RENCANA

Utusan Malaysia 14 April 2001

Korban tantalum memang dijangka


KAWASAN di sisi bilik pameran Proton Edar Sdn. Bhd. cawangan Butterworth berlubang-lubang digali sehingga ke bawah lantai bilik pameran oleh pencari logam tantalum baru-baru ini.

Oleh: ROZAMAN ISMAIL
KEJADIAN tiga pelombong haram mati setelah tertimbus hidup-hidup ketika sedang `melombong' logam berharga yang dikenali sebagai `sanga tantalum' di Taman Selat, Butterworth, Pulau Pinang Rabu lalu mengingatkan kita pada kemalangan yang sama pernah berlaku kepada para pelombong emas haram di Lubuk Mandi, Marang, Terengganu akhir tahun 1980-an dahulu.

Cuma yang membezakannya ialah, Lubuk Mandi di Marang adalah kawasan lombong emas dalam erti kata sebenar, manakala `lombong tantalum' di Taman Selat pula terletak di tengah-tengah bandar dan merupakan pusat perniagaan utama di Seberang Perai!

Tiga `pelombong' malang itu Imran Hamid, 20, Khairul Anuar Mohd. Basir, 20 dan Aniza Mohd Yatim, 29, tertimbus ketika melombong tantalum di bawah Bilik Pameran Kereta Usaha Sama Proton-DRB.

Mereka dipercayai menggali lubang sehingga menjadi seperti terowong di bawah lantai bangunan tersebut sebelum tanah runtuh dan menimbus mereka.

Setakat ini kawasan itu sudah `meragut nyawa' empat mangsa. Mangsa pertama ialah seorang pembuat roti canai Abdullah Talib, 28, yang turut tertimbus hidup-hidup ketika sedang melombong logam tersebut di Jalan Pantai pada 6 November tahun lepas.

Pada 5 April lalu seorang lagi pelombong, R. Saravanan nyaris maut apabila batu konkrit bangunan yang sama menimpa tangan kanannya ketika sedang mengorek tanah berhampiran bangunan itu.

Kegiatan mencari dan melombong sanga tantalum di negeri ini sebenarnya sudah lama bermula, ia terhenti seketika dan hidup semula pada tahun 1998 apabila orang ramai membanjiri satu kawasan lapang berhadapan dengan kilang Malaysia Smelting Corporation (MSC) di Jalan Pantai setelah mengetahui kawasan itu mengandungi logam berharga tersebut.

Setiap hari tidak kurang daripada 200 `pelombong' daripada pelbagai lapisan masyarakat mencuba nasib, menggali dan mencari logam berwarna hitam seakan-akan arang batu itu yang tertanam di dalam tanah.

Sanga tantalum dipercayai terbentuk hasil daripada proses gabungan sisa bijih timah dengan tantalum dan digunakan untuk menghasilkan komponen komputer.

Kawasan di sekitar Taman Selat dan kawasan berhampirannya dikatakan `kaya' dengan tantalum kerana kawasan itu dipercayai menjadi tempat pembuangan sisa bijih timah yang telah dileburkan sejak zaman sebelum Perang Dunia Kedua lagi.

Kerja-kerja menggali dan mengorek tanah di kawasan itu dilaporkan bermula seawal pukul 2.30 pagi hingga larut malam.

Usaha mereka tidak mengecewakan, kerana logam itu begitu mudah diperoleh dan dijual kerana `peraih' sudah sedia membeli. Daripada harga kira-kira 50 sen sekilo gram, hari ini harga sanga tantalum sudah mencecah antara RM8 hingga RM10 sekilo gram.

Dengan harga yang dikira lumayan itu tidak hairanlah, orang ramai termasuk dari luar Pulau Pinang tidak putus-putus mencuba nasib di kawasan tersebut.

Walaupun kebanyakan tanah yang mengandungi logam itu merupakan harta persendirian, para pelombong tidak mempedulikannya.

Setelah kawasan seluas kira-kira 0.2 hektar di hadapan bangunan MSC dipagar bagi mengelakkan `penerokaan' mencari tantalum berterusan pada tahun itu, para pelombong berpindah ke kawasan persendirian lain berhampiran dengan kawasan yang telah ditutup itu.

Apabila kawasan kedua dipagar tidak lama kemudian, para pelombong menjadi lebih agresif dengan menggali kawasan berhampiran kaki lima bangunan di Taman Selat serta menggali jalan-jalan awam di kawasan itu.

Tindakan penguatkuasaan yang dijalankan oleh pihak berkuasa dan polis termasuk menahan dan mendakwa pelombong haram di mahkamah sedikit pun tidak memberi kesan apatah menakutkan pelombong.

Mereka sebaliknya menjadi semakin agresif dan menukar waktu melombong dari siang hari kepada waktu malam bagi mengelak daripada ditangkap.

Selain banyak pokok `ditumbangkan,' aktiviti perlombongan haram di kawasan itu turut merosakkan jalan raya dan bangunan berhampiran.

Dua buah bilik pameran syarikat pengedar kereta terpaksa ditutup apabila lantai bangunan itu rosak teruk setelah para pelombong mula `meneroka dan membina terowong bawah tanah' di bawah bangunan tersebut.

Setelah empat nyawa terkorban di situ, kecuali polis, pihak berkuasa lain termasuk Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan kerajaan negeri seolah-olah kurang berminat untuk mengambil tahu.

Akibatnya, aktiviti melombong secara haram itu sudah menjadi `aktiviti halal' yang seolah-olah tidak boleh dihalang oleh sesiapa lagi.

Seluruh kawasan Taman Selat yang begitu pesat membangun dan menempatkan banyak pejabat agensi kerajaan dan swasta dipercayai turut mengandungi logam tersebut.

Pada setiap malam sejak empat tahun lalu, imej kawasan perniagaan utama itu bertukar menjadi satu kawasan perlombongan logam yang begitu buruk.

Percayalah, tanpa satu bentuk tindakan penguatkuasaan bersepadu lagi tegas diambil oleh kerajaan negeri, Taman Selat akan bertukar menjadi kawasan perlombongan tantalum utama di negara ini tidak lama lagi.

Sebaliknya, berapa banyak lagi nyawa yang dibiar menjadi korban, hanya Tuhan sahaja yang tahu!

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi