Make your own free website on Tripod.com

RENCANA

Utusan Malaysia 20 April 2001

SEMINAR UNDANG-UNDANG SIBER: SATU PERSPEKTIF ISLAM DI IKIM -Jaminan hak kebebasan dan kerahsiaan siber

Oleh: HARUN MAHMUD HASHIM
KEMUNCULAN Internet sebagai alat komunikasi terkini menjanjikan satu wadah penyebaran maklumat yang memantapkan ilmu dan maklumat. Oleh kerana tiada siapa yang dapat mengawal perjalanan maklumat di dunia siber, berjuta-juta laman web telah dihidupkan. Bermacam-macam maklumat (sama ada benar atau salah), idea, ideologi, propaganda dan tidak kurang juga pornografi disebarkan melalui Internet.

Pada masa yang sama, kebebasan maklumat yang dijanjikan oleh dunia siber ini menimbulkan rasa gerun bagi pihak pentadbir sesetengah negara yang selama ini mahu mengongkong kebebasan bersuara, berfikir dan berpendapat penduduk mereka. Saya ingin mengulas secara ringkas tentang hak kebebasan bersuara di alam siber, kedudukan dan peranannya di Malaysia dari segi undang-undang statutori yang ada sekarang.

Kecanggihan Internet - kemampuannya mengatasi sempadan geografi

Keupayaan Internet sebagai alat komunikasi jauh mengatasi alat-alat komunikasi yang ada sekarang. Percetakan, telefon dan televisyen telah berzaman memainkan alat yang penting dalam media untuk menyampaikan ilmu dan maklumat kepada orang ramai. Namun, bahan-bahan media ini penyebaran maklumatnya adalah satu hala dan tidak interaktif seperti Internet. Ini membolehkan pengawalan maklumat dilakukan secara berkesan. Malah kebanyakan negara mempunyai peruntukan undang-undang yang mengawal percetakan dan kandungan televisyen.

Bahan media yang tradisional juga dibatasi oleh had geografi. Penyebaran buku, makalah dan surat khabar memerlukan kos, tenaga manusia, infrastruktur jalan dan kemudahan kenderaan. Kesemua faktor ini membataskan penyebaran maklumat dan pada masa yang sama memudahkan pengawalan maklumat.

Di Malaysia juga, sebarang percetakan yang disebarkan kepada orang awam memerlukan permit yang sah. Peruntukan undang-undang yang sedia ada seperti Akta Percetakan, Akhbar dan Penerbitan 1984, Akta Penyiaran 1988, Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 membataskan maklumat-maklumat yang boleh dicetak dan diedarkan kepada orang ramai.

Batasan percetakan bahan media jelas digariskan oleh seksyen 7 (1) dan (2) Akta Penerbitan, Akhbar dan Percetakan 1984 di mana bahan-bahan yang mungkin bertentangan dengan perintah awam, nilai-nilai moral, ancaman kepada keselamatan negara, hubungan luar, menimbulkan huru-hara atau bertentangan dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada boleh disekat dari segi percetakan, penerbitan, penjualan, penyebaran dan pemilikannya.

Filem-filem penerbitan pula harus memenuhi syarat-syarat penapisan filem seperti yang termaktub di dalam Akta Penapisan Filem 1952 sebelum ditayangkan di pawagam dan kaca televisyen di Malaysia.

Perbezaan antara Internet dan bahan media yang sedia ada amatlah nyata kerana Internet adalah satu platform yang menyediakan maklumat daripada berjuta-juta pengguna dan pengkaji selidik dari seluruh dunia. Internet memungkinkan seseorang menyebarkan maklumat dan berinteraksi dengan orang lain yang mungkin beribu-beribu batu jauhnya.

Internet juga berbeza daripada penyiaran televisyen yang bersifat statik, terbatas dari segi kandungan dan had geografi.

Kebebasan bersuara dan penafian maklumat

Pengawal seliaan bahan-bahan media dan cetak adalah satu praktis yang sudah lumrah di negara kita, juga di negara lain. Dengan perkembangan Internet, timbullah tanda tanya sama ada Internet harus dikawal selia atau tidak.

Namun pihak kerajaan Malaysia mengambil langkah yang positif untuk tidak menapis dunia siber. Ini termaktub dalam rang undang-undang jaminan yang dijanjikan oleh kerajaan Malaysia dengan syarikat-syarikat Koridor Raya Multimedia. Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga mengisytiharkan bahawa tiada suatu pun peruntukan di bawah akta tersebut yang membenarkan sebarang penapisan maklumat berlaku.

Prinsip ini adalah berdasarkan pendapat bahawa pengawalan maklumat hanya akan memberikan kesan yang negatif kepada perkembangan teknologi komunikasi yang canggih ini.

Ini berbeza sekali dengan sesetengah negara yang mengambil pendirian yang jauh lebih agresif. Negara-negara seperti Cuba dan China, mengamalkan penapisan maklumat secara total atau separa. Mereka menganggap kandungan yang dibawa di dalam Internet sebagai ancaman ideologi kepada penduduk mereka. Mereka lebih suka penduduk mereka pasif, buta dan tidak celik kepada maklumat dan perkembangan dunia terkini.

Banyak juga negara yang bersikap sederhana dan menapis hanya maklumat yang mungkin merosakkan fikiran orang awam seperti bahan lucah, bahan propaganda Nazi, bahan yang boleh menyebabkan ancaman kepada kesihatan awam seperti iklan-iklan ubatan dan racun yang memerlukan preskripsi doktor, bahan yang boleh menyebabkan ancaman kepada negara seperti cara-cara membuat bom, bahan api dan sebagainya dan perbuatan jenayah.

Antara negara-negara yang termasuk dalam kategori ini adalah Australia, Kanada, Hong Kong, United Kingdom dan Singapura.

Kebebasan bersuara dan penyalahgunaan Internet

Kebebasan bersuara yang sedia ada seharusnya tidak disalahgunakan. Tetapi malangnya penyalahgunaan Internet berleluasa pada masa ini. Langkah-langkah perlu diambil dan dikenal pasti supaya Internet terus kekal sebagai alat komunikasi yang unggul pada abad ini.

Antara perbualan-perbualan yang boleh membawa ancaman kepada masyarakat dan patut dikawal adalah bahan lucah, judi siber, fitnah dan gangguan seksual.

Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 ada memperuntukkan penubuhan satu Forum Pengisian yang akan menentukan etika-etika dan garis panduan yang patut diikuti dalam dunia siber. Seksyen 231 Akta tersebut membolehkan pengawalan bahan-bahan yang menyalahi, tidak sopan dan tidak senonoh. Namun sehingga kini, garis panduan tatasusila pengisian ini masih belum disempurnakan lagi.

Garis panduan ini hanya membatasi isi-isi kandungan laman web dan sesetengah salah laku pengguna dan bukanlah berperanan sebagai badan penapisan. Antara salah laku pengguna Internet yang merisaukan adalah spamming, virus, hacking, e-mail bombing, denial of service attack, penggunaan `robot', penggunaan kata laluan orang lain dan sebagainya.

Penggunaan dunia siber untuk melakukan perbuatan jenayah adalah suatu yang dimaklumi. Perbuatan-perbuatan seperti tipu, bahan lucah, piramid, judi siber, penipuan kad kredit, peras ugut, pengintipan industri, pelaburan haram dan sebagainya seharusnya dikawal selia untuk mengelakkan dunia siber daripada menjadi dunia liar seperti the wild wild west. Perbuatan-perbuatan tersebut adalah salah di bawah peruntukan sekarang dan seharusnya dianggap sebagai kesalahan di dunia siber juga. Sekiranya tidak, dunia siber akan menjadi pusat jenayah dan seterusnya membantut usaha-usaha untuk memantapkan Internet sebagai pemantau K-ekonomi.

Kebebasan bersuara dalam Islam

Terdapat ayat-ayat al-Quran yang memperuntukkan hak-hak manusia yang perlu dihormati. Antara hak-hak tersebut adalah hak untuk hidup, hak untuk mengumpul dan memiliki harta, hak untuk bersendirian tanpa gangguan, hak untuk bergerak, hak ke atas anak-anak, hak untuk keadilan, hak ke atas maruah dan penghormatan seseorang, persamaan di bawah undang-undang dan sebagainya. Dalam hal ini, Prof. Hashim Kamali di dalam bukunya Freedom of Expression in Islam, menolak pemikiran orientalis yang mengatakan bahawa Islam hanyalah agama yang mementingkan perihal ritual ibadah sahaja. Malah, katanya, terdapat banyak hak-hak asasi manusia yang dipandang tinggi dalam Islam.

Menurut pendapat Prof. Hashim Kamali, hak bersuara boleh dimanifestasikan dalam beberapa keadaan. Pertama hak untuk memberi nasihat kepada orang yang melakukan kesalahan (Nasihah). Kedua, hak untuk berunding dan bermesyuarat (Syura). Ketiga hak untuk membuat `ijtihad.

Keempat hak untuk mengkritik orang lain (Hurriyyat al Mu'aradah). Kelima kebebasan pendapat (Hurriyyat al-Ra'y) dan keenam kebebasan untuk berpersatuan dan ketujuh kebebasan beragama (al-Hurriyyah al-Diniyyah). Kesemua hak ini adalah bersandarkan kepada nas-nas al-Quran yang `sarih' (nyata).

Daripada penulisan Prof. tersebut, jelaslah konsep kebebasan bersuara adalah bukan suatu konsep yang ganjil dan tidak diiktiraf dalam Islam, malahan sebaliknya.

Keunggulan Internet sebagai alat komunikasi yang canggih seharusnya tidak dipandang sebagai satu ancaman. Kebebasan bersuara yang sekarang dipraktikkan dalam dunia siber di Malaysia mampu membawa banyak kesan yang positif. Ia dapat melahirkan rakyat yang celik dan cerdik, yang terdedah kepada perkembangan, pemikiran, idea-idea yang terkini dan ini menyemarakkan lagi budaya ilmu dan fikir di kalangan masyarakat.

Amalan penapisan berpolitik dan menapis ideologi hanya akan melahirkan generasi yang tidak mampu berfikir secara kendiri, waras dan bijak. Malah kebanyakan pengguna IT lebih canggih dan berkemampuan untuk membezakan antara yang benar dan salah. Kebimbangan bahawa perang ideologi di dalam Internet membahayakan orang awam sepatutnya tidak timbul sama sekali dalam alaf baru ini.

* KERTAS kerja ini dibentangkan oleh Tan Sri Datuk Harun Mahmud Hashim, Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) semalam.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum