RENCANA

Utusan Malaysia 20 April 2001

Latih keluarga hadapi kecemasan

KEBAKARAN tempat kediaman merupakan satu masalah yang semakin menjadi-jadi. Paling menyayat hati ialah apabila tragedi sebegini turut meragut nyawa. Kebakaran yang meragut nyawa tiga beradik di Kelana Jaya pada 18 April (Rabu) lalu amat menyedihkan sekali.

Apatah lagi kebakaran itu telah disedari oleh jiran tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana masalah jeriji besi.

Kematian akibat kebakaran tempat kediaman lazimnya terjadi bukan kerana mangsa terbakar hidup-hidup tetapi dimulai dengan pengsan akibat daripada terhidu asap yang memenuhi ruang rumah.

Jeriji besi yang dipasang pada rumah bagi tujuan keselamatan daripada dicerobohi telah menimbulkan masalah yang lain pula. Apabila berlaku kebakaran mangsa terperangkap di dalam rumah sendiri. Manakala, jiran pula tidak dapat membantu kerana jeriji yang dipasang tidak dapat dipecahkan dengan mudah.

Keadaan ini telah disedari oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Lantaran itu usaha untuk menguatkuasakan pemasangan jeriji yang lebih praktikal dan selamat sedang diusahakan.

Belum pun sempat jabatan kerajaan ini mengeluarkan satu keputusan penuh tentang pemasangan jeriji yang lebih praktikal, kejadian kematian akibat terperangkap di dalam rumah yang terbakar makin menjadi-jadi.

Senario ini amat membimbangkan banyak pihak. Satu tindakan segera, drastik dan lebih praktikal amat perlu dilakukan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang lagi.

Umumnya, latihan kebakaran sering dianjurkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat di pejabat atau institusi awam seperti sekolah dan kolej. Namun latihan kebakaran untuk tempat kediaman jarang diadakan.

Jika diadakan sekali pun, penduduk memberi sambutan yang amat dingin sekali, kerana beranggapan ia tidak perlu. Tambahan pula hambatan masa hidup di kota telah membuatkan usaha murni Jabatan Bomba dan Penyelamat tidak dihargai oleh penduduk.

Apatah lagi banyak peralatan kecemasan seperti pili bomba, gas pemadam api dan loceng kecemasan telah disalah- gunakan atau dirosakkan oleh manusia yang tidak bertanggungjawab.

Fenomena sedemikian bukan saja membahayakan penduduk malah turut meningkatkan kos penyelenggaraan peralatan sedemikian.

Kita seharusnya tidak boleh mengharapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat sahaja untuk menangani masalah ini. Kita sepatutnya mengambil inisiatif tersendiri bagi kebaikan semua, kerana kebakaran yang berlaku turut melibatkan orang lain terutamanya jiran dan juga harta benda berhampiran.

Antara langkah segera yang boleh diambil oleh ketua keluarga ialah dengan mengadakan latihan kecemasan kepada penghuni rumah bagi menghadapi keadaan yang cemas. Perkara-perkara yang boleh dilakukan dalam latihan kecemasan keluarga tersebut ialah:

* Melatih ahli keluarga untuk bertindak bijak ketika dalam keadaan cemas. Gunakan selimut atau kain yang dibasahi air apabila asap mula memenuhi ruang ketika kebakaran terjadi. Tindakan ini penting untuk membolehkan mangsa yang terperangkap mengelak daripada lemas dalam kedudukan asap tebal. Secara semula jadi, asap akan berkumpul di ruang atas udara dalam ruang rumah.

Justeru, mangsa sepatutnya merendahkan badan bersama kain yang dibasahi bagi mengelak daripada terhidu asap yang mungkin beracun, lalu menuju ke pintu yang boleh dirasakan tiada kebakaran besar.

* Lebih baik sekiranya keluarga menyediakan topeng gas di tempat yang mudah diambil oleh ahli keluarga jika terjadi kebakaran.

* Pastikan ahli keluarga mengetahui pintu utama untuk keluar jika berlaku kebakaran. Jika pintu tersebut berkunci, pastikan anggota keluarga tahu tempat simpanan kunci itu. Jika pintu ditutupi jeriji, pastikan ahli keluarga tahu untuk membukanya. Hal ini amat penting bagi anak-anak yang masih kecil.

Latih mereka untuk bertindak sedemikian jika keadaan cemas berlaku. Oleh kerana kebakaran besar mungkin bermula di tempat pintu utama, maka alternatif untuk keluar melalui pintu yang lain perlu diberi kesedaran. Atau mungkin boleh disediakan satu pintu kecemasan.

* Jika ada alat pemadam kebakaran di rumah, pastikan anggota keluarga tahu menggunakannya.

* Ulangi latihan ini dengan kadar tertentu yang boleh membiasakan ahli keluarga mereka tidak panik apabila berdepan dengan keadaan yang cemas. Atau mungkin boleh dijadikan satu aktiviti penting keluarga. Di samping dapat membantu ahli keluarga untuk bertindak dalam keadaan cemas, ia juga dapat menjadikan institusi keluarga lebih kukuh.

Persefahaman yang wujud dalam keadaan cemas itu boleh mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Paling elok jika ia dilatihkan bersama jiran.

Sekurang-kurangnya, timbul persefahaman di antara jiran yang bukan saja dapat mewujudkan keadaan harmoni tetapi dapat membantu jiran menjaga keselamatan daripada kes pecah rumah umpamanya.

* Bagaimanapun, dapatkan nasihat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat ketika melaksanakan latihan ini kerana ia adalah organisasi yang pakar dalam masalah tersebut. Hubungan yang rapat antara masyarakat dengan jabatan ini membolehkan gejala vandalisme terhadap peralatan pencegahan kebakaran dapat diatasi dengan mudah.

Cara ini lebih praktikal dan dapat dilakukan segera tanpa melibatkan kos yang besar. Fikirlah keselamatan bersama kerana tanpa kesedaran, apa jua saranan akan sia-sia saja.

Sekiranya kebakaran maut terjadi juga setelah langkah berjaga-jaga diambil, maka kita sebagai makhluk di dunia ini perlulah redha dan menerimanya sebagai suatu takdir untuk menguji keimanan kita! - MOHD. MAHZAN AWANG, IKRAM Park, Kajang, Selangor.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum