Make your own free website on Tripod.com

RENCANA

Mingguan Malaysia 15 April 2001

BSKL jadi mangsa sentimen - Faktor positif dalam negara tidak dihiraukan oleh pelabur-pelabur

MUKADIMAH
PRESTASI Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) yang tidak menentu sehingga mencecah paras terendah dalam tempoh dua tahun pada awal bulan ini telah menimbulkan kebimbangan tentang prestasi semasa ekonomi negara.

Biarpun BSKL bukanlah petunjuk mutlak mengenai tahap kesihatan ekonomi negara tetapi ia merupakan antara tempat syarikat-syarikat tempatan mendapat pembiayaan bagi menjalankan dan meluaskan operasinya.

Kejatuhan harga-harga saham itu telah menimbulkan pelbagai spekulasi liar bukan sahaja terhadap BSKL tetapi kepada keseluruhan ekonomi Malaysia. Malah paling buruk ada yang mengatakan indeks BSKL mungkin akan jatuh merudum lagi ekoran kebimbangan ketara terhadap prestasi ekonomi Amerika Syarikat yang mengalami kemelesetan.

Ketidaktentuan di arena antarabangsa telah menyemarakkan keresahan orang ramai terhadap ekonomi Malaysia. Akibatnya, para pelabur tempatan enggan memasuki pasaran kerana bimbang akan terperangkap sedangkan pada masa yang sama pelabur-pelabur asing terus mengaut untung.

Untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang prestasi dan prospek BSKL, wartawan Mingguan Malaysia MOWARDI Mahmud menemu bual Pengerusi Eksekutif BSKL, Datuk Mohd. Azlan Hashim.

MINGGUAN: Senario semasa bursa saham tempatan dilihat sebagai membimbangkan terutama apabila jatuhnya Indeks Komposit BSKL kepada 574.92 mata pada 5 April lalu iaitu paras terendah dalam tempoh dua tahun. Pada pandangan Datuk, adakah indeks itu akan jatuh lagi?

AZLAN: Turun naik pasaran saham adalah lumrah dan bergantung kepada faktor-faktor yang mempengaruhi sentimen dan keyakinan pelabur.

BSKL juga tidak terkecuali daripada dipengaruhi perkara-perkara sedemikian seperti yang sedang dialami bukan sahaja oleh bursa-bursa saham serantau, malah juga bursa-bursa saham seluruh dunia.

Antara faktor utama yang dilihat sebagai mempengaruhi keadaan suram pasaran saham serantau dan dunia adalah ketidaktentuan hala tuju ekonomi Amerika Syarikat yang turut menjejaskan pasaran saham negara kuasa besar dunia itu.

Jadi, kepada para pelabur yang arif dan faham penuh tentang keadaan semasa serantau dan antarabangsa, apa yang berlaku di BSKL sekarang akan terus diperhatikan dengan penuh teliti untuk mencari peluang-peluang pelaburan saham yang menguntungkan dalam jangka masa panjang.

Untuk menjawab soalan adakah pasaran saham akan terus menurun atau naik, ini hanya boleh dijawab berasaskan kepada keyakinan pelabur itu sendiri.

Pada masa-masa keadaan pasaran kurang menggalakkan, para pelabur dengan sendirinya lebih terpengaruh dengan berita-berita negatif, dan mungkin kurang yakin dengan berita-berita positif walaupun keadaan sebenarnya lebih banyak positif daripada negatif.

Begitulah juga pada masa-masa keadaan pasaran melonjak, para pelabur akan lebih terpengaruh dengan berita-berita positif dan kurang mengambil kira berita-berita negatif.

Sejauh mana prestasi harga-harga saham di BSKL telah dan akan memberikan kesan kepada ekonomi negara?

AZLAN: Antara kesan prestasi harga-harga saham di BSKL ialah dalam penggemblengan modal oleh sektor korporat.

Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak akan menjejaskan ekonomi negara kerana terdapat pelbagai punca lain untuk sektor korporat menjana modal misalnya melalui pengeluaran bon-bon dan stok pinjaman.

Selain itu, jika kita mengkaji secara lebih mendalam prestasi harga-harga saham di BSKL dari segi keutuhan asas atau fundamentalnya, kita akan dapati kebanyakan syarikat yang tersenarai adalah kukuh dan berpotensi.

Tetapi ini tidak dicerminkan oleh harga-harga saham kerana pasaran saham secara keseluruhannya ditekan pengaruh-pengaruh sentimen luaran yang kurang menggalakkan.

Jika kita mengkaji pula pencapaian ekonomi negara, maka kita akan dapati telah banyak langkah awalan yang dijalankan oleh kerajaan untuk meningkatkan ketahanan ekonomi nasional daripada pengaruh-pengaruh luaran.

Apa yang penting di sini ialah langkah-langkah telah dijalankan dan ia akan memberi kesan positif pada pasaran saham dengan terhakisnya tanggapan negatif dan dengan kembalinya keyakinan para pelabur.

Kenapa pasaran saham gagal memberikan reaksi positif kepada pelbagai langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan khususnya pakej untuk menangani kesan buruk kelembapan ekonomi AS?

AZLAN: Keadaan pasaran saham yang dialami sekarang adalah fenomena serantau dan sedunia. Langkah-langkah pengukuhan ekonomi yang sedang dijalankan kurang mendapat perhatian sewajarnya dan kesannya tidak ketara serta merta ke atas pasaran saham kita selagi pasaran saham serantau dan sedunia masih muram.

Keberkesanan langkah-langkah ini dan kesannya ke atas pasaran saham akan mengambil sedikit masa lagi sebelum ia menonjol sepenuhnya.

Berapa lamakah prestasi bursa saham tempatan yang mana banyak kaunter sahamnya berada pada paras terendah dalam sejarah akan berlanjutan?

AZLAN: Apa yang penting di sini ialah para pelabur harus sentiasa mengkaji sepenuhnya pemilihan pelaburan yang dibuat.

Dengan pemilihan tepat, keadaan pasaran semasa, walaupun dilihat sebagai kurang menggalakkan masih mampu menawarkan peluang-peluang pelaburan jika pelaburan dijalankan atas lunas-lunas pemerhatian, kajian dan pelaburan berhemat.

Jadinya, walaupun mungkin ada saham beberapa syarikat di tahap rendah, jika kajian menyeluruh dijalankan ke atas keutuhan syarikat tersenarai yang berkaitan, ia mungkin memberi peluang kepada para pelabur menilai dengan lebih mendalam potensi saham-saham itu dalam jangka panjang.

Pihak BSKL sendiri melalui laman web www.klse.com.my dan Balai Maklumat BSKL sentiasa menyediakan sumber-sumber maklumat terkini tentang syarikat-syarikat yang disenaraikan di BSKL untuk kemudahan para pelabur membuat kajian.

Banyak pihak sebelum ini menjangka atau meramalkan Indeks Komposit meningkat pada pertengahan tahun ini tetapi tanda-tanda yang ada seolah-olah menunjukkan sebaliknya? Apakah pandangan Datuk?

AZLAN: Sepertimana yang telah saya jelaskan, tahap dan masa kenaikan atau penurunan pasaran saham dipengaruhi oleh keyakinan dan sentimen para pelabur.

Memandangkan bahawa beberapa langkah pengukuhan ekonomi dan pasaran modal negara telah dijalankan, kita percaya keadaan ini mampu mengembalikan keyakinan para pelabur untuk memberi kesan positif kepada pasaran saham negara.

BSKL akan terus meningkatkan usaha memberikan maklumat lengkap dan semasa mengenai perkembangan-perkembangan positif industri sekuriti kepada para pelabur.

Pada masa yang sama terdapat pandangan yang lebih pesimistik mengatakan harga-harga saham mungkin jatuh ke paras 200 mata. Sejauh mana kebenarannya?

AZLAN: Hakikatnya, masyarakat akan sentiasa mempunyai pandangan masing-masing mengenai pasaran saham dan ekonomi negara.

Bagaimanapun, saya sendiri tidak pernah mendengar pandangan yang begitu pesimistik mengenai pasaran saham kita.

Seperti yang kita sedia maklum, pengalaman kita melalui cabaran ekonomi yang lalu juga membuktikan bahawa pasaran saham kita tidak pernah mencapai tahap serendah itu.

Pandangan seperti ini mungkin terbit tanpa mengambil kira kemantapan ekonomi negara dan kemantapan perolehan syarikat-syarikat tersenarai.

Pandangan seperti ini juga berbangkit daripada spekulasi tidak berasas tanpa mengkaji langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan dan pihak BSKL sendiri bagi mengukuhkan ekonomi negara dan industri sekuriti.

Antara langkah-langkah penting yang telah diambil oleh BSKL demi mengukuhkan industri sekuriti merangkumi:

* Meningkatkan tahap urus tadbir korporat melalui Keperluan Penyenaraian Baru yang diperkukuhkan.

* Membuat pendedahan menyeluruh mengenai kedudukan syarikat-syarikat tersenarai dari segi kewangan dan penzahiran korporat untuk para pelabur.

* Memastikan syarikat-syarikat broker kukuh dari segi kedudukan kewangan dan tahap perkhidmatan sebagai perantara antara pelabur dan pasaran saham.

* Memastikan penyediaan prasarana cekap dan lengkap serta menawarkan perkhidmatan pelaburan yang berkesan dari segi kos.

* Memastikan keseimbangan dalam mengawal selia pasaran antara peraturan dan keperluan para peserta industri.

Pergerakan harga-harga saham atau minat belian yang ada di pasaran sekarang kelihatan terus digerakkan oleh para pengurus dana asing. Siapakah mereka sebenarnya?

AZLAN: Sebenarnya tidaklah begitu mudah untuk membuat ketentuan bahawa pergerakan harga saham atau minat pelaburan digerakkan oleh pihak-pihak tertentu.

Secara umum minat pelaburan pengurus dana asing dalam pasaran tempatan datangnya daripada para pembeli institusi luar negara yang membuat kajian lebih menyeluruh tentang saham-saham pilihan dan membuat pembelian berdasarkan jumlah yang lebih besar daripada pembeli runcit.

Pengurus dana asing sering mewakili pelanggan mereka yang terdiri daripada badan-badan amanah saham, dana pencen dan dana pelindung nilai antarabangsa. Minat pelaburan dalam pasaran saham negara amatlah luas. Pergerakan harga saham sukar dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu memandangkan terdapat lebih daripada 2.7 juta akaun pelaburan Central Depository System (CDS) diuruskan oleh depositori pusat Malaysian Central Depository Sdn. Bhd. yang terdiri daripada akaun pelabur individu dan akaun pengurus dana.

Mungkinkah apa yang berlaku dalam bursa tempatan merupakan satu usaha luar untuk menekan ekonomi Malaysia bagi memastikan berlakunya perubahan dalam tampuk pemerintahan negara?

AZLAN: Keadaan pasaran saham yang dialami sekarang adalah fenomena serantau dan sedunia.

Walaupun minat dan keyakinan pelaburan sering dipengaruhi isu-isu ekonomi, sosial dan politik, pada dasarnya pelaburan akan lebih ditentukan atas dasar-dasar perolehan dan keuntungan.

Justeru, dalam membuat pertimbangan pelaburan, faktor-faktor yang sering diambil kira ialah kemantapan ekonomi, sosial dan politik sesebuah negara.

Selain daripada itu, keyakinan pelabur dalam dan luar negara akan lebih kukuh jika wujud peluang perolehan yang menarik dan terjamin.

Akan tetapi dalam masa terdekat ini para pelabur nampaknya lebih terpengaruh oleh suasana luaran daripada faktor-faktor positif dalam negara.

Tidakkah penjualan saham-saham mewah seperti Telekom, Tenaga dan Maybank oleh para pengurus asing baru-baru ini menunjukkan bursa saham kita tidak mampu bertahan sekiranya wujud usaha berterusan untuk menggugat pasaran?

AZLAN: Bagi saham-saham yang terbukti mempunyai prestasi yang baik, adalah penting untuk kita ketahui bahawa selagi ada pihak yang menjual saham-saham seperti ini, maka ada juga pihak yang berminat membeli saham-saham ini.

Secara ringkasnya, saham-saham yang mempunyai rekod prestasi yang baik serta nilai tinggi, ia akan terus diminati para pelabur.

Tetapi seperti saham-saham lain, dagangan saham-saham sedemikian juga tertakluk kepada naik-turunnya permintaan dan penawaran.

Keputusan pelaburan tentunya lebih didorong oleh pertimbangan-pertimbangan komersial dan bukannya tanggapan-tanggapan lain.

Pemilihan saham-saham itu oleh pengurus dana asing juga menunjukkan ketahanan prestasi saham-saham tersebut.

Oleh itu jual beli saham-saham ini oleh pengurus dana asing tidak harus disalah tafsirkan kerana pengurus dana asing bukan hanya menjaga kepentingan pelaburan mereka di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.

Maka, jika keputusan jual beli saham dibuat di pasaran tempatan, ada kemungkinan ia mendatangkan keuntungan kepada pengurus dana tersebut demi menampung kepentingan pelaburan mereka di pasaran lain.

Kepada para pelabur yang tidak mempunyai kepentingan sedemikian seharusnya mereka membuat pertimbangan yang sewajarnya.

Keputusan dagangan tidak harus dibuat atas dasar ikutan semata-mata.

Kenapakah sebelum ini BSKL dilihat sebagai tidak mengikut `telunjuk' (pengaruh) bursa saham asing seperti Wall Street tetapi sekarang ia menjadi agak sensitif?

AZLAN: Memandangkan suasana globalisasi yang kian meluas, jangka waktu antara punca dan kesan semakin tipis sehingga hampir kesemua pasaran saham dipengaruhi faktor-faktor yang sama walaupun ada perbezaan kecil dari segi pengaruh-pengaruh faktor tempatan.

Misalnya, Wall Street akan menunjukkan kesan-kesan dipengaruhi ekonomi Amerika Syarikat, ekonomi dunia dan keyakinan pelabur. BSKL juga akan menunjukkan kesan-kesan dipengaruhi ekonomi negara ini, ekonomi dunia dan keyakinan pelabur.

Maka wujud suasana seperti kebelakangan ini di mana pasaran saham- saham serantau dan dunia dipengaruhi oleh faktor-faktor sama yang menentukan hala tuju prestasi yang juga agak sama.

Sejauh mana peranan pelabur runcit yang dikatakan merupakan golongan majoriti dapat diharapkan membantu meningkatkan lagi bursa saham tempatan?

AZLAN: Pelabur-pelabur runcit menyediakan kecairan pasaran yang penting demi menggiatkan dagangan pasaran saham.

Tetapi penyertaan pelabur runcit dalam pasaran saham harus sentiasa berpandukan kajian, maklumat serta pertimbangan wajar.

Satu cara pelabur runcit dapat berbuat demikian ialah dengan mengambil kesempatan penuh melalui kemudahan-kemudahan serta sumber-sumber maklumat yang disediakan oleh pihak BSKL untuk membimbing pelaburan berhemat dan pelaburan bermaklumat di kalangan mereka.

Pelabur runcit juga digalakkan mengimbangi penyertaan mereka dalam pasaran saham melalui badan-badan amanah saham di mana bimbingan pelaburan ditingkatkan lagi dengan perkhidmatan profesional pengurus dana.

Pada pandangan Datuk, bilakah bursa saham tempatan akan kembali pulih atau mencatatkan aliran menaik yang selesa? Adakah sekarang masa yang terbaik untuk melabur?

AZLAN: Sebenarnya soal pemulihan tidak timbul kerana turun-naik pasaran saham memang lumrah.

Apa yang penting untuk menangani keadaan semasa ialah kembalinya keyakinan para pelabur dalam membuat penilaian berdasarkan keutuhan asas.

Pasaran saham akan sentiasa menyediakan peluang pelaburan yang terbaik jika pelabur itu sendiri dapat membuat pertimbangan yang wajar serta pemilihan yang tepat.

Ini tentunya hanya akan wujud jika pelabur itu sendiri berusaha mendapatkan ilmu dan maklumat yang meningkatkan keupayaannya melabur dengan bijak. Pelaburan yang didorong semata-mata oleh khabar-khabar angin, khabar-khabar negatif atau sentimen tidak akan mampu mengekalkan manfaat kepada para pelabur.

Pasaran saham akan sentiasa memberi peluang kepada para pelabur yang mampu bertindak cermat dan bijak.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi