RENCANA

Utusan Malaysia 13 April 2001

Rakyat perlu jaminan keselamatan

PENDEDAHAN yang dibuat oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai pada sidang akhbarnya semalam mengenai penahanan tujuh orang individu ahli politik dan aktivis sosial mengikut Seksyen 73(1) Akta Keselamatan Dalam Negari (ISA) amat menggerunkan.

Kita tidak mampu nampak lembut dan terlalu bertolak ansur di dalam soal memastikan keselamatan negara terus utuh kerana ia boleh mendatangkan padah yang buruk. Negara jiran kita adalah contoh terbaik. Di Indonesia apabila pihak keselamatan ragu-ragu pada awal krisis di dalam menggunakan segenap opsyen yang ada pada mereka menyebabkan kestabilan tidak lagi boleh dipulihkan.

Akibatnya berbagai bentuk jenis pelampau sama ada pelampau ras dan agama muncul disemarakkan lagi oleh para oportunis politik.

Di Malaysia pada tahun 1987 setelah berlaku ketegangan kaum akibat pembangkitan isu-isu sensitif ras dan agama oleh cauvanis, ekstremis dan oportunis pihak polis telah bertindak tegas dengan melaksanakan Operasi Lalang bagi mengawal suasana. Penahanan pencegahan dibuat dibawah ISA tanpa mengira bulu, ia melihat bukan sahaja ahli parti pembangkang dan aktivis sosial malahan ahli parti kerajaan juga ada yang dicekup.

Bukan sahaja Seksyen 73(1) ISA digunakan tetapi juga Seksyen 8 yang membenarkan Menteri Dalam Negeri melanjutkan tempoh tahanan selepas 60 hari kepada dua tahun. Kesan Operasi Lalang 1987 menyebabkan keadaan di dalam negara kembali tenang dan suhu perkauman dan ekstremisme agama menurun. Kemungkinan berlakunya satu lagi peristiwa 13 Mei 1969 juga berjaya dilenyapkan.

Kerajaan baru mengumumkan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ke-3 (RRJP3) dan pelaksanaan Dasar Pembangunan Wawasan (DPW) bagi menjadi fasa kedua pelaksanaan Wawasan 2020 bagi menjanjikan satu masa depan yang lebih gemilang dan makmur untuk rakyat Malaysia. Kerajaan juga baru mengumumkan langkah-langkah rangsangan fiskal bagi menyediakan negara dan rakyat bagi menghadapi kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS).

Ini penting bagi memastikan ekonomi kita tidak terjejas, tanpa rangsangan ini ia boleh menyebabkan masalah yang besar kerana 21 % daripada eksport kita pergi ke Amerika Syarikat dan ia juga merupakan salah satu pelabur asing terbesar Malaysia.

Di saat kelembapan ekonomi AS yang berkemungkinan menyebabkan masalah pemberhentian pekerja semakin meningkat dan prospek pertumbuhan ekonomi rancak menurun kita tidak memerlukan ketidakstabilan di dalam bentuk huru-hara jalanan menjejaskan tumpuan kerajaan bagi memastikan keperitan minimum dirasai rakyat. Oleh itu kita tidak perlu melayan kerenah manusia ganas yang suka mementingkan diri sendiri ini. Nafsu serakah mereka yang merancang ketidakstabilan ini harus diperangi habis-habisan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Jika berlaku huru-hara akan memberi peluang kepada pihak asing sama ada negara atau media yang tidak senang dengan kecapaian dan pendirian kita di dalam bidang dan dasar perdagangan antarabangsa dan pengaruh kita di dalam politik antarabangsa mengambil peluang untuk menangguk di air yang keruh. Laporan-laporan mereka akibat tindakan demonstrasi jalanan akan melambangkan kepada dunia bahawa kita negara yang huru-hara dan kucar-kacir. Ini akan menyebabkan potensi ekonomi kita terencat dan negara yang iri hati dengan langkah Malaysia bagi membantu memperkasa negara mundur dan membangun di benua Asia, Afrika dan Amerika Latin melalui perkongsian pintar, pelaburan dan kerjasama strategik melonjak kegembiraan. Tidak ada Malaysia yang berwibawa lagi bagi menghalang dominasi mereka.

Jika ini berlaku kita tidak akan mampu lagi menghadapi proses globalisasi secara yang berkesan, teratur dan strategik bagi mencapai faedah yang maksimum, kita mungkin akan ditelan arus globalisasi dan liberalisasi tanpa batas.

Kita mengucapkan tahniah dan syabas di atas ketegasan Cawangan Khas PDRM di dalam mengambil tindakan permulaan tetapi adalah diharapkan bukan sahaja Seksyen 73 (1) akan digunakan tetapi pihak kepemimpinan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menimbang untuk menggunakan Seksyen 8 jika siasatan mendapati ada asas membabitkan keselamatan negara.

Kita memerlukan bukan sahaja kepemimpinan yang tampak baik tetapi lebih utama yang tegas demi kebajikan rakyat dan survival negara. Masa berdolak-dalik dan menarik tali sudah berlalu. - MAZRI MUHAMMAD, Kota Bharu, Kelantan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi