RENCANA

Mingguan Malaysia 15 April 2001

Penyokong setia Gus dur sanggup mati syahid

``SAYA menyatakan siap mati syahid untuk membela kebenaran Presiden Abdurrahman Wahid dalam tugas menjaga tegaknya perlembagaan demi penyatuan bangsa dan keutuhan negara Kesatuan Republik Indonesia.''

Demikianlah perakuan yang terdapat dalam borang untuk menjadi anggota tentera jihad berani mati Barisan Pembela Kebenaran (BPK) yang merancang menyerbu Jakarta akhir bulan ini.

Pengakuan berani tersebut belum lagi mengambil kira seni kata lagu perjuangan mereka yang antara lain berbunyi:

``Pendukung Gus Dur yang setia

Marilah kita berjuang bersama...

Tiada kembali pulang

Sebelum kita yang menang

Walau mayat terkapar.''

Apa yang dilafazkan oleh tentera jihad berkenaan bukanlah kata-kata kosong malah mereka telah melakukan pelbagai persiapan sebelum bertolak ke Jakarta selewat-lewatnya pada 25 April ini.

Mulai semalam sebahagian daripada lebih 20,000 orang penyokong fanatik Gus Dur itu telah menjalani latihan khusus termasuk berperang di sebuah kawasan khas di daerah Banyuwangio dan Kediri, Jawa Timur.

Dalam latihan itu, mereka dilaporkan mempelajari ilmu kebal serta `ilmu bintang sembilan' iaitu kononnya mereka yang me-nguasai ilmu mampu memanjat dinding seperti cicak atau Spiderman.

Para anggota tentera jihad itu juga menjalani latihan khusus untuk menghadapi segala kemungkinan jika terpaksa harus `berjihad' ke Jakarta.

``Mereka dibekali ilmu bagaimana melakukan teknik penyerangan, penyusupan dan sweeping,'' kata salah seorang jurulatih pasukan tersebut.

Selain itu menurut Ketua Tentera Berani Mati tersebut, Wiro Sugiman, kesemua anggota pasukan berkenaan juga akan diberi ilmu kebal oleh beberapa kiai terkenal di Jawa Timur.

``Mereka akan `diisi' oleh kiai agar kebal, ini sudah kita buktikan sebelum ini di mana mereka pernah merempuh pagar berduri di depan bangunan Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) tanpa mengalami sebarang kecederaan,'' katanya.

Malah Wiro juga mendakwa anggota pasukan itu juga mampu berjalan di atas air, boleh menghilangkan diri dan mencairkan besi.

``Kita sudahpun menghantar `tentera siluman' (iaitu tentera yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar) ke Jakarta, kesemua mereka berjumlah sembilan orang,'' katanya.

Sememangnya sukar dipastikan apakah dakwaan Wiro itu benar atau sekadar gertak untuk menakut-nakutkan puak-puak yang berhasrat untuk menjatuhkan Gus Dur.

Tetapi apa yang nyata kewujudan tentera berani mati ini benar-benar menghebohkan Jakarta dan Indonesia secara keseluruhannya.

Ini kerana jika mereka benar-benar datang ke Jakarta dan melakukan keganasan sudah pasti sejarah perebutan politik dan kekuasaan Indonesia akan diukir dengan tinta berdarah.

Apatah lagi kalau berdasarkan pada beberapa temu ramah yang dilakukan oleh beberapa media di negara itu, anggota-anggota berkenaan benar-benar berhasrat untuk mati syahid bagi memperjuangkan Gus Dur.

Mereka memegang pepatah Jawa iaitu `Tali duk tali layangan rek' yang bermaksud rela kehilangan satu-satunya nyawa.

Anggota tentera jihad ini dianggotai oleh pelbagai golongan masyarakat seperti bekas tentera, nelayan, mahasiswa, petak dan tukang beca.

``Saya sedia mati syahid kerana Gus Dur adalah Presiden yang sah dan dipilih oleh MPR,'' kata Mohamad Jauhari, 35, yang telah mendaftar menjadi anggota pasukan itu.

Bagi Jauhari, membela Gus Dur adalah satu kewajipan apatah lagi dia juga merupakan salah seorang anggota pertubuhan Nahdatul Ulama (NU) yang pernah dipimpin oleh Presiden Indonesia itu selama 15 tahun.

``Isteri saya yang sedang sarat mengandung sudah rela jika dalam perjuangan saya nanti saya ditakdirkan terbunuh,'' katanya dengan penuh semangat.

Soleh Syafii, 27, pula menegaskan, Gus Dur bukan sahaja seorang Presiden tetapi ulama besar, oleh itu beliau wajib dibela.

``Saya rela mati untuk mempertahankan Gus Dur kerana bosan dengan tindakan elit politik dan mahasiswa yang mahu menjatuhkan beliau,'' katanya.

Namun begitu ada pula yang mendaftar kerana mempunyai alasan lain termasuk mengharapkan bayaran sepertimana dilakukan oleh Samsul Ariffin, 32, yang berasal dari Madura.

Bagaimanapun pendaftarannya ditolak apabila pihak penganjur pasukan itu menjelaskan penyertaan pasukan berkenaan adalah sukarela.

``Buat apa berani mati kalau tidak ada bayaran,'' kata Samsul.

Masduki, 23, dari Lamongan, Jawa Timur pula menjelaskan bahawa dia mendaftar kerana bapanya seorang penyokong setia Gus Dur.

``Selain itu saya sudah bosan hidup, ini ke-rana sejak enam tahun lalu selepas tamat persekolahan saya tidak mendapat sebarang pekerjaan,'' katanya.

Walaupun penyelaras penubuhan tentera jihad ini menafikan bahawa mereka menubuhkan pasukan itu demi untuk membela Gus Dur namun ia hanyalah alasan semata-mata bagi menghalalkan matlamat mereka.

Apatah lagi ulama-ulama NU yang seharusnya menjadi pendamai umat telah bertindak memecahbelahkan umat apabila dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan fatwa bahawa siapa yang menentang Gus Dur adalah penderhaka yang layak diperangi.

Mereka mendakwa siapa yang membela Gus Dur akan mati syahid serta layak masuk syurga. Kenyataan seperti inilah menarik segelintir umat Islam yang amat mudah terpengaruh dengan soal syurga dan mati syahid.

Para ulama NU membuat keputusan itu dalam pertemuan di Sukabumi, Jawa Barat, baru-baru ini. Dalam pertemuan itu mereka menyatakan mengikut hukum fikah Gus Dur adalah Presiden Indonesia yang sah.

``Oleh itu usaha-usaha untuk menjatuhkan Presiden yang sah melalui demonstrasi atau apa juga cara lain adalah haram,'' menurut salah satu laporan dalam pertemuan berkenaan.

Keputusan dibuat berdasarkan kepada kitab klasik seperti Bughiyatul Mustarsyidiin, Sarah Minhajut Thalibiin dan Alfiqhul Islamiy.

Justeru tanpa mempertimbangkan sama ada fatwa itu benar atau tidak, mereka berkobar-kobar untuk menjadi anggota pasukan jihad dengan harapan akan mati syahid.

Namun fatwa berkenaan tidak dipersetujui oleh sebahagian ulama NU yang lain, contohnya Pengurus Syuriah NU wilayah Yogyakarta yang berpendapat masalah politik negara tidak sesuai diselesaikan melalui fikah atau fatwa agama.

``Kalau dimasukkan dalam fikah, akan terjadi salah faham ini kerana dari sudut pandangan fikah, Gus Dur boleh dianggap tidak sah menjadi Presiden kerana masalah kesihatan yang dihadapinya.

``Ini kerana dalam kitab Al-Ahkamus Sultoniyah dinyatakan bahawa seorang imam atau pemimpin harus sihat pancainderanya,'' kata beliau.

Ketika perdebatan sama ada wajar atau tidak pasukan jihad berkenaan ditubuhkan, warga Jakarta termasuk rakyat asing di kota ini semakin resah menanti tarikh-tarikh bahaya akhir bulan ini.

``Nampaknya kita di sini ditakdirkan tidak boleh hidup senang, ada sahaja perkara yang akan terjadi di sini,'' kata seorang suami yang mengikut isterinya bekerja di sebuah kedutaan asing di Jakarta.

Berikutan ancaman jihad itu, orang Malaysia di Jakarta mula membuat perancangan untuk membeli stok barang makanan selewat-lewatnya 23 April ini.

``Kita tidak ada pilihan, kalau tunggu lama, Jakarta merusuh kita juga yang teruk,'' kata rakyat Malaysia itu yang pernah merasa keperitan ketika Jakarta dilanda rusuhan besar pada tahun 1998.

Tetapi kebimbangan yang sama seolah-olah tidak ada kepada seorang lagi rakyat Malaysia yang menganggap mungkin kehadiran tentera jihad berkenaan sebagai satu `pertunjukan sarkas'.

``Kita tengok sahaja sejauh mana mereka hendak berdemonstrasi dan menyerbu Jakarta kerana sudah acapkali gertakan seumpama ini dibuat tetapi akhir sekali tidak ada apa yang berlaku,'' katanya yang bertugas di Jakarta sejak Ogos tahun lalu.

Namun tidak kira apa juga pandangan kewujudan pasukan tentera jihad ini sudah menjadi bukti betapa sesetengah umat Islam begitu mudah terpengaruh dengan fatwa-fatwa yang amat diragui kesahihannya.

Slogan mati syahid dan janji masuk syurga seolah-olah menjadi senjata yang paling ampuh bagi kelompok-kelompok yang mengaku diri mereka ulama atau sebuah pergerakan Islam bagi meraih sokongan.

Kelompok yang masih menggunakan slogan atau janji seumpama itu hakikatnya keliru terhadap apa yang mereka perjuangkan, apatah lagi sepertimana kata seorang pemimpin Majlis Ulama Indonesia (MUI), sama ada seorang itu dianggap berjihad atau akan masuk syurga hanya Allah yang maha mengetahui.

Kepada kelompok berkenaan sama ada di Malaysia atau Indonesia, ingatlah firman Allah S.W.T dalam surah Ali Imran ayat 142 yang bermaksud:

``Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga pada hal belum nyata bagi Allah siapa orang-orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang-orang yang sabar.'' - MINGGUAN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi