesifik menyatakan dengan jelas mana-mana perakuan MAPEN II yang diterima pakai. Perdana Menteri cukup berterima kasih kepada MAPEN II. Ini tercatat dalam ucapan pembentangannya dan dalam kata aluannya bagi buku RRJP3.

Tetapi, kecuali satu perenggan di halaman 3, buku RRJP3 setebal 199 halaman yang diterbitkan oleh Unit Perancang Ekonomi itu, tidak menyatakan yang manakah daripada sembilan teras, 12 strategi dan 227 perakuan MAPEN II yang diterima pakai.

Ini bukanlah bermaksud bahawa buku tersebut perlu ditulis secara ilmiah seperti sebuah tesis atau disertasi akademik yang lengkap dengan nota kaki dan bibliografi yang teliti. Tetapi, dengan rujukan yang amat ringkas itu, sukar meyakinkan bahawa dasar negara yang memberikan tumpuan kepada persoalan ilmu itu telah ditulis dalam iklim yang berbudaya ilmu.

Bahkan, tidak dapat dipersalahkan jika ada yang berpendapat bahawa rujukan yang amat ringkas terhadap MAPEN II itu adalah sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.

Kini, RRJP3 berada pada tahap pelaksanaannya. Dalam konteks ini, belia perlu memainkan peranan yang aktif dan proaktif. Bukan sahaja dalam menuntut ilmu. Tetapi juga dalam membantu membangunkan ekonomi negara yang berasaskan ilmu.

Belia perlu menyediakan dirinya sebagai tenaga kerja berasaskan ilmu, iaitu melalui peluang pendidikan dan latihan yang disediakan, menghayati konsep pendidikan sepanjang hayat, dan menjadikan dirinya pakar dalam sesuatu bidang tertentu. Di samping itu, belia perlu meningkatkan minat dalam sains dan teknologi serta penyelidikan dan pembangunan, serta bersifat kreatif dan inovatif.

Jika ini dilengkapi dengan tujuh kekuatan dalaman yang diungkapkan Perdana Menteri ketika membentangkan RRJP3, iaitu komitmen dan kerja kuat, bersedia mencipta semula diri dan mengubah cara pemikiran, berinovatif, pintar, berdisiplin, mempunyai naluri kesegeraan, dan berjati diri, maka hasrat RRJP3 sebagai fasa kedua merealisasikan Wawasan 2020 akan berjaya.

Dari segi pembangunan belia, walaupun perkataan belia hanya dicatatkan di tiga halaman, manakala frasa pemimpin muda dan persatuan belia masing-masing tercatat sekali sahaja, namun RRJP3 memberikan tumpuan yang amat komprehensif terhadap belia dan pembangunan. Ini berdasarkan kupasannya yang meluas mengenai perkara-perkara dan bidang-bidang yang berkaitan dengan pembangunan belia. Kerana pembangunan belia tidak hanya terhad kepada yang terletak di bawah Kementerian Belia dan Sukan sahaja.

Ini adalah komitmen kerajaan. Tetapi, ini adalah pada peringkat dasar dan perancangan. Yang lebih mustahak berikutnya, ialah pelaksanaan, pemantauan dan penilaian - yang perlu kepada peningkatan yang berganda. Semua ini adalah tanggungjawab semua pihak.

Untuk memastikan kelicinan dan keberkesanannya, komitmen RRJP3 terhadap belia perlu diterjemahkan dalam bentuk Pelan Tindakan Pembangunan Belia Negara 2001-2010 (PEMBINA) yang memfokus kepada lima bidang utama pembangunan belia, iaitu pendidikan dan latihan, kesihatan dan masalah sosial, pekerjaan, nilai dan jati diri serta partisipasi belia.

SAIFUDDIN ABDULLAH ialah Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi