RENCANA

Utusan Malaysia 21 April 2001

Jeriji besi cantik tetapi boleh mengancam nyawa

Pada Hemat Saya
Oleh Kamaruzaman Mohamad
(Wartawan Utusan)
DEWASA ini memasang jeriji besi pada setiap rumah adalah satu kemestian kerana ia mampu menghindar pencuri memecah masuk ke dalam sesebuah rumah itu.

Bagaimanapun apakah bentuk jeriji yang perlu dipasang di rumah itu hendaklah diberikan perhatian serius.

Ini kerana kesilapan memasang jeriji itu boleh membawa padah apabila berlaku kebakaran atau kecemasan.

Justeru persoalan utama yang perlu dijawab ialah adakah jeriji besi itu boleh dibuka dari dalam.

Jika jawapannya `Ya', ia menunjukkan para penghuni sesebuah rumah itu berada dalam keadaan selamat.

Manakala jika jawapannya pula `Tidak', langkah segera memperbetulkan kesilapan itu mestilah dilakukan demi menjamin keselamatan para isi rumah.

Ini kerana jika kesilapan itu tidak diperbetulkan segera, lambat-laun rumah yang cantik dan tersergam indah itu akan bertukar menjadi `perangkap maut'.

Hal ini jelas dilihat sejak akhir-akhir ini banyak kes kebakaran di bandar-bandar akan melibatkan kematian yang dipercayai berpunca daripada penggunaan jeriji yang salah.

Berbanding dengan rumah di kampung-kampung, jika ia musnah dalam kebakaran adalah jarang sekali akan turut melibatkan nyawa.

Keadaan inilah yang perlu diberikan perhatian serius kerana rumah sepatutnya bukan sahaja cantik tetapi ia selamat untuk didiami.

Untuk memastikan pemasangan jeriji besi yang selamat bukanlah menjadi satu perkara yang sukar lagi sekarang.

Jabatan Bomba dan Penyelamat telah lama mengeluarkan contoh jeriji yang boleh dipasang di rumah-rumah. Bagaimanapun apa yang merisaukan ialah sama ada pembuat jeriji mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh jabatan itu.

Kepekaan orang ramai menjadi satu perkara penting dalam menentukan pemilihan jeriji yang benar-benar mengikut spesifikasi Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Menurut jabatan itu, jeriji besi yang selamat untuk rumah kediaman ialah yang boleh dibuka dari dalam.

Ini kerana bagi memastikan para penghuni itu boleh keluar dengan cepat apabila berlaku kebakaran.

Dengan membuka jeriji itu dari dalam juga membolehkan para penghuni rumah diselamatkan oleh anggota bomba atau mereka sendiri dapat keluar dengan cepat.

Tidak ada gunanya mempunyai jeriji besi yang cantik dan kukuh tetapi ia sukar dibuka atau memang daripada jenis yang tidak boleh dibuka langsung.

Pada sesetengah orang merasakan pemasangan jeriji yang tidak boleh dibuka atau `mati' adalah satu langkah selamat kerana kononnya pencuri sukar untuk memecah masuk ke dalam rumah mereka.

Bagaimanapun mereka sebenarnya tidak sedar bahawa langkah itu adalah salah dan membahayakan nyawa mereka sendiri.

Justeru garis panduan pemasangan jeriji yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat itu adalah satu-satunya jalan yang paling selamat dan perlu dipatuhi oleh setiap orang.

Dalam memastikan orang ramai mengikut garis panduan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat hendaklah membuat pemeriksaan ke rumah-rumah atau pihak berkuasa tempatan (PBT) meletakkan syarat dalam memberikan kelulusan sijil menduduki (CF).

Sudah sampai masanya PBT juga bertindak tegas kerana ia tidak boleh lagi membiarkan pemilik premis memasang jeriji sesuka hati mereka asalkan ia nampak cantik.

Bukanlah para pemilik premis tidak boleh menghias rumah mereka dengan berbagai-bagai reka bentuk jeriji tetapi biarlah ia selamat iaitu boleh dibuka dari dalam.

Kemahiran tukang besi amatlah penting dalam mereka bentuk jeriji yang bukan sahaja cantik tetapi yang lebih penting lain ialah selamat digunakan.

Mereka juga perlu mencari satu cara yang membolehkan seseorang membuka jeriji dengan cepat jika berlaku sesuatu kebakaran atau kecemasan.

Sekiranya pada masa ini jeriji itu dikunci dari dalam menggunakan mangga, mungkin mereka boleh mencipta jeriji yang akan menggunakan nombor kod pula untuk mengunci dan membukanya.

Ini kerana cara ini nampaknya lebih cepat dalam sesuatu keadaan kecemasan. Dalam keadaan sekarang, seseorang itu mungkin akan panik dan gagal mengesan kunci jeriji jika berlaku kebakaran.

Oleh itu dengan penggunaan kod rahsia, ia akan mempercepatkannya menyelamatkan diri.

Selain itu, di antara tip untuk mengelakkan kebakaran yang pernah dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat ialah dinding pemisah di sebuah kediaman hendaklah dibina dari batu-bata yang diluluskan oleh jabatan tersebut.

- Dinding pemisah itu juga dinaikkan 230 mm melebihi paras bumbung atau daripada reka bentuk yang diluluskan.

- Setiap premis mestilah mempunyai laluan belakang khasnya rumah-rumah teres.

- Sekiranya para pemilik rumah itu berkemampuan, mereka bolehlah memasang alat pengesan asap dan alat pemadam api mudah alih.

- Pili bomba di sekitar rumah mestilah berada dalam keadaan bersih dan tidak terlindung.

- Pasang kediaman anda dengan lampu kecemasan. Elakkan menggunakan lilin atau pelita ketika gangguan bekalan elektrik.

- Tidak menyimpan bahan kimia bahaya (cat, petrol dan lain-lain) di dalam rumah.

- Didik anak-anak tentang bahaya bermain mancis di dalam rumah.

- Amalan merokok di tempat tidur haruslah dihindarkan dalam apa juga keadaan.

- Penyambungan elektrik tanpa mengira beban akan menyebabkan berlakunya kemalangan seperti lintar pintas.

- Penggunaan pelita, lilin dan lingkaran ubat nyamuk berdekatan dengan langsir atau sebarang bahan yang mudah terbakar adalah bahaya.

- Jika menyimpan bahan-bahan di bawah tangga pastikan tiada yang mudah terbakar.

Negara sebenarnya tidak mampu kehilangan rakyat melalui kebakaran atau kemalangan lainnya kerana setiap rakyat itu adalah aset penting negara.

Dalam merealisasikan hasrat menambah jumlah penduduk itu, pelbagai kempen mencegah kemalangan dilancarkan dari masa ke masa.

Dan salah satu kempennya menggalakkan orang ramai menggunakan jeriji yang betul serta selamat.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum