RENCANA

Utusan Malaysia 21 April 2001

Penciptaan semula peranan TV

Oleh: A. WAHAB HAMZAH
REALITI televisyen hari ini seakan-akan membenarkan apa yang pernah diucapkan oleh Marshall McLuhan seorang teoris media bahawa dunia elektronik yang saling bergantungan telah melahirkan semula dunia dalam imej perkampungan global.

Itu adalah kenyataan yang dibuat oleh McLuhan setahun sebelum Presiden Amerika John F. Kennedy ditembak, sebelum imej-imej perang Vietnam memenuhi ruang-ruang tamu rumah. Sebelum Amerika dan sebahagian besar dunia menyaksikan bencana Perang Teluk secara langsung di ruang-ruang tamu rumah atau di bilik tidur mereka pada tahun 1991.

Ruang rumah untuk keluarga telah bertukar menjadi perang ruang tamu. Apakah kotak bodoh, label yang pernah diberikan kepada televisyen dahulu, hari ini telah berubah wajah lalu menjadi pengancam sosial dan pengaruhnya menjadi begitu berbahaya kepada masyarakat?

Revolusi komputer, revolusi komunikasi, revolusi informasi dan kemajuan teknologi televisyen sudah tidak terbendung, semakin mencabar dan semakin terbuka. Ia adalah realiti yang harus dihadapi. Kesemua faktor ini menjadikan siaran televisyen tidak lagi boleh disaring oleh sempadan geografi. Televisyen adalah sebahagian daripada revolusi maklumat dan komunikasi. Ia bertanggungjawab sama melahirkan masyarakat berinformasi. Inilah budaya televisyen hari ini, yang akan berhadapan dengan realiti masyarakat yang mahukan pendemokrasian maklumat.

Tapisan dan peraturan yang menghalang sudah semakin hilang kesannya kerana jalur yang menyebarkan maklumat sudah tidak sahaja mengikut saluran biasa tetapi boleh sahaja melalui pelbagai saluran alternatif seperti yang dilakukan oleh televisyen Internet yang boleh sahaja diakses di mana penjuru dunia sekalipun. Pendemokrasian maklumat melahirkan pula pendemokratisian tatanilai. Inilah yang menjadikan televisyen sebahagian daripada arus globalisasi.

Televisyen harus diberi perhatian yang lebih serius. Ia menjadi begitu penting untuk dipermudahkan. Potensinya begitu besar, jangkauannya begitu meluas.

Hari ini teknologi televisyen kian berkembang pesat terutama setelah berkembangnya teknologi komputer yang telah membawa kepada revolusi baru gelombang maklumat dan telekomunikasi. Konsep televisyen sebagai medium multimedia, interaktif, atau televisyen yang berteknologi HDTV dan satelit mungkin akan dilihat sebagai satu istilah komunikasi dan teknologi sahaja kerana apa yang penting bukanlah medium tetapi pengisian dan mesej yang akan dibawakannya.

Ini juga yang sering diperkatakan tentang multimedia. Apa yang penting bagi multimedia bukanlah kecanggihan perkakasannya, tetapi apa yang ada dalam perisiannya. Begitu juga bagi sebuah televisyen, yang penting bukan kecanggihan teknologi peti televisyennya tetapi yang penting adalah rancangan yang disiarkan.

Konsep televisyen sebagai medium multimedia dan bersifat interaktif adalah konsep televisyen masa hadapan. Justeru, cabaran sebenar sesebuah stesen televisyen bukanlah teknologi televisyen yang begitu pantas berubah, tetapi adalah menghasilkan program yang dapat menarik perhatian penonton terhadap kekuatan kandungannya. Realiti televisyen hari ini adalah ia harus berusaha mengenal apa yang terbaik dan berani mencuba sesuatu yang baru dari cuba bertahan dengan formula lama untuk mempertahankan tahap penonton dahulu. Tetapi bagi stesen televisyen yang mementingkan bilangan penonton dan penajaan komersial percubaan menghasil program baru bukan satu tugas mudah.

Jika gagal dengan program baru, maka akan ada lebih tekanan untuk kembali kepada formula lama yang telah terbukti berjaya.

Televisyen hari ini dikatakan dipenuhi dengan program yang tidak mempunyai isi. Muzik televisyen (MTV) mungkin inovasi televisyen dekad 1980-an dalam menangani revolusi video dan gelombang hiburan. MTV bukan sahaja membawakan konsep baru televisyen era masa kini yang menekankan aspek maklumat dan hiburan, tetapi MTV membuktikan ada cara baru untuk televisyen berkomunikasi dengan audiens daripada hanya memberikan naratif dan maklumat langsung.

Bagaimanapun selepas inovasi estetika yang dipersembahkan oleh MTV audien TV mula mahukan sesuatu subjek yang diberikan pendekatan lain, yang dilihat dari sudut lain dan bentuk lain. Subjek dan pendekatan yang mampu membuka dimensi baru kepada penonton yang mahukan bukan sahaja maklumat tetapi juga hiburan. Kerana itu kegilaan penonton terhadap rancangan yang berbentuk realiti dapat difahami sebagai satu alternatif.

Lihat sahaja program Survivor yang sedang menjadi kegilaan baru penonton televisyen di seluruh dunia. Survivor mencabar tahap dan ukuran manusia menghadapi cabaran alam. Program ini berbentuk real dengan meletakkan emosi, pemikiran dan humanisme kembali menjadi isu utama.

Persaingan masa depan televisyen begitu sengit antara stesen dan juga persaingan untuk merebut penonton. Dalam konteks ini karisma program dan keyakinan penonton terhadap sesuatu pengendalian siaran televisyen turut memainkan peranan utama.

Hal ini lebih menjelaskan mengapa timbulnya krisis keyakinan penonton terhadap siaran televisyen di Malaysia akhir-akhir ini. Merosot dan timbulnya krisis keyakinan terhadap siaran televisyen di negara ini bertitik tolak dari persoalan keyakinan penonton dan jatuhnya karisma siaran televisyen. Usaha mengembalikan keyakinan penonton dan membina kembali karisme televisyen adalah tugas yang paling sukar dan rumit.

A. WAHAB HAMZAH ialah pengkritik filem.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum