RENCANA

Utusan Malaysia 15 April 2001

Bencana globalisasi - Pegangan ekonomi rakyat tempatan akan terjejas

MUKADIMAH
Walaupun selalu disebut oleh para pemimpin negara dan dibincangkan melalui media massa, tidak ramai yang memahami kesan sebenar globalisasi terhadap kehidupan mereka.

Globalisasi tidak terhad kepada sektor ekonomi sahaja, kerana ia kemudiannya akan mempengaruhi segenap aspek kehidupan masyarakat di negara ini dan dunia secara keseluruhannya.

Proses globalisasi semasa dikatakan tidak seimbang kerana dasar globalisasi kerap didominasi oleh negara-negara maju yang akan mengaut keuntungan paling besar jika globalisasi dilaksanakan sepenuhnya.

Negara-negara membangun pula tidak bersatu untuk memperjuangkan kepentingan masing-masing di bawah globalisasi dan ia menimbulkan kebimbangan proses ini akan menyebabkan perbezaan jurang yang lebih ketara antara golongan kaya dan miskin dan antara negara maju dan membangun.

Wartawan Asuki Abas menemuramah pengarah Third World Network, Martin Khor di Kuala Lumpur Jumaat lalu untuk membincangkan isu-isu globalisasi. Khor adalah ahli ekonomi yang disegani di Malaysia dan kerap menyuarakan pandangan negara-negara membangun mengenai globalisasi di forum-forum antarabangsa.

Berusia 50 tahun, beliau merupakan ahli ekonomi lulusan Universiti Cambridge dan pernah menjadi pensyarah ekonomi di Universiti Sains Malaysia.

Khor sebelum ini pernah memegang jawatan Naib Pengerusi Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Kumpulan Pakar Hak Asasi berkenaan Hak untuk Membangun dan menjadi penasihat beberapa kajian ilmiah yang dijalankan oleh PBB.

MINGGUAN: Globalisasi membawa makna yang berbeza kepada orang yang berlainan. Apakah makna globalisasi yang saudara fahami?

KHOR: Terdapat banyak pengertian mengenai globalisasi yang berbeza antara seorang individu dengan individu yang lain.

Kuasa globalisasi yang paling asas ialah dari segi ekonomi, kerana apabila kita bercakap tentang globa-lisasi kita merujuk kepada globalisasi ekonomi dan bagaimana ia boleh mempengaruhi budaya, politik dan lain-lain.

Makna sebenar globalisasi ialah penghapusan halangan ekonomi antara sebuah negara dengan negara lain pada kadar yang amat pantas terutamanya dalam tiga aspek iaitu perdagangan, kewangan dan pelaburan.

Halangan perdagangan ini dibentuk oleh kebanyakan negara membangun selepas merdeka termasuk Malaysia melalui pengenalan dasar-dasar bagi meningkatkan ekonomi, syarikat dan institusi kewangan tempatan.

Dari segi pelaburan dan kewangan, sebahagian besar kerajaan termasuk di negara-negara kaya memiliki dasar yang mengawal pengaliran mata wang keluar atau masuk dan sama ada mata wang tempatan boleh diperdagangkan di luar negara.

Ia adalah sistem yang digunakan selepas Perang Dunia Kedua dahulu yang menetapkan mata wang dan bank pusat menentukan sama ada wang boleh keluar atau tidak. Ia adalah kawalan modal dan satu perkara biasa.

Globalisasi berlaku dalam ketiga-tiga aspek tadi iaitu perdagangan, kewangan dan pelaburan apabila dasar-dasar kerajaan yang mengawal ekonomi asing daripada mempengaruhi ekonomi tempatan semakin longgar.

Pada masa sekarang, sebahagian besar dasar-dasar ekonomi sesebuah negara dipengaruhi dengan cepat oleh apa yang berlaku di negara lain.

Bilakah globalisasi ini bermula dan sejauh mana ia akan pergi?

KHOR: Sebahagian daripada proses globalisasi berlaku akibat perubahan teknologi. Sebagai contoh teknologi komputer yang membolehkan wang dipindahkan, mata wang diniagakan atau saham dibeli dengan mudah.

Selain perkembangan teknologi yang pesat, faktor kedua yang mengembangkan globalisasi ke seluruh dunia ialah keruntuhan sistem Bretton Woods yang dibentuk selepas Perang Dunia Kedua.

Pada tahun 1972 sistem ini runtuh menyebabkan mata wang dunia boleh diapungkan antara satu sama lain. Ia kemudiannya membawa kepada penghapusan kawalan modal dan liberalisasi kewangan.

Pada tahap ini, pasaran saham pula turut diglobalkan dengan pelabur-pelabur asing boleh membawa wang keluar dan masuk dari sesebuah pasaran.

Dengan kadar mata wang yang tidak tetap dan pasaran modal yang terbuka, spekulasi mula muncul dan seterusnya manipulasi mata wang dan saham.

Ia kemudian membawa kepada peranan tiga buah institusi yang benar-benar menyebarkan globalisasi ke seluruh dunia iaitu Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).

Institusi-institusi ini membantu menurunkan hala-ngan ekonomi dan membentuk dasar-dasar yang membuka negara-negara membangun kepada ekonomi global, terutamanya dalam 20 tahun terakhir ini.

Adakah benar globalisasi hanya memberi faedah kepada rakyat di negara-negara maju?

KHOR: Bagi syarikat-syarikat di negara kaya, glo-balisasi buat masa sekarang adalah baik untuk mereka. Sebab itu mereka bersama-sama melobi kerajaan masing-masing supaya menentukan dasar-dasar ekonomi dan kewangan di negara membangun.

Syarikat-syarikat ini yang amat besar dan kaya akan sentiasa bertambah besar dan kaya kerana mereka terus bergabung dan mengambil alih syarikat lain.

Sekarang, kerana keuntungan di negara mereka adalah terhad, mereka mahu datang ke negara-negara membangun dan menjual barangan mereka, melabur atau menubuhkan syarikat di negara membangun.

Mereka sebenarnya telah mempengaruhi kerajaan mereka supaya membentuk dasar IMF bagi membuka ekonomi kita supaya mereka memperoleh lebih banyak keuntungan di negara kita.

Selain itu, mereka turut mempengaruhi kerajaan mereka supaya membentuk dasar WTO, memecahkan halangan ekonomi di negara membangun yang melindungi syarikat dan ekonomi tempatan.

Sebagai contoh, krisis kewangan yang berlaku lebih tiga tahun lalu sebahagian besarnya adalah akibat dasar liberalisasi kewangan yang saya katakan tadi.

Kita dapat lihat bahawa ada aspek dalam globalisasi ekonomi yang bergantung kepada monopoli sumber kewangan atau pasaran seperti yang dilakukan oleh dana lindung nilai di Thailand.

Ia meninggalkan kesan buruk kepada negara yang dimanipulasi tetapi memberi faedah kepada mereka yang membuat keuntungan.

Jadi untuk menjawab soalan anda, saya tidak boleh katakan globalisasi menguntungkan rakyat negara kaya secara keseluruhannya kerana di AS pun turut diketahui bahawa gaji sebenar pekerja biasa di negara itu tidak meningkat sejak beberapa tahun lepas tetapi pemilik syarikat kewangan dan spekulator kewangan membuat keuntungan besar.

Berdasarkan teori Barat, globalisasi akan membawa kepada kemakmuran dan tahap kehidupan yang lebih tinggi, adakah ini benar?

KHOR: Saya rasa ia bergantung kepada keadaan. Masalah teori ini ialah ia biasanya mengatakan jika anda menyertai globalisasi maka anda mesti mendapat faedah. Ia adalah tidak benar kerana ia bergantung kepada sesebuah negara, sama ada negara itu boleh berdagang atau tidak.

Kita ambil Malaysia sebagai contoh. dari aspek perdagangan kita telah memperoleh faedah daripada globalisasi tetapi kita juga menerima akibat buruk. Dari satu segi, bila kita mengeksport komoditi kadang-kadang harganya jatuh amat rendah seperti pada masa sekarang.

Tetapi pada masa yang sama, ia juga pernah memuncak pada satu masa dahulu. Minyak sawit pernah mencecah RM2,500 (setiap tan) dahulu walaupun sekarang ia mungkin RM800 atau RM900.

Kita memperoleh faedah kerana kita adalah sebuah negara perdagangan. Sekarang kita juga berdagang barangan elektronik yang telah membawa keuntungan kepada negara dan pekerjaan rakyat. Jadi dari satu segi anda boleh kata globalisasi dari sudut liberalisasi perdagangan membawa faedah kepada negara seperti Malaysia.

Tetapi kepada negara lain terutama negara-negara miskin di Afrika, keadaan mungkin berbeza. Industri mereka masih lemah dan eksport utama mereka hanyalah komoditi.

Jika tarif diturunkan dan barangan import yang murah dibawa masuk, mereka mungkin mendapat faedah dari segi harga pengguna yang rendah, tetapi ia boleh mengakibatkan syarikat tempatan gulung tikar kerana tidak mampu bersaing dengan barangan import yang lebih murah dan rakyat negara itu kehilangan pekerjaan.

Kebanyakan negara Afrika tidak boleh mengeksport ke-rana eksport utama mereka hanyalah komoditi yang harganya terus-menerus menurun.

Globalisasi bagi negara-negara seperti itu membawa kesan buruk yang lebih banyak kerana mereka akan mengumpulkan hutang akibat import yang masuk de-ngan banyak sedangkan eksport tidak boleh keluar. Lebih buruk lagi jika IMF masuk untuk menyelamatkan mereka dengan dasar-dasar yang tidak sesuai dan membawa bencana ke atas negara membangun.

Secara ringkas, globalisasi ini jika kita melakukannya dengan betul, ia akan memberi keuntungan tetapi jika tidak dilakukan dengan betul, ia akan membawa kerugian.

Malaysia bernasib baik dari segi perdagangan kerana kita bukan sahaja boleh mengeksport komoditi tetapi juga barangan elektronik, tekstil dan lain-lain lagi kerana pelabur asing masuk ke Malaysia selepas hala-ngan diturunkan.

Bagaimanapun kita tidak begitu beruntung dari segi kewangan, mungkin kerana kita membukanya terlalu luas sehingga ringgit dibenarkan dijual di Singapura, London, Eropah dan tempat lain, membolehkan mata wang kita itu dispekulasi dan dimanipulasi.

Bila kerajaan mengenakan dasar kewangan (kawalan mata wang dan modal terpilih) pada September 1998, apa yang baik ialah ia menghalang mata wang kita daripada diperdagangkan dan dimanipulasi di luar negara.

Jadi saya rasa kita telah membuat langkah yang bijak pada masa itu.

Tetapi bukankah dasar itu dikritik oleh orang asing?

KHOR: Ia dikritik kerana dasar dominan IMF dipengaruhi oleh AS dan kehendak AS ialah untuk menyaksikan semua negara menghapuskan semua halangan kewangan supaya institusi kewangan AS dapat membuat keuntungan yang banyak.

Jika kerajaan gagal mempertahankan mata wang kita pada tahun 1998, apakah yang mungkin terjadi?

KHOR: Saya rasa dana kita akan mengalir keluar dalam jumlah yang besar seperti yang berlaku di Indonesia dan kita akan menghadapi krisis kewangan yang jauh lebih serius.

Kerajaan mungkin terpaksa meminta pertolongan IMF dan merana kerana polisi institusi itu amat tidak sesuai hinggakan AS sendiri sekarang ini mengakui dasar-dasar IMF yang dikenakan terhadap negara Asia terutamanya Indonesia adalah amat buruk.

Ada pengkritik mendakwa keadaan ekonomi kita ketinggalan berbanding Thailand dan Korea kerana dasar mata wang kita ketat?

KHOR: Tetapi keadaan ekonomi kita tidak menjadi bertambah buruk selepas dasar mata wang itu diketatkan.

Sebenarnya selepas Malaysia melaksanakan dasar itu, IMF membenarkan negara-negara di bawahnya melaksanakan sebahagian daripada dasar-dasar tersebut kerana IMF tidak mahu ada perbandingan yang tidak baik jika ekonomi Malaysia pulih tetapi ekonomi negara seliaannya tidak pulih.

Dari satu segi, seperti yang dianalisis oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam laporannya, dasar Malaysia secara tidak langsung telah membantu pemulihan ekonomi negara-negara di bawah IMF. Lagipun, sebenarnya ada perbezaan yang besar kerana negara di bawah IMF ini (Thailand, Indonesia dan Korea) terpaksa membuka kepentingan bank dan syarikat mereka kepada orang asing untuk dibeli pada harga yang murah.

Apa salahnya membenarkan orang asing masuk dan membeli syarikat tempatan?

KHOR: Saya rasa tidak ada salahnya jika kita sendiri membuat dasar itu. Lagipun kita juga mempunyai bank asing dan saya tidak katakan kita tidak boleh membiarkan orang asing memiliki saham langsung.

Masalahnya jika kita ada objektif pembangunan sosial dan ekonomi tertentu, kerajaan harus berupaya mengawal dasar mengenai berapa banyak kita mahu buka, dalam sektor apa dan jenis pelaburan apa yang kita mahu.

Dalam sebuah negara pelbagai etnik seperti Malaysia, isu ini menjadi lebih sensitif. Isu pemilikan asing berbanding pemilikan tempatan adalah sensitif di mana-mana negara pun, hatta di AS sekalipun apabila rakyatnya menyuarakan kebimbangan apabila syarikat-syarikat Jepun mula membeli saham syarikat-syarikat AS pada tahun 80-an.

Satu contoh lain ialah Thailand. Bekas Timbalan Perdana Menteri Thailand, Dr. Suppachai Panitchpakdi pernah menyatakan bahawa antara sebab utama kerajaannya kalah dalam pilihan raya lalu ialah kerana rakyat Thai tidak senang melihat aset-aset negara itu dibeli pada harga murah oleh orang asing.

Yang keduanya masyarakat berbilang kaum di Malaysia adalah amat sensitif dengan isu pegangan saham. Kita mesti boleh mengawal ekonomi kita sendiri, bukan sahaja dari sudut pandangan sosial tetapi juga dari sudut pandangan ekonomi.

Sebagai contoh, industri perbankan di Malaysia mencatat keuntungan sehingga RM10 bilion setahun.

Jika pegangan perbankan dikuasai oleh orang asing, maka mereka berhak membawa keluar semua keuntungan RM10 bilion itu keluar negara.

Bahagian orang tempatan akan berkurangan dan ekonomi negara tidak boleh tumbuh kerana keuntungan itu tidak boleh dilaburkan semula ke dalam ekonomi domestik.

Adakah saudara rasa rakyat Malaysia faham mengenai isu globalisasi ini?

KHOR: Saya rasa mereka faham. Selepas kemerdekaan terutamanya selepas tahun 1970, terdapat dasar yang menggalakkan pegangan saham tempatan dan kaum tertentu di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Walaupun perlaksanaan dasar itu boleh dan masih diperdebatkan, tidak ada sesiapa yang mempertikaikan kenyataan bahawa kita memerlukan satu dasar sosial yang boleh mengimbangi pemilikan antara orang asing dan tempatan, antara kaum dan antara golongan miskin dan kaya.

Mungkin ia menguntungkan negara dan kita tidak menyedarinya. Mungkin kita hanya akan sedar kebaikan dasar itu apabila kita sudah hilang kuasa untuk menentukan dasar seperti yang berlaku di Thailand.

Adakah saudara lihat sebarang tekanan dikenakan terhadap Malaysia dalam isu globalisasi ini?

KHOR: Saya rasa ada, tetapi bukan terhadap Malaysia sahaja. Tekanan terhadap Indonesia, Thailand dan Korea adalah lebih berat lagi kerana mereka berada di bawah IMF.

Tetapi kita boleh melawan tekanan itu dan dasar kewangan yang diperkenalkan oleh kerajaan sekarang merupakan salah satu cara kita menentangnya.

Adakah globalisasi akan mempengaruhi senario politik tempatan?

KHOR: Saya rasa politik tempatan boleh dipengaruhi dari segi pengaliran maklumat melalui internet dan lain-lain. Secara ringkasnya, dunia menjadi lebih dekat dan kita boleh mendapatkan lebih banyak pengetahuan.

Tetapi aspek negatifnya ialah kita akan mempunyai terlalu banyak maklumat sehingga kita tidak tahu yang mana satu maklumat betul dan yang mana satu salah.

Satu lagi masalah ialah kita hanya menerima maklumat, dan tidak menyebarkan maklumat kepada dunia. Keseimbangan tidak ada dalam globalisasi ke-rana pandangan kita tidak boleh meninggalkan kesan terhadap negara maju tetapi pandangan mereka boleh memberi kesan kepada kita.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi