RENCANA

Utusan Malaysia 20 April 2001

SEMPENA PERSIDANGAN DAN EKSPO ANTARABANGSA PENGURUSAN PERNIAGAAN ISLAM 2001 - Perhimpunan usahawan Islam sedunia

Oleh:YAHAYA AHMAD (WARTAWAN UTUSAN)
PERSIDANGAN dan Ekspo Antarabangsa Pengurusan Perniagaan Islam 2001 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur mulai 25 Mei ini, dijangka menjadi perhimpunan para usahawan Islam terbesar pernah diadakan melalui penyertaan sebilangan ahli perniagaan dari negara-negara Islam di seluruh dunia.

Persidangan empat hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu akan menghimpunkan ahli-ahli perniagaan bukan saja dari negara-negara Islam di rantau ini seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam, malah turut melibatkan penyertaan tokoh-tokoh korporat dari dunia Arab, Afrika, Asia dan Eropah.

Sambutan daripada kalangan usahawan Islam untuk menyertai perhimpunan tersebut amat menggalakkan walaupun pihak penganjur sebelum ini bimbang ia mungkin menerima kesan negatif berikutan kemuraman ekonomi dunia dan keadaan kemelesetan ekonomi yang sedang melanda negara kuasa besar Amerika Syarikat.

Sebaliknya kebanyakan peserta dari luar negara lebih tertarik untuk menghadiri persidangan berkenaan bagi membolehkan mereka bersama-sama berkongsi pengalaman dengan peserta negara tuan rumah berikutan kejayaan Malaysia memulihkan ekonominya daripada kegawatan tiga tahun lalu tanpa meminta bantuan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dijadual merasmikan serentak persidangan dan ekspo itu yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Yayasan Nurul Yaqeen, sebuah institusi berteraskan konsep kebajikan bagi menangani cabaran sosial, ekonomi dan politik generasi Islam keseluruhannya.

Turut menjayakan persidangan dan ekspo antarabangsa itu ialah Millennium Ark (M) Sdn. Bhd., manakala majalah MASSA terbitan Utusan Melayu (M) Berhad pula dilantik sebagai media rasmi.

Menurut Azman Abd. Aziz dari Millennium Ark, lebih 200 peserta tempatan yang mewakili badan perniagaan, sektor swasta dan kerajaan akan mengambil bahagian dalam perbincangan yang mempunyai hubung kait dengan pelbagai aspek perniagaan sempena persidangan itu.

Sebanyak 15 kertas kerja yang disediakan oleh tokoh perniagaan dan ahli akademik akan dibentangkan, selain Forum bertajuk `Perniagaan secara Islam: Peranan dan cabaran di alaf baru.'

Antara ahli panel termasuklah Datuk Ahmad Tajuddin Abdul Rahman dari Bank Islam Malaysia Berhad, Prof. Madya Dr. Mustafa Daud dari Universiti Utara Malaysia, Dr. Mansor Mohd. Noor (USM), Pahrol Mohd. Juoi (Fitrah Perkasa Sdn. Bhd.), Dr. Ahmad Atory (UUM), Prof. Madya Dr. Abdul Razak Omar (Clinical Leadership Consultant), Dr. Syed Raisudin Syed Abdullah (Institut Latihan Keselamatan Sosial).

Nik Mustapa Nik Hassan (IKIM), Ahmad Farid Omar (Federal Power Sdn. Bhd.), Rohani Datuk Ahmad Ramli (Hijrah Unit Trust Management Berhad), Mokhtar Ramli (Amanah Ikhtiar Malaysia), Prof. Dr. Muhammad Syukri Salleh (USM) dan Datuk Dr. Maamor Osman (Persatuan Pengguna Islam).

Hasil perbincangan yang diadakan itu diharap dapat mencapai resolusi ke arah pembentukan dasar bagi pelaksanaan perniagaan secara Islam selain menganalisis perbezaan-perbezaan dari segi amalan, konsep dan perilaku perniagaan di antara Barat dan Islam.

Ia juga diharap menjadi platform untuk mencari definisi dan kaedah-kaedah yang paling konsisten dalam urusan perniagaan Islam di samping menetapkan piawaian khusus dalam mengendalikan setiap urusan perniagaan.

Bagi usahawan tempatan pula, persidangan dan ekspo berkenaan bukan saja boleh mempereratkan lagi hubungan silaturahim di kalangan ummah, malah ia juga sebagai peluang untuk mereka menjalinkan persefahaman dengan rakan kongsi baru dari rantau lain ke arah membesar dan meluaskan lagi kegiatan perniagaan.

Mereka yang berminat menyertai persidangan itu masih berpeluang berbuat demikian dengan menghubungi Yayasan Nurul Yaqeen di alamat No. 4 Jalan 3/27F, Desa Setapak, Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur. Telefon 03-41422902 atau faksimili 03-41423713.

Penyertaan daripada peserta tempatan masih dibuka berdasarkan `siapa cepat dia dapat'. Penyertaan bagi kategori korporat dikenakan bayaran RM250 manakala pelajar pula sebanyak RM100.

Sebanyak 50 peserta yang membuat pendaftaran awal akan diberikan diskaun oleh pihak penganjur.

Selain persidangan, ekspo bertaraf antarabangsa yang mempamerkan pelbagai barangan dan produk terbaru dari negara-negara Islam, akan turut diadakan. Sebanyak 65 ruang pameran disediakan oleh pihak penganjur untuk usahawan tempatan dan luar negara.

Antara barangan yang disenaraikan dalam ekspo itu ialah bahan makanan, hiasan rumah, perabot, ubat-ubatan, barang kemas, kosmetik, peralatan elektronik, bahan binaan, alat telekomunikasi, automotif, perkhidmatan perbankan Islam dan sebagainya.

Memandangkan ruang pameran adalah terhad, usahawan, pengilang atau pemamer yang berminat boleh menghubungi pengendali ekspo, Millennium Ark (M) Sdn. Bhd. di alamat Suite 5.85, Aras 5, Wisma Central, Jalan Ampang, 50450 Kuala Lumpur, telefon 03-21615942 atau 03-21667544 untuk tempahan sebelum 30 April ini.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum