RENCANA

Utusan Malaysia 21 April 2001

Lembaran baru hubungan MTUC-KWSP

Oleh: G. MANIMARAN
BERDASARKAN perkembangan terbaru dan nada kenyataan pemimpin-pemimpin Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sejak seminggu lalu, kelihatan mereka sebenarnya mengharapkan kesediaan daripada pihak lain untuk membuka laluan perundingan.

Pihak lain yang dimaksudkan dalam isu ini sudah pastinya pengurusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Lazimnya, kemungkinan situasi seumpama itu akan wujud tidak dapat ditolak apabila sesebuah organisasi menerima kepimpinan baru. Sejak dua bulan lalu, KWSP diterajui oleh Tan Sri Abdul Halim Ali sebagai pengerusinya dan, buat pertama kali badan berkanun berkenaan mendapat khidmat seorang ketua pegawai eksekutif.

Bermakna wujud `nafas dan darah' baru dalam KWSP untuk menukar tirai hubungan lama dengan yang baru - yang lebih jernih dan terbuka ke arah menimbulkan keyakinan pencarum-pencarum ke atasnya.

Begitulah harapan MTUC dan kesatuan-kesatuan gabungannya. Apakah ini akan menjadi kenyataan?

Dalam jangka pendek aspek kepimpinan boleh membawa perubahan dalam hubungan antara wakil pekerja dengan pengurusan KWSP. Tetapi bagaimana pula dengan perubahan jangka panjang?

Kedua-dua pihak harus menjalin hubungan harmoni demi kepentingan bersama dan keseluruhan pihak yang terbabit - pengurusan KWSP, kerajaan, majikan dan pekerja. KWSP dan MTUC seharusnya memulakan inisiatif untuk mewujudkan lembaran hubungan baik, dan tidak mustahil jika ia dapat dilakukan di meja perundingan di bawah kepimpinan baru.

Menjawab persoalan sama ada ia akan menjadi kenyataan, pensyarah Jabatan Analisis Ekonomi dan Dasar Awam di Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Zulkifly Osman berkata: ``Satu orang baru, dan kedua, sistem yang sedia ada. Sistem jika tidak boleh diubah, ia tidak akan memberi kesan. ``Akan kembali ke situasi asal,'' ujar beliau.

Beliau melihat keperluan perubahan jangka panjang dengan membuat sedikit pengubahsuaian dalam pendekatan yang digunakan oleh KWSP.

Jelas beliau, pengurusan KWSP perlu memikirkan cara-cara lain untuk memperbaiki hubungannya dengan wakil-wakil pekerja dalam badan berkanun khususnya MTUC yang memutuskan untuk berpiket bulan depan berdasarkan pada enam isu utama yang dibangkitkannya.

Penurunan kadar dividen bagi tahun perkhidmatan 2000 iaitu yang disifatkan oleh MTUC sebagai yang terendah dalam tempoh 26 tahun lalu. Isu kedua ialah pengurangan caruman dua peratus di pihak pekerja kepada sembilan peratus berbanding 11 peratus sebelum ini juga menjadi isu. Kelmarin kerajaan memutuskan untuk memberi pilihan kepada pekerja. Dengan perkataan lain, isu ini boleh dianggap telah selesai menerusi tindakan proaktif kerajaan.

Kemudian dipersoalkan pula mengenai pengurusan skim anuiti oleh pihak ketiga iaitu syarikat-syarikat insurans. MTUC mahu ia dikendalikan oleh KWSP tanpa tanggungjawabnya diberikan kepada pihak ketiga.

Isu keempat ialah pendekatan pelaburan KWSP dengan merujuk kepada tindakan membeli saham Time Dotcom baru-baru ini yang membawa kerugian ekoran kemerosotan nilai.

``Kini KWSP mempunyai tugas yang berat untuk menimbulkan keyakinan di kalangan pencarum. Mereka perlu telus dalam tindakan yang diambil,'' kata Zulkifly. Bagaimanapun beliau tidak menafikan pengurusan badan berkanun ini mempunyai tanggungjawab berat dalam mengurus satu dana yang jumlahnya terlalu besar.

``Bukan mudah. Keduanya, setiap tahun harus ada dividen kepada pencarum. Pengurusan sedemikian memang sesuatu yang berat,'' katanya sambil menambah:

``Pada waktu yang sama dua tekanan datang. Satu dari atas dan satu lagi dari bawah. Jadi mereka terpaksa seimbangkan kedua-dua tekanan itu,'' jelas beliau.

Misalnya, dalam kes pengurangan dua peratus caruman, kerajaan mengumumkan keputusan itu atas dasar menjana pertumbuhan ekonomi. Di pihak kesatuan sekerja pula, ia merupakan satu beban yang akan ditanggung bila bersara kelak. ``Jumlah wang akan menjadi kecil bila caruman kecil. Bila jumlah kecil, maka kadar dividen pun kecil,'' katanya. ``Ini dua tekanan KWSP yang saya merasakan begitu berat, rumit,'' tambah beliau.

Beliau menekankan, KWSP juga mempunyai tugas yang berat untuk menjelaskan kepada kedua-dua pihak mengenai pendekatan pengurusan itu. Berdasarkan pada peruntukan dalam Akta KWSP, menurut Zulkifly, perkembangan dalam KWSP tidak boleh dirumuskan bahawa pengurusannya tidak cekap ataupun lemah. Sebagai contoh peruntukan dana pelaburan dalam sektor awam dan swasta sebagaimana ditekankan dalam akta berkenaan.

Pelaburan-pelaburan yang kebanyakannya adalah pelaburan yang kurang dari segi risiko. ``Sebab kita menguruskan duit orang (ahli). Kita tidak boleh tanggung risiko yang tinggi. Dalam konteks itu risiko rendah, pulangan rendah, dividen rendah,'' jelas beliau.

Ini juga boleh memberi kesan kepada pendapatan para pencarum dalam jangka panjang. ``Ahli bersara dengan jumlah wang kecil kerana dividen rendah, disebabkan banyak proses yang membolehkan dia boleh mengeluarkan duit pada masa sekarang,'' demikian kata beliau.

Beliau berpendapat bahawa salah satu cara untuk menambah wang yang bakal dibawa pulang oleh seseorang pekerja ialah dengan menambah caruman ahli dan majikan yang terus mengalami peningkatan.

Pada awal dekad lalu, bayaran caruman hanya dalam lingkungan nisbah 5:5 peratus. Kini ia meningkat kepada 11:13 peratus.

Sebagai perbandingan dengan perkembangan di negara lain, Singapura memperkenalkan caruman ialah 20:20 peratus. ``Berdasarkan nisbah itu, caruman di sini rendah. Kita boleh menambah caruman untuk menambah pulangan pada hari persaraan,'' katanya.

Kerajaan kemungkinan boleh mengkaji untuk menambah kadar caruman yang lebih tinggi apabila ekonomi mengalami perubahan kelak. Bagaimanapun, akta semasa memberi kebebasan dan pilihan kepada pencarum untuk membuat caruman melebihi 11 peratus sekarang.

Mengenai skim anuiti kata Zulkifly, ia boleh diselesaikan jika KWSP mengambil tindakan untuk menguruskannya sendiri. MTUC tak puas hati kerana diberi kepada pihak ketiga.

``Saya rasa kalau KWSP hendak menguruskannya, masih boleh melakukannya,'' katanya. Beliau tidak menafikan skim tersebut sebagai sesuatu yang baik untuk para pencarum berdasarkan arah aliran di peringkat antarabangsa - selari dengan harus perubahan jaringan keselamatan sosial masa kini.

``KWSP pernah berurusan dengan perkara-perkara ini sebelum ini. Saya rasa tidak ada masalah, mungkin ia boleh tubuhkan sebuah jabatan di bawah KWSP untuk menguruskan skim ini. Ia juga satu bentuk bayaran pencen,'' jelasnya. Pelaksanaan skim itu oleh KWSP tidak menjadi masalah memandangkan ia mempunyai sumber-sumber yang perlu, tetapi ia juga sewajarnya disusuli dengan tahap pemantauan pengurusan yang ketat.

``Kalau memantau pengurusannya, ia tidak akan menimbulkan masalah. Sekarang ini pun ada lembaga.

``Persoalan yang timbul ialah sama ada pemantauan dibuat di mana ia diperlukan,'' katanya.

Selalu yang diambil menganggotai lembaga ialah pemimpin pekerja, majikan dan wakil bebas. Persoalan yang timbul ialah sama ada mereka menjalankan tugas dengan baik. ``Mungkin mereka menjalankan tugas, tetapi disebabkan kadar undi (pihak pekerja ada lima wakil) berbeza, tidak dapat menjalankan,'' katanya.

``Suara mereka kecil, tetapi majikan pun lima juga mungkin boleh besar saiz lembaga tetapi jika terlampau besar, sukar untuk dikawal,'' katanya.

Beliau turut menyarankan supaya perwakilan pekerja dan pihak lain di KWSP dipertingkatkan dan diperluaskan merangkumi tahap-tahap pengurusan yang lain. Ini termasuk di peringkat kajian sesuatu dasar baru dan juga Panel Pelaburan.

``Tetapi kalau dipecahkan kepada lain, selain lembaga dan bahagian bawah pun ada wakil pekerja untuk memantau keberkesanan pengurusan KWSP. Kini di peringkat atas sahaja,'' katanya.

Zulkifly tidak menolak situasi di mana organisasi-organisasi yang besar sememangnya akan berhadapan dengan masalah kelemahan sebegini.

Pernah dicadangkan supaya KWSP dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) digabungkan untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pekerja. ``Saya lihat jaminan pekerja, pekerja berada dalam satu jangka hayat bekerja dan satu lagi selepas bersara. Perkeso meliputi semasa seseorang bekerja dan KWSP selepas dia bekerja (bersara).

``Ini satu kombinasi, merupakan jaminan sosial yang paling baik. Tetapi penggabungan tidak dapat dilakukan. Kedua-dua ada dana yang besar. Kalau digabung, jaminan bertambah besar dan modal yang besar,'' katanya.

Kerajaan seharusnya melihat kemungkinan ini untuk memastikan keselamatan sosial semasa dan jangka panjang dipertingkatkan.

``Kalau dari segi jaminan, memang KSWP ke arah itu - bukan sahaja jaminan masa bersara, tetapi juga kesihatan. Ini juga terdapat dalam Perkeso,'' katanya.

Aspek konflik kepentingan juga seharusnya diambil kira apabila membincangkan mengenai pengurusan KWSP dan peranan wakil pekerja dalam badan berkanun itu. Cuma yang menimbulkan soalan ialah kepentingan di mana lembaga menjaga KWSP dan wakil pekerja mahu menjaga kepentingan pencarum. ``Pekerja mahu faedah terbaik, dividen paling tinggi, gaji besar tetapi majikan pula hendak keuntungan, ia hendak melindungi kadar upah.''

Wakil pekerja dalam KWSP mungkin tersepit antara kepentingan dua pihak ini. ``Ia juga ingin menjaga kepentingan KWSP dan pekerja (ahli-ahli kesatuan sekerja),'' katanya.

Dana yang diuruskan oleh KWSP bukannya satu jumlah kecil. KWSP terpaksa dan wajar menjaga keseluruhan pencarum. Tanggungjawabnya ialah menguruskan dana yang ada sebaik mungkin dan memastikan pulangan yang setimpal dengan masa depan persaraan pencarum. Kewajaran nisbah caruman dan pulangan harus diseimbangkan demi masa depan pencarum.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum