RENCANA

Utusan Malaysia 14 April 2001

Puteri UMNO tawar khidmat bela rakyat

Oleh: ROSNI HASSAN (Wartawan Utusan)
Puteri UMNO kini diperhatikan oleh banyak pihak. Golongan wanita khususnya gadis-gadis sedang melihat apakah Puteri merupakan platform yang dicari-cari selama ini untuk mendengar idea dan masalah mereka di samping membuka peluang untuk berpolitik.

Sasaran Puteri UMNO untuk mengumpul 1.5 juta ahli tidak mustahil untuk dicapai. Namun begitu, jika ada ahli yang ramai tetapi tidak aktif tidak ada faedahnya untuk parti. Kualiti lebih penting daripada kuantiti.

Untuk menjadikan Puteri sebuah pertubuhan yang disegani dan dihormati, pertubuhan itu terlebih dahulu perlu membentuk imej dan identitinya yang tersendiri iaitu sederhana dan mudah didekati.

Puteri UMNO mesti membuktikan bahawa ia benar-benar bersih daripada politik wang, sebagaimana yang diminta oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Selain itu Puteri juga perlu membentuk tanggapan umum bahawa ia bukanlah pertubuhan politik yang menjadi gelanggang untuk mendapat kuasa dan kekayaan.

Ada pihak yang beranggapan, untuk mendapat kontrak kerajaan atau dilantik sebagai pengerusi atau ahli lembaga pengarah sesebuah syarikat, mereka perlu menyertai UMNO terlebih dahulu. Puteri UMNO perlu memisahkan pertubuhan itu daripada imej sebegini.

Di samping itu, lebih penting lagi Puteri tidak boleh menjadi terlalu elit dan glamor. Kalaupun ia hendak keluar daripada imej `mak cik-mak cik' sebagaimana pernah dilabelkan kepada Wanita UMNO, ia tidak harus kelihatan begitu eksklusif sehingga gadis-gadis kilang dan luar bandar serta para pelajar merasa tidak selesa untuk menyertainya.

Gaya, penampilan dan perwatakan mereka ketika mendekati golongan sasar itu perlu lebih bersederhana. Exco-Exconya perlu memperlihatkan keprihatinan mereka secara semula jadi bukannya dibuat-buat.

Segala gerak-geri Exco Puteri UMNO melambangkan imejnya. Satu sahaja kesilapan yang dilakukan, ia boleh memberikan kesan yang besar terhadap kewibawaan Puteri UMNO.

Untuk Puteri menjadi lebih dihormati dan dipercayai, selain menjuarai isu-isu wanita ia juga perlu memperjuangkan isu-isu rakyat.

Matlamat Puteri adalah untuk menambat hati golongan wanita muda profesional, pekerja kilang dan beliawanis luar bandar serta pelajar. Sehubungan itu, ia terlebih dahulu perlu membuktikan keikhlasan perjuangannya dengan menggunakan platform membela nasib rakyat sebagai agenda utama, bukannya hanya menarik lebih ramai keahlian.

Puteri UMNO pada masa ini dilihat oleh kebanyakan golongan muda sebagai supergirl atau wirawati yang sentiasa berada di mana-mana untuk menyelamatkan sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan. Gunakanlah kelebihan ini untuk mendekati mereka.

Tonjolkan identiti Puteri sebagai srikandi untuk golongan wanita muda yang mana kebiasaannya pandangan dan permasalahan mereka tidak begitu diambil berat kerana idea mereka dianggap masih `hingusan'.

Puteri seharusnya lebih menumpukan perhatian terhadap usaha menambat hati golongan muda daripada kalangan gadis-gadis kilang dan luar bandar. Mendekati mereka mungkin memberikan kelebihan kepada Puteri kerana mereka boleh menjadi perayu dan pengundi penting pada pilihan raya akan datang.

Sementara golongan profesional, selain kebanyakannya tidak begitu berminat, mereka juga tidak mempunyai banyak masa untuk berpolitik dan bergiat cergas dalam aktiviti sosial. Justeru, tidak banyak yang boleh disumbangkan mereka untuk Puteri.

Sebagai permulaan golongan muda wanita perlu didekati melalui aktiviti-aktiviti sosial bukannya terus memujuk mereka menyertai Puteri kerana kelak ia akan lebih menjauhkan diri dari UMNO.

Bagi mengelakkan mereka merasakan penyertaan dalam Puteri kerana agenda politik, Puteri perlu menjalin hubungan dengan mereka melalui program rakyat seperti Kampung Angkat, Puteri Masuk Kampung/Kilang, seminar dan bengkel motivasi.

Selain itu, kalau Puteri boleh tonjolkan kemampuannya membantu golongan ibu tunggal atau wanita yang bermasalah ia akan menarik anak-anak mereka menyertai Puteri setelah melihat sendiri kesungguhan Puteri membantu keluarganya.

Keahlian daripada kumpulan inilah yang diperlukan oleh Puteri kerana mereka menyertai Puteri setelah sedar akan keikhlasan perjuangannya membela nasib rakyat. Mereka ini biasanya akan menjadi ahli yang cukup setia dan tidak mudah digugat dengan apa jua tekanan.

Selain itu, program-program rakyat juga akan mendorong mereka untuk bercerita mengenai sumbangan Puteri UMNO. Publisiti dari mulut ke mulut biasanya lebih berkesan daripada mengadakan siri ceramah.

Sementara untuk mendekati golongan pelajar universiti pula Puteri perlu lebih berhati-hati kerana mereka terikat dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang menghalang mereka bergiat dalam politik.

Begitupun, Puteri boleh menggunakan khidmat untuk membantu menggerakkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan atas tiket Puteri. Umpamanya lantiklah mereka sebagai pembantu untuk bengkel-bengkel motivasi atau tenaga pengajar bagi mengendalikan kelas-kelas tuisyen secara percuma.

Di samping itu, aspek agama dan sosial juga perlu ditekankan oleh Puteri. Wujudkan program di mana golongan muda boleh bertemu dan berkomunikasi antara mereka tetapi dalam masa yang sama tekankan batas-batas agama yang perlu dipelihara.

Apa pun, Puteri UMNO ibarat kain putih yang harus dicorak dengan berhati-hati supaya hasilnya nampak cantik dan sempurna. Oleh itu dalam proses mencorakkannya, ia perlu diberi peluang, galakan dan sokongan daripada `abang' dan `kakak' dalam UMNO.

Sekiranya Puteri meminta pandangan mengenai program yang hendak dilaksanakan diharap `kakak' tidak akan berkata `tidak boleh' kerana mereka juga merancang untuk melaksanakan program itu.

Azalina telah memilih rakan pasukannya sendiri daripada kalangan yang difikirkan boleh bekerja dengannya. Walaupun ada pihak yang tidak begitu menyenangi pilihan Azalina itu kerana kebanyakannya daripada kalangan peguam, kita harus menghormati keputusan beliau.

Selagi kita belum melihat mereka bekerja adalah terlalu awal untuk mengadili jentera pilihan Azalina itu.

Sebagai orang yang bertanggungjawab merangka kertas kerja bagi menubuhkan Puteri UMNO, Azalina dan `tenteranya' perlu diberi peluang untuk menggerakkan Puteri mengikut acuan mereka sendiri.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi