RENCANA

Utusan Malaysia 11 April 2001

Tentangan perjanjian tukaran mata wang

Oleh: MOWARDI MAHMUD
BAGI kebanyakan wartawan yang membuat liputan Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan ASEAN (AFMM) yang baru berakhir, ia agak `membosankan'. Berbeza dengan AFMM sebelumnya, hanya isu cadangan perjanjian pertukaran mata wang dua hala (BSA) yang dihangatkan oleh spekulasi media asing mencetus `kegamatan' di kalangan pelapor media.

Biarpun begitu, `keriuhan' adalah sekadar akibat `salah faham' terhadap dakwaan penolakan Malaysia dalam penglibatan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan juga kurangnya maklumat tepat yang disebarkan. Malah, media tempatan pula tidak kurang juga terikut-ikut disebabkan ketiadaan sumber lain terutamanya daripada wakil Malaysia yang boleh dijadikan rujukan.

Kekeliruan di kalangan media asing jelas sekali. Tidak menghairankan apabila Menteri Kewangan Malaysia, Tun Daim Zainuddin ketika mempengerusi sidang akhbar AFMM di sini pada Ahad lalu seperti jelak untuk menjawab soalan media asing yang terus bertanyakan pendirian Malaysia terhadap IMF dalam BSA, sedangkan ia telah dijelaskan berulang kali sebelum itu.

Pendirian Malaysia adalah jelas apabila meminta syarat-syarat yang dikenakan dalam BSA perlu mengambil kira keperluan setiap negara anggota. Ini kerana setiap negara berbeza keperluannya dan memerlukan pendekatan yang berlainan dalam menyelesaikan masalah masing-masing.

Selain itu, dalam keghairahan ASEAN untuk mengadakan BSA yang turut melibatkan kuasa ekonomi serantau iaitu Jepun, Korea Selatan dan China, ia dilihat sebagai perlu mempunyai syarat-syarat yang lebih baik berbanding yang ditawarkan oleh IMF.

Seperti kata Daim, tiada gunanya ASEAN berusaha payah bersidang menyediakan mekanisme bantuan sementara untuk menghadapi sebarang krisis kewangan, jika ia akhirnya membebankan negara-negara anggota itu sendiri.

Keinginan membuak-buak untuk mempunyai laluan kepada sumber dana kewangan sekiranya diambil kira dengan Jepun, Korea Selatan dan China membawa kepada penawaran rizab asing berjumlah AS$800 juta (RM3.04 trilion) tidak seharus menggelapkan mata negara anggota untuk memastikan mereka mendapat faedah yang terbaik.

Negara-negara ASEAN bagaikan sebuah keluarga dan setiap masalah yang diselesaikan hendaklah menggunakan penyelesaian yang mengambil kira kelemahan dan kekuatannya sebagai satu kesatuan.

Tindakan membawa masuk sebarang penyelesaian yang belum pasti sesuai tanpa mengambil kira keperluan-keperluan negara-negara anggota, akhirnya mungkin merugikan ASEAN.

Sikap terus terang Malaysia sememangnya wajar. Kalau diteliti, ia ada kebenarannya kerana apabila negara-negara anggota lebih bersedia untuk menerima pakai syarat-syarat IMF secara menyeluruh sebaik-baiknya ASEAN terus meminta bantuan IMF dan bukan menghabiskan masa untuk berbincang mengenai BSA. Bahkan, masa yang terbuang itu boleh digunakan untuk membincangkan perkara lain yang melibatkan usaha meningkat ekonomi serantau di tengah-tengah kemelut ekonomi semasa.

Berdasarkan reaksi negara-negara anggota, kebanyakan perwakilan sebenarnya memahami senario yang ada di hadapan mereka. Apa yang sebenarnya menjadi persoalan ialah keengganan sesetengah media asing menerima hakikat yang ada dan ketiadaan pula maklumat jelas sehingga ia mencetuskan pelbagai spekulasi.

Hakikat ini jelas apabila Jepun, China dan Korea Selatan akhirnya dikatakan telah memperlihatkan pendirian mereka yang lebih bertolak ansur setelah mereka dilaporkan beria-ia untuk menggunakan syarat-syarat IMF dalam memastikan wujudnya pengawasan dalam cadangan untuk membentuk BSA.

Melalui penerimaan itu, diharapkan negara-negara ASEAN mempunyai kesedaran bahawa sesetengah penyelesaian boleh diperoleh berdasarkan keupayaan diri sendiri. Penentangan Malaysia tidak harus dilihat sebagai satu penolakan semberono semata-mata tetapi demi untuk menjaga keutuhan ASEAN itu sendiri. Sebagai rantau yang menawarkan banyak peluang dan potensi ekonomi, Malaysia tidak mampu melihat ia menjadi milik orang asing.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi