RENCANA

Utusan Malaysia 24 April 2001

Peristiwa penculikan di Pulau Sipadan genap setahun

Oleh Kamaruzaman Mohamad
HARI ini genaplah setahun peristiwa penculikan 21 tebusan termasuk sembilan rakyat negara ini oleh kumpulan bersenjata Abu Sayyaf di Pulau Sipadan, dekat Semporna, Sabah.

Peristiwa itu benar-benar meninggalkan titik hitam kepada para tebusan dan pihak keselamatan kerana ia bukan sahaja meletakkan nyawa mereka dalam bahaya tetapi imej pertahanan negara keseluruhannya.

Bagaimanapun selepas hampir lima bulan mereka ditahan di Pulau Jolo, selatan Filipina, tebusan-tebusan tersebut akhirnya dibebaskan tanpa mengorbankan seorang nyawa pun. Syabas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang telah memainkan peranan penting dengan menghantar pasukan perunding yang diketuai oleh bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Abdul Aziz Samsuddin.

Hanya kini tinggal seorang sahaja tebusan, Roland Ullah - rakyat Filipina yang masih menjadi tebusan.

Ullah yang berkahwin dengan rakyat Sabah kini dikatakan menjadi tukang masak kepada kumpulan penculik tersebut.

Dr. Mahathir juga dengan tegas mengeluarkan kenyataannya bahawa Malaysia tidak akan tunduk kepada sebarang tuntutan Abu Sayyaf sama ada dari segi wang tebusan atau penubuhan Suruhanjaya Sabah seperti yang diminta oleh ketua penculik tersebut Ghalib Andang atau lebih dikenali sebagai Komander Robot.

Apa yang diperlukan oleh Malaysia ialah satu perundingan antara kedua-dua pihak kerana penculikan itu sememangnya menyalahi undang-undang negara ini dan juga Filipina.

Bagi Malaysia, para penculik itu tidak ada hak ke atas negara ini kerana mereka sebenarnya adalah penjenayah antarabangsa. Dan dengan itu permintaan mereka agar Malaysia menubuhkan Suruhanjaya Sabah itu ditolak sama sekali.

Ini kerana bagi Malaysia, segala tuduhan Abu Sayyaf bahawa orang Islam Filipina di Sabah diberikan layanan buruk adalah meleset sama sekali. Bahkan Dr. Mahathir pernah menegaskan bahawa kebajikan rakyat Filipina itu tidak pernah diabaikan oleh kerajaan.

Dr. Mahathir pernah berkata, hospital-hospital dan sekolah di Sabah, penuh dengan rakyat Filipina.

Jadi gambaran yang diperoleh oleh Komander Robot itu adalah silap sama sekali atau beliau sengaja menimbulkan kekeliruan.

Dalam pertemuan eksklusif antara penulis dengan Komander Robot di kem persembunyian kumpulan itu di Pulau Jolo pada 24 Mei tahun lalu juga jelas menunjukkan Robot tidak berpuas hati dengan layanan kerajaan negara ini terhadap orang Islam Filipina di Sabah.

Beliau juga menuduh kerajaan bertindak kasar kerana menghantar pulang mereka walhal beliau tidak menyedari hampir 500,000 orang Islam Filipina kini sedang mencari nafkah di negeri bawah bayu itu.

Bagaimanapun langkah perundingan yang dianjurkan oleh kerajaan itu telah membolehkan segala kekusutan antara Abu Sayyaf dengan Malaysia dapat diuraikan dan hasilnya mereka bersetuju membebaskan seorang demi seorang tebusan dengan selamatnya.

Tebusan pertama yang dibebaskan iaitu Zulkarnain Hashim dan pembebasannya itu sekali gus memberikan harapan cerah bahawa tebusan-tebusan lain akan turut dibebaskan.

Zulkarnain dibebaskan selepas 61 hari diculik oleh kumpulan bersenjata itu kerana Abu Sayyaf menyifatkannya sebagai seorang yang rajin beribadah. Walau apapun alasan yang diberikan oleh kumpulan itu, yang pentingnya pembebasan tebusan tersebut.

Setelah beberapa siri rundingan yang diketuai oleh bekas penasihat kepada bekas Presiden Estrada, Roberto Aventajado maka seorang demi seorang tebusan dibebaskan sehinggalah pembebasan tiga tebusan terakhir iaitu Ken Fong Yin Ken, Lee Hock Leong dan Vincent Kwong.

Tebusan-tebusan lain ialah Sonia Wendling (Perancis), Stephen Loisy (Perancis), Marc Wallet (Jerman), Werner Guntercort (Jerman), Carel Strydom (Afrika Selatan), Monique Strydom (Afrika Selatan), Marie Michel (Lebanon), Johan Franti Seppo (Finland), Mirco Jahanen Rista (Finland) dan Laurencia Dablo (Filipina).

Antara sembilan tebusan Malaysia ialah Francis Masangkim, Balakrishnan Nair, Kua Yu Loong, Vincent Kwing, Abdul Jawah Salawat.

Walaupun Abu Sayyaf membebaskan 20 daripada 21 tebusan tetapi ia masih tidak serik dengan kegiatan jenayahnya dengan melakukan penculikan kedua di Pulau Pandanan juga di Sabah pada 10 September, 2000.

Kali ini tiga tebusan iaitu Mohd. Noh Sulaiman Abdullah, Joe Joseph Ongkinoh dan Kan Wei Chong telah dilarikan dengan sebuah bot laju terus ke Jolo.

Dengan penculikan kedua itu menyebabkan Tentera Filipina melancarkan serangan bertalu-talu sehingga menyebabkan pemimpin tertinggi mereka, Komander Radullan Sahiron terkorban. Akibat serangan itu, kumpulan penculik tersebut terpaksa membebaskan ketiga-tiga tebusan mereka di suatu kawasan di pulau tersebut.

Dalam pada itu, para pegawai tentera Filipina berkata, masalah Abu Sayyaf tidak akan selesai selagi `budaya senjata api' sejak turun-temurun itu tidak dihapuskan.

``Abu Sayyaf cumalah satu nama, jika mereka dihapuskan, ada nama lain yang akan menggantikan mereka kerana terlalu banyak senjata dan penjenayah di Jolo,'' kata seorang pemimpin militia tentera, Ernesto Pacuno atau dikenali sebagai Komander Naga.

Beliau menambah pihak tentera tidak akan dapat menghapuskan kumpulan Abu Sayyaf itu kerana mereka mahir selok-belok pulau tersebut dan mereka juga dilindungi oleh para penduduk.

Komander Naga yang juga bekas kolonel polis yang pernah berkhidmat di Jolo berkata dengan peluang pekerjaan amat sukar diperoleh di samping senjata api pula mudah diperoleh, golongan muda lebih cenderung untuk menyertai Abu Sayyaf kerana imejnya sebagai Robin Hood moden yang dianggap wira masyarakat miskin.

Dalam pada itu, salah seorang pemimpin Abu Sayyaf, Abu Sabaya pula mengumumkan bahawa kumpulannya memperoleh senjata-senjata api baru. ``Sepuluh askar kerajaan tidak akan berupaya menandingi walau seorang anggota kami sekalipun yang menggunakan senjata itu,'' kata Abu Sabaya tanpa menjelaskan jenis senjata itu ketika memberita sebuah stesen radio Filipina minggu lalu.

Dengan perkembangan terbaru itu menunjukkan pasukan keselamatan yang kini ditempatkan di Sabah tidak boleh diundurkan bahkan perlu ditambah kekuatannya agar pisang tidak berbuah dua kali.

Bagaimanapun, kemampuan anggota keselamatan negara tidak perlu dipertikaikan kerana mereka turut dilengkapi dengan senjata canggih dan moden.

Lantaran itu usaha menarik pelancong ke negara ini khasnya Sabah perlu diteruskan demi menjamin masa depan negara yang lebih gemilang. Ini kerana, Sabah yang mempunyai banyak pulau itu sentiasa menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum