RENCANA

Mingguan Malaysia 15 April 2001

Dinar baghdad setanding duit cap pisang jepun

Oleh: WAHID HASHIM (Yang melawat Iraq baru-baru ini)
NILAI mata wang dinar Iraq sekarang setaraf dengan duit cap pisang ketika Tanah Melayu dijajah Jepun pada tahun 1945.

Malah ada yang bergurau, di luar Iraq - negara mempunyai simpanan minyak kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi - nilai mata wangnya setaraf tisu tandas.

Kesengsaraan akibat kejatuhan mata wang yang telah masuk tahun ke-11 menyebabkan taraf sosio-ekonomi hidup penduduknya juga merudum.

Pada satu ketika, satu dinar Iraq adalah AS$3.5 (RM13.30). Tetapi kini, setiap AS$1 bersamaan 1,700 dinar.

Kemiskinan berlaku dengan mendadak, tetapi penduduk Iraq telah berjaya membina kekebalan dan jati diri. Hiduplah warganya dengan apa yang ada, bersyukur dalam kesempitan hidup akibat sekatan ekonomi.

Mahmood Mustapha, 43, adalah bekas jurutera nuklear yang kini memilih kerjaya membawa kereta sewa milik sendiri.

Mahmood yang mudah mesra dan ramah tamah, membenarkan penulis tinggal selama dua malam di rumahnya di sebuah kawasan perumahan di Aadhamiyah, sebuah penempatan yang aman damai di pinggir kota Baghdad.

Kesempatan itu merupakan satu peluang keemasan untuk mendekati kehidupan sebuah keluarga sederhana yang turut terjejas akibat sekatan ekonomi yang genap 11 tahun pada Ogos ini.

Mahmood mempunyai seorang bayi perempuan bernama Nisa berusia 5 bulan, seorang anak lelaki, Mustapha, 12 tahun dan anak perempuan, Salma berusia 11 tahun.

Isterinya, Fatima adalah seorang suri rumah yang pendiam dan rajin mengemas rumah, sekali- sekala meleteri anak-anaknya. Jiran-jiran memanggil Mahmood sebagai Abu Mustapha, bermakna bapa kepada Mustapha - iaitu nama anak lelaki sulungnya.

Setelah semua loji nuklear Iraq dimusnahkan semasa dan selepas Perang Teluk pada 1990, dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai jurutera kerana gaji yang sangat rendah berbanding menjadi pemandu kereta sewa.

Mahmood menunjukkan fotonya semasa membuat lawatan kerja ke Soviet Union sekitar tahun 80-an, tetapi enggan memberi sumber itu kepada penulis atas faktor-faktor keselamatan. Malah pada mulanya beliau enggan membenarkan gambarnya diambil.

Sebelum sekatan, gaji pokok Mahmood mencecah RM5,000 sebulan, belum ditambah elaun. Kini kalau dia masih bekerja sebagai jurutera nuklear, pendapatannya cuma RM25 sebulan.

Mujur juga kerajaan Iraq memberikan kad catuan makanan untuk setiap isi keluarga Iraq di bawah program Minyak Untuk Makanan.

Melalui program kad catuan berkenaan, penduduk Iraq mendapat 12 jenis barangan iaitu tepung gandum sebanyak 9 kilogram (kg), beras (3kg), gula (2kg), teh (150 gram), kekacang (0.23 gram), garam (150 gram), minyak masak (1.25 kg), susu bayi (4.05kg), sabun (250 gram), bahan pencuci (350 gram), bijiran (800 gram) dan keju atau susu (250 gram).

Kepakaran Mahmood memang hebat, kerana katanya kalau sekatan ditarik balik dan Iraq dibenarkan membina semula loji nuklear, dia mampu memulihkannya. Kepakarannya tentu boleh digunakan di Malaysia untuk membangunkan teknologi gunaan nuklear di Malaysia.

Sekali-sekala Mahmood bertanya mengenai tahap pencapaian teknologi itu di Malaysia. Dia juga bertanya berapa tong minyak dikeluarkan Malaysia sehari. Sebagai seorang yang berpendidikan tinggi, Mahmood masih belum hilang sentuhan akademik dan keupayaan berkomunikasi.

Mahmood tidak lokek duit meraikan tetamu. Penulis dijamu dengan makanan yang agak mewah. Setiap hari isterinya yang suka bersembang itu akan menyediakan kuzee - iaitu nasi beriani dihidang bersama sepotong daging kambing atau seekor ayam. Makanan pembuka selera sementara menunggu hidangan utama siap dimasak ialah sebesen besar sayur-sayuran campur terdiri daripada sawi, terung, tomato, oren dan lobak yang digaul dengan mayonis. Rasanya agak masam kerana dicampur cuka.

Minuman botol seperti Pepsi atau Coca-Cola merupakan minuman istimewa untuk tetamu. Air mineral jauh lebih mahal, iaitu RM4 sebotol bersaiz 1.5 liter.

Kebanyakan Pepsi atau Coca-Cola itu dibuat di belakang rumah sebagai industri keluarga. Rasanya boleh tahan sedapnya, tetapi kurang bergas seperti yang asli.

``Sekarang saya tidak mampu menyara keluarga sendiri kalau terus menjadi jurutera nuklear. Lebih baik mencari rezeki dengan kereta milik sendiri ini,'' katanya.

Begitulah kehidupan di Iraq pada hari ini setelah 11 tahun sekatan dikenakan ke atas negara yang pernah menjadi antara negara terkaya di dunia itu. Kata Mahmood, sahabatnya yang merupakan seorang juruterbang kini mengambil upah menjadi tukang kebun di rumah saudagar kaya.

Mahmood, seorang bapa yang sederhana, peramah dan penyayang sentiasa mencuri-curi pulang ke rumah pada waktu tengah hari dan petang untuk bermain-main dengan bayinya.

Dia memiliki kereta sendiri Datsun 120Y model tahun 1977. Di bahagian belakang tempat letak barang keretanya tersusun spanar pelbagai saiz yang digunakan untuk membetulkan sendiri enjin keretanya. Mahmood berkata, dia tidak pernah menghantar keretanya ke kedai kerana kos yang mahal.

Minyak di Iraq memang murah, hanya 10 sen seliter. Bagaimanapun, bahagian-bahagian lain seperti alat ganti dan tayar adalah mahal.

Sepasang tayar, katanya, antara RM380 hingga RM250. Tayar pilihannya ialah Silverstone buatan Malaysia. ``Tayar buatan Malaysia sungguh bagus, tahan lama,'' katanya. Dia akan menggunakan tayar kereta sehingga tiga tahun, baru diganti.

Banyak yang diketahui oleh Mahmood mengenai barangan buatan Malaysia yang katanya lebih baik daripada barangan buatan Korea, dan setaraf dengan buatan Jepun, walaupun harganya murah sedikit.

``Enjin peti ais, pendingin hawa dan telefon buatan Malaysia sungguh bermutu tinggi dan tahan lama sementara harganya juga berpatutan,'' katanya.

Mengenai kereta Proton, Mahmood mengulas kereta Proton sebagai berenjin kecil, sesuai untuk seisi keluarga dan ringan.

``Saya telah melihat sendiri enjin kereta Proton dan ia sungguh sesuai. Saya berharap akan mampu membelinya satu hari nanti,'' katanya.

Kerajaan Iraq telah bersetuju membeli sebanyak 5,000 unit kereta Proton untuk dijadikan teksi di bawah program pembangunan infrastruktur pengangkutan minyak untuk makanan. Kesemua kereta berkenaan dijangka akan dibawa masuk ke Iraq melalui pelabuhan Basrah.

Menurut Mahmood, walaupun Iraq mengalami sekatan, tetapi rakyatnya sehingga kini boleh bertahan asalkan mereka sanggup bekerja keras mencari rezeki yang halal.

Ditanya sama ada kesempitan hidup di Iraq sekarang pernah mendorongnya untuk mencari pekerjaan di luar negara, Mahmood hanya menggelengkan kepala. ``Mustahil saya akan meninggalkan Iraq,'' katanya.

``Sesiapapun rakyat Iraq tidak akan meninggalkan negara ini,'' tambahnya.

Shallal M Shallal, 57, jiran tetangga Mahmood, yang bekerja di sebuah syarikat broker saham mempunyai dua anak perempuan, Maisam dan Ansam, serta dua anak lelaki iaitu Hazibullah, 20, dan Abdullah, 9.

Shallal yang bermenantukan seorang rakyat Malaysia bekas seorang pelajar di Universiti Pengajian Islam Saddam di Aadhamiyah berkata, zaman kehidupan mewah yang dikecapinya telah diragut oleh peperangan.

``Pada satu ketika, bercuti ke luar negara, ke London, Syria menjadi kelaziman, tetapi tidak sekarang,'' katanya.

Kini, katanya sukar bagi dia dan isterinya, menjenguk-jenguk anak perempuannya, Ansam serta dua orang cucunya di Selangor.

``Untuk menelefon ke Malaysia pun kami sudah tidak mampu,'' katanya.

Kata Shallal, isterinya menangis hampir setiap hari merindukan dua cucu mereka, Aishah, 2, dan Abdullah yang baru berusia lima bulan.

Semakin terasa kesedihan memikirkan keluarga itu yang asyik bermain-main dengan cucu orang lain, sedangkan cucu sendiri jauh di rantau orang.

Sementara itu, Nuri Alaq, 52, telah lama memandu teksi dengan pendapatannya sekarang di antara RM60 hingga RM100 sebulan.

Dia tinggal di Dora, sebuah kawasan penjana kuasa elektrik menggunakan tenaga minyak yang membekalkan elektrik di sekitar Baghdad.

Nuri - lelaki berketurunan Pakistan - mempunyai tiga anak lelaki dan dua anak perempuan. Kesemua anaknya sudah berumah tangga. Rumahnya memang luas, sekitar 450 meter persegi, mempunyai lima bilik dan dua bilik air, yang dibelinya ketika sebelum Perang Teluk meletus.

Kata Nuri, pendapatannya sebelum dan selepas sekatan adalah serupa sahaja kalau dikira ``di atas kertas'' tetapi oleh kerana nilai mata wang dinar telah mengecil, maka dia mengakui keadaan sekarang - dengan pendapatan yang diterimanya - menjadikan kehidupannya lebih susah.

``Kadangkala saya memandu sehingga ke luar Banghdad, atau bekerja sehingga lewat malam untuk mencari tambahan pendapatan,'' katanya.

Ditanya pandangannya mengenai peperangan, kata Nuri, Amerika Syarikat (AS) adalah sampah, sementara Presiden Saddam Hussein berada di pihak yang benar, bagus dan mempunyai perwatakan yang gagah.

Segala-gala mengenai Saddam adalah sempurna bagi pemandu teksi itu.

Jalil Khazal, 35, seorang penulis puisi di sebuah penerbitan kanak-kanak iaitu Majalati (bermakna Majalahku) milik kerajaan berkata, dia terpaksa bekerja sambilan mengajar kesusasteraan di beberapa buah sekolah dan universiti di Baghdad untuk menambah pendapatan.

Majalati merupakan satu-satunya majalah untuk kanak-kanak di Iraq yang baru diterbitkan pada 1 Januari tahun ini, dengan jabatan pengarang serta operasinya terletak di Pusat Penerangan Baghdad. Jumlah cetakan majalah itu sekitar 10,000 naskhah.

``Selain itu, saya juga menulis untuk program-program televisyen dalam bahasa Arab,'' katanya.

Menurut Jalil, sebagai rakyat Iraq, dia begitu meluat dengan sikap AS yang mahu membunuh semua orang Islam di negaranya - termasuk kanak-kanak, bayi dan kaum wanita. Malah, lebih malang lagi bagi orang Islam yang mahu dibunuh di mana-mana sahaja di serata muka bumi ini. ``Lihatlah di Kosovo,'' ujarnya.

Kata Jalil, pendapatan tetap sebagai pegawai kerajaan cuma 5,000 dinar atau sekitar RM15 sahaja dan jumlah itu sangat kecil berbanding sebelum peperangan dan sekatan ke atas Iraq. Katanya, pendapatan bulanannya sebelum peperangan ialah RM1,300.

``Mana nak cukup, dahulu RM1,300, tetapi sekarang RM15 sahaja,'' katanya.

Isterinya adalah seorang suri rumah sepenuh masa. ``Kehidupan kami sungguh sukar sekarang, segala-galanya mahal,'' kata Jalil sambil menunjukkan tali leher berjenama Yves St. Laurent tiruan yang diimport dari China.

Walau kesempitan hidup, dia tetap menyelitkan motif berkasih sayang dalam karya seninya.

Baginya, kanak-kanak di Iraq perlu diberitahu mengenai apa yang berlaku di Iraq sekarang, tetapi ini tidak bermakna mengajar mereka mengenai keganasan.

``Saya juga menulis sajak atau puisi secara bebas dan cuba menjualnya kepada mana-mana pihak yang berminat,'' katanya.

Seperti penduduk Iraq yang lain, mujurlah Jalil juga mendapat kad catuan makanan melalui program Minyak Untuk Makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dia kini bertugas di Rumah Kebudayaan Kanak-Kanak, Kementerian Kebudayaan dan Penerangan Iraq.

Pengetua sekolah menengah perempuan Al-Intisar, Majida Mohammad Hamdi berkata, seragam sekolah dan alat tulis ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Iraq. Dengan kadar keciciran yang tinggi di negara itu, tidak semua kanak-kanak mahu ke sekolah walaupun kerajaan mewajibkan persekolahan apabila telah cukup umur.

Sekolah Menengah Al-Intisar mempunyai seramai 1,200 pelajar perempuan berlatarbelakangkan keluarga berpendapatan sederhana. Sekolah itu menawarkan aliran sastera dan sains.

Dia memberitahu, pihak sekolah tidak dapat menyediakan komputer kerana ia merupakan salah satu barangan yang dilarang dibawa masuk di bawah sekatan Majlis Keselamatan PBB.

Katanya, kerana kesempitan hidup, ramai yang lebih memilih untuk bekerja menyara keluarga yang berpendapatan kecil. Kanak-kanak di Iraq akan melakukan apa sahaja untuk menyara pendapatan keluarga termasuk menjual rokok atau meminta sedekah daripada pelancong atau rakyat tempatan yang berada.

Kolumnis sebuah majalah kanak-kanak, Fauzan Jaayah, 25, berkata, kanak-kanak di Iraq perlu dipupuk dengan perasaan kasih sayang.

``Saya menerima banyak surat daripada kanak-kanak yang mahu menulis dalam majalah ini yang baru bermula awal tahun 2001,'' katanya.

Katanya, kanak-kanak Iraq perlu diberitahu apa yang berlaku di negara mereka, dan pada masa yang sama perlu disemai dengan semangat sayangkan negara.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi