RENCANA

Utusan Malaysia 22 April 2001

Kawalan keselamatan juga berbeza -- Banduan diasing ikut kategori

Oleh RAMLI ABDUL KARIM
MENGENDALIKAN banduan-banduan bukanlah suatu tanggungjawab mudah lebih-lebih lagi mereka yang menjalani hukuman di penjara mempunyai latar belakang peribadi dan jenis kesalahan berbeza.

Sebagai institusi yang berperanan menjalankan pemulihan moral untuk mengembalikan setiap pesalah ke pangkal jalan, pihak penjara juga berhadapan dengan tanggungjawab melindungi hak asasi banduan-banduan.

Selama ini, Jabatan Penjara Malaysia tidak begitu popular dan diberi tumpuan oleh orang ramai, kecuali di kalangan keluarga banduan-banduan atau mereka yang mempunyai kaitan tugas dengan jabatan dan banduan.

Bagaimanapun, beberapa tahun kebelakangan ini, imej dan perkhidmatan penjara semakin diberi perhatian terutama selepas isu penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi liputan meluas di dalam dan luar negara.

Salah satu isu yang dibincang dan diperkatakan umum pada masa ini ialah berhubung layanan yang berbeza-beza terhadap banduan di penjara dan kewajaran tindakan mengkelas-kelaskan mereka.

Istilah-istilah selain `pengasingan banduan' di penjara - misalnya banduan Perhatian Khas, banduan popular dan layanan berbeza mengikut kategori - memang begitu asing kepada orang awam termasuk penulis sendiri.

Bagi mengupas isu pengasingan banduan kepada kategori tertentu yang membezakan layanan dan perhatian terhadap mereka, Mingguan baru-baru ini diberi peluang melawat dan menyaksikan sendiri kemudahan, layanan dan kehidupan banduan-banduan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Dalam lawatan lebih dua jam yang kebanyakannya tertumpu di hospital penjara, penulis mula memahami kenapa pihak penjara mengambil sikap berhati-hati dalam urusan melibatkan banduan-banduan Perhatian Khas.

Selepas melalui enam pintu keselamatan, termasuk dua yang dikawal secara elektronik, penulis dan jurugambar yang diiringi beberapa pegawai kanan sampai di dalam bangunan hospital penjara.

Antara pegawai yang bersama kami ialah Penguasa Bahagian Perhubungan Awam Penjara, Jamil Razif Kassim dan Timbalan Pengarah Penjara Sungai Buloh, Penguasa Abdul Wahab Kassim.

Sejurus tiba, kami melihat 28 surat arahan dan surat pekeliling daripada pengurusan penjara di papan notis hospital itu yang mengandungi tatacara penjagaan banduan-banduan Perhatian Khas di hospital itu termasuklah dari segi kemudahan penginapan, makanan dan pakaian.

Kebanyakan surat arahan itu, termasuk satu surat berwarna kuning yang dicetak besar adalah berkaitan pengawasan ke atas Anwar Ibrahim iaitu salah seorang banduan di bawah kategori Perhatian Khas.

Abdul Wahab menjelaskan, sebahagian surat arahan itu memang dikeluarkan sebagai tindakan berhati-hati dan langkah susulan ekoran tercetusnya beberapa isu kontroversi membabitkan banduan-banduan Perhatian Khas.

Ini termasuk adanya dakwaan sebelum ini bahawa banduan Perhatian Khas disuntik virus HIV dan mengalami keracunan arsenik.

Beberapa meter dari papan notis di tingkat bawah hospital penjara itu ialah bilik wad seluas lebih enam meter lebar dan lapan meter panjang (21 x 29 kaki) yang menempatkan Anwar sebelum beliau dirujuk untuk rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mulai 26 November lalu.

Bilik wad tersebut dan bilik-bilik lain seumpamanya cuma dikhususkan kepada banduan Perhatian Khas tertentu yang memerlukan perhatian lebih rapi dari aspek kesihatan dan keselamatan.

Dari dinding luar bilik yang turut dipasang besi jeriji, kelihatan di dalamnya sebuah katil dan tilam bujang di samping meja tulis dan kerusi plastik, kabinet laci, rak buku yang dipasang di dinding, pili air dan satu tempat membuang air kecil.

Selepas pintu keselamatan bilik itu dibuka, penulis dibenarkan melihat sendiri secara lebih dekat keadaan dan kemudahan di bilik itu yang telah ditinggalkan selama 136 hari.

Di situ penulis kemudian terlihat di siling berdekatan katil terdapat sebuah kipas. Di sudut dinding kirinya terdapat pula dua lubang tandas, satu daripadanya dilindungi dinding pembahagi boleh alih.

Set kelengkapan tidur yang terdapat ketika itu termasuk kain cadar, selimut dan dua biji bantal.

Penulis juga sempat menjenguk koleksi buku-buku di bilik wad itu termasuklah naskhah paling menarik perhatian iaitu memoir bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew berjudul From Third World to First.

Turut melepasi penapisan pihak penjara ialah 15 jilid tafsir al-Quran selain buku-buku antaranya berjudul The Globe Illustrated Shakespeare, World Politics Since 1945, Collected Poem 1945 - 1990 dan tafsir al-Quran tulisan Asy-Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah.

Penyelia Hospital Penjara Sungai Buloh, Pembantu Perubatan Kanan Nik Mohd. Kamil Salleh yang turut mengiringi penulis memberitahu, dari segi pemakanan, pihaknya memang mengikut jadual pemakanan yang ditetapkan di bawah peraturan penjara.

``Walaupun kebanyakan pesakit di hospital ini adalah banduan Perhatian Khas, namun pemakanan mereka sama seperti menu yang disediakan kepada banduan-banduan lain.

``Tetapi pada masa yang sama, jika pakar perubatan mengesyorkan diet atau menu di luar jadual pemakanan penjara, kita akan patuh,'' ujarnya.

Menurut Nik Mohd. Kamil, beliau sendiri berbincang dan bertanyakan mengenai keadaan atau tahap kesihatan banduan-banduan Perhatian Khas pada setiap hari.

Selesai di bilik Anwar, kami ke tingkat satu hospital itu untuk melihat satu wad lebih besar yang menempatkan 25 katil pesakit.

Pada masa itu, terdapat 15 pesakit terdiri daripada tahanan yang sedang dibicara atau banduan yang telah dihukum atas pelbagai kesalahan termasuk kes bunuh, rogol dan rompak.

Selain perbandingan keluasan dan jumlah banduan, tidak banyak bezanya kemudahan yang disediakan di wad tersebut dengan apa yang terdapat di `wad peribadi' banduan Perhatian Khas yang lain seperti Anwar.

Mereka juga diberi katil dan tilam serta keperluan tidur dan kabinet laci persendirian tetapi bezanya berkongsi kemudahan tandas, rak buku, meja tulis dan kerusi.

Di bilik ini juga ditempatkan televisyen untuk tontonan semua pesakit.

Abdul Wahab memberitahu, bagaimanapun terdapat bilik `wad peribadi' banduan Perhatian Khas yang tidak disediakan televisyen atas permintaan mereka sendiri termasuk Anwar.

Menurut beliau, pelbagai kelonggaran ataupun peningkatan tahap keselamatan memang diberi kepada banduan-banduan Perhatian Khas tertentu.

``Sebagai contoh, pada masa ini sebuah kenderaan pacuan empat roda khas disediakan khusus untuk menghantar dan membawa pulang Datuk Seri Anwar dari sebarang urusan di luar penjara,'' jelasnya.

Kata Abdul Wahab, kenderaan tersebut tidak dibenarkan keluar dari kawasan penjara bagi kegunaan lain kecuali setelah mendapat kebenaran daripada Pengarah Penjara.

``Langkah ini bertujuan memastikan keselamatan banduan Perhatian Khas berkenaan ketika menaiki kenderaan itu adalah terjamin,'' katanya.

Menurutnya lagi, setiap kelonggaran dan perhatian lebih yang diberi kepada banduan-banduan Perhatian Khas adalah mematuhi Akta Penjara 1995, Peraturan Penjara 2000 dan Perintah Tetap Ketua Pengarah Penjara.

Sepanjang lawatan ke bilik wad banduan Perhatian Khas termasuk yang dihuni oleh Anwar, penulis dan pembaca tentu jelas tentang kedudukan kuasa Jabatan Penjara yang mempunyai alasan bertindak memberi sedikit kelonggaran kepada mereka.

Pada masa sama, pihak penjara juga tiada pilihan selain memberi penjagaan dan `kawalan keselamatan luar biasa' kepada banduan Perhatian Khas tertentu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum