RENCANA

Utusan Malaysia 21 April 2001

Menaruh harapan pada pengganti SSB

PADA awal pelaksanaan Sistem Saraan Baru (SSB), banyak pihak menyambut baik. Namun, baru-baru ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) telah mengumumkan mereka sedang mengkaji sistem penilaian berkaedah matriks itu untuk mewujudkan satu sistem penilaian prestasi yang lebih adil, mantap dan progresif.

Masalah berkenaan sewajarnya disedari oleh Unit Permodenan Tenaga Manusia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang bertanggungjawab untuk mengkaji dan mencari suatu formula baru yang lebih mampu, relevan dan dapat diterima semua lapisan pengkhidmatan awam.

Rungutan dan masalah ini agak lama timbul apabila SSB dislogankan sebagai ``Siapa Suka Bodek''. ``Siapa Sayang Bos'', ``Saya Suka Bos''. ``Sama-Sama Bodek'' dan lain-lain yang begitu ketara pada 1995. Perlu disebut, SSB diperkenalkan pada 1992.

Kita agak hairan kenapa masalah ini tidak diambil berat, sedangkan di masa yang sama pihak berwajib mengalu-alukan para pekerja supaya lebih produktif dan inovatif. Sepatutnya setiap dasar yang dilaksanakan dikaji setiap lima tahun sekali. Setidak-tidaknya satu kajian secara ilmiah perlu dilakukan. Kita mempunyai pelbagai saluran untuk melakukannya, baik oleh institusi pengajian tinggi awam atau Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

Kenapakah pihak berwajib melengah-lengahkan untuk mengambil tindakan wajar terhadap masalah berkenaan yang telah mewujudkan perasaan tidak puas hati di kalangan para pekerja di sektor awam.

Masalah ini sememangnya ada di mana-mana kerana penilaian baik buruk dan kecemerlangan perkhidmatan seseorang itu hanya dibuat dalam tempoh lima hingga sepuluh minit sahaja. Contohnya, jika si A seorang yang rajin bekerja tetapi tidak suka mengampu ketua dengan si B yang agak malas bekerja tetapi pandai bermuka-muka akan dinilai oleh seorang ketua yang suka diampu sudah tentu si B yang beroleh markah yang baik.

Markah yang baik akan menentukan masa hadapan seseorang pekerja sama ada gaji akan naik mendadak dan pangkat pula akan menyusul, sedangkan merit yang mereka lakukan hanya pada tahun penilaian itu sahaja. Dan sepatutnya gaji mereka perlu ditambah pada tahun berkenaan sahaja.

Tidak dinafikan ada ketua yang tegas, adil dan saksama di dalam membuat penilaian terhadap orang bawahannya tetapi berapa kerat? Selagi bernama manusia, seseorang itu suka dipuja dan dipuji. Akibatnya, ada pekerja yang merasa malas dan tidak dinamik di dalam melaksanakan tugas mereka.

Sebagai jentera kerajaan yang berada di pelbagai bidang termasuk, penguatkuasaan, pertahanan, operasi, perkhidmatan dan pelaksana pembangunan, mereka wajar memberikan pandangan masing-masing. Perkara ini timbul apabila proses kenaikan pangkat dan penilaian Pergerakan Gaji Tahunan (PGK) dibuat.

Ketika itu, akan wujud pelbagai spekulasi pilih kasih dan sebagainya, sedangkan jawatan yang ada adalah terhad. Begitu juga apabila kedudukan kenaikan gaji sama ada melintang, menegak, mendatar ataupun statik dibuat setahun sekali.

Justeru, di masa terdekat ini, JPA, MAMPU dan CUEPACS wajar duduk semeja demi untuk mencari suatu formula yang lebih realistik, mapan dan mampu menjana minda dan tenaga manusia ke arah yang lebih berkualiti dan cemerlang.

Kita tidak nafi yang SSB telah mengurangkan kategori dan skim perkhidmatan awam kepada kira-kira 290 sahaja. Namun begitu, niat murni dan hasrat itu telah disalah ertikan serta terlalu mudah untuk dinafikan keunggulannya oleh seseorang ketua kerana sikap negatif yang diperjelaskan di atas.

Lebih daripada itu, cadangan yang dibuat Presiden CUEPACS, N. Sivasubramaniam baru-baru ini supaya penilaian mengikut jenis dan bidang pekerjaan adalah lebih berhemat. Contohnya, kalau guru beberapa ciri seperti kebolehan, kemahiran dan pengetahuan guru itu wajar dijadikan kayu pengukur. Ini lebih adil dan pragmatik.

Selain itu, sistem baru yang bakal dicernakan seharusnya boleh memuaskan hati semua pihak. Di samping itu, sikap buruk sangka dan yang boleh menjejaskan hubungan baik pekerja awam wajar dihindarkan. Soal semangat parokial perlu dibuang jauh-jauh, barulah tidak timbul slogan ``Kelantan dengan Kelantannya'' atau ``Kedah dengan Kedahnya''.

Dengan sistem baru, tidak akan timbul lagi cerita penilaian hanya dibuat berdasarkan berapa handicap golf atau ten pin bowling. Maka, kita yakin bisik-bisik yang menyatakan banyak masa pegawai atasan berada di padang-padang golf akan wujud. Benar atau tidak bisikan itu bukan persoalannya tetapi sedikit sebanyak akan menjejaskan kredibiliti para pekerja.

Adalah diharapkan sistem baru yang sedang dirangka akan mengambil kira dan tidak dikesampingkan aspek pandangan jauh, sikap positif, pengetahuan, kemahiran, kepakaran luar biasa, keunggulan, kesetiaan, rajin, jujur, amanah, kebenaran dan pendidikan seseorang pekerja awam.

Di samping itu, pihak berwajib juga wajar mengambil perhatian terhadap merit seseorang pekerja berdasarkan kepada inovasi, penemuan terbaru dan tahap pendidikan mereka. Contohnya, jika seseorang pekerja di kategori pengurusan atasan dan profesional yang mempunyai ijazah sarjana dan doktor falsafah (Ph.D) perlu diberikan imbuhan khas, biarpun jawatan yang disandang adalah sama dengan mereka yang mempunyai ijazah sarjana muda sahaja.

Dengan cara itu, sikap tidak puas hati dan perasaan diketepikan akan luntur dengan sendirinya. - NIK YAHYA AB. RAHMAN, Kuala Lumpur.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum