RENCANA

Utusan Malaysia 25 April 2001

RMK-8 perlu budaya baru

Oleh:SAIFUDDIN ABDULLAH
BAB 21 di dalam buku Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat pada 23 April 2001 ialah mengenai belia dan pembangunan. Ini adalah kali kedua belia diberikan bab yang khusus dalam buku rancangan lima tahun kerajaan. Kali pertama ialah dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7). Sebelum itu, belia dimasukkan di bawah bab mengenai pembangunan dan perkhidmatan sosial.

Hakikat bahawa Malaysia telah mempunyai Dasar Belia Negara sejak 1985, tetapi bab khusus mengenai belia hanya muncul pada tahun 1996, iaitu tahun permulaan RMK-7, ini agak menarik.

Namun, walaupun terdapat bab yang khusus tentang belia, ini tidak bermakna buku RMK-8 yang mengandungi 23 bab dan setebal 700 halaman itu hanya menyentuh persoalan pembangunan belia dalam bab itu sahaja.

Sedangkan, perkataan belia terdapat juga dalam halaman-halaman lain di luar bab tersebut. Terutamanya Bab 1 yang membicarakan matlamat dan dasar RMK-8, iaitu di bawah strategi peningkatan pembangunan sumber manusia dan strategi pengukuhan nilai moral dan etika.

Dari segi yang lain, malahan lebih fundamental lagi, persoalan pembangunan belia tidak semestinya menggunakan perkataan belia atau hanya apabila melibatkan kementerian atau organisasi yang mempunyai label belia sahaja. Pembangunan belia adalah amat luas dan kompleks.

Seluas dan sekompleks proses pengembangan belia itu sendiri. Kerana itu, persoalan pembangunan belia tidak hanya terhad dalam sesebuah kementerian atau organisasi sahaja. Sebaliknya, ia adalah juga agenda semua kementerian dan organisasi. Agenda bersama.

Secara keseluruhannya, RMK-8 adalah perancangan pembangunan negara yang komprehensif, bersepadu dan berimbang, serta praktikal dan boleh diusahakan. Manakala sebagai fasa pertama kepada pelaksanaan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) dan Dasar Wawasan Negara (DWN), RMK-8 mengandungi strategi-strategi konkrit bagi memastikan transformasi Malaysia ke arah k-ekonomi yang merupakan asas utama dalam meningkatkan keutuhan dan daya saing negara.

Berdasarkan rekod pencapaian perancangan-perancangan lima tahun kerajaan pada masa lalu, khususnya dalam RMK-7, iaitu meskipun berhadapan dengan kegawatan ekonomi yang dipaksakan itu, RMK-8 punya kemampuan menjadi pemangkin kepada pembangunan mapan yang mendatangkan manfaat yang meluas kepada setiap rakyat.

Rakyat, terutamanya belia, perlu mengalu-alukan penekanan dan peruntukan besar bagi pembangunan belia melalui strategi-strategi pembangunan sumber manusia, iaitu salah satu daripada teras pembangunan RMK-8. Ini amat penting kerana pembangunan belia yang bersepadu perlu berlandaskan pembangunan sumber manusia yang komprehensif. Ini kerana belia adalah penggerak utama pembangunan negara, terutamanya melalui sumbangan mereka sebagai sumber manusia di pelbagai peringkat dan dalam pelbagai sektor.

Dalam konteks ini, penekanan RMK-8 untuk meningkatkan kapasiti pendidikan dan latihan untuk melahirkan sumber manusia yang memiliki kemahiran dan kepakaran tinggi, termasuk kemahiran berfikir, adalah bertepatan dengan keperluan K-ekonomi negara.

Pelaburan yang lebih besar ditumpukan kepada pembangunan sumber manusia bagi meningkatkan kandungan ilmu dalam pendidikan dan latihan untuk memastikan pertumbuhan dan daya tahan ekonomi serta menjamin pencapaian status negara maju pada tahun 2020.

Dalam hubungan ini, tujuh daripada 10 teras dasar pembangunan sumber manusia yang digariskan RMK-8, ialah: menambah penawaran tenaga manusia berilmu dan berkemahiran tinggi; menambah peluang pendidikan dan latihan berkualiti; meningkatkan kualiti sistem penyampaian pendidikan dan latihan; menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat; meningkatkan penawaran tenaga manusia sains dan teknologi; membangun dan mempromosikan Malaysia sebagai pusat pendidikan serantau yang cemerlang; dan, memperkukuhkan nilai-nilai positif.

RMK-8 juga menitikberatkan peningkatan latihan kemahiran, termasuk di peringkat paling tinggi. Antaranya, institusi latihan awam dijangka mengeluarkan 42,057 orang pekerja mahir pada akhir tempoh RMK-8.

Ini adalah peningkatan yang besar jika dibandingkan dengan 25,761 orang pekerja mahir yang dilahirkan pada akhir tempoh RMK-7. Manakala sejumlah 15 institut latihan kemahiran, termasuk dua institut latihan kemahiran peringkat tinggi, di bawah Kementerian Sumber Manusia dijangka beroperasi dengan seramai 12,400 orang pelatih.

Di samping perancangan sistem pendidikan dan latihan, satu perkembangan baru yang meyakinkan aspek latihan kemahiran ialah dari segi penyaluran pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (TPTN). Kini, pinjaman tabung ini diperluaskan untuk termasuk pelajar di institusi latihan kemahiran.

Sehubungan itu, diharapkan seruan RMK-8 agar pihak swasta terus memainkan peranan dalam bidang pendidikan dan latihan akan diterima baik. Ini amat penting kerana skema latihan vokasional negara masih terlalu berorientasi institusi, iaitu pelajar menggunakan kebanyakan masanya di institusi latihan.

Ini perlu diubah kepada skema yang lebih berorientasi industri, iaitu pelajar menggunakan masa yang seimbang di institusi latihan dan di industri. Skema baru ini lebih berasaskan konsep perantisan, iaitu seperti yang diamalkan di Jepun dan Jerman.

Masalahnya, skema baru ini akan melibatkan perbelanjaan yang amat besar. Kerajaan tidak akan mampu melaksanakannya secara bersendirian. Ia memerlukan peranan swasta yang lebih besar. Tetapi, pihak swasta lazimnya perlu diberikan insentif yang sewajarnya.

Menurut bab khusus mengenai belia, jumlah belia yang berumur 15-24 tahun dijangka bertambah sebanyak 2.6 peratus setahun daripada 4.37 juta pada tahun 2000 kepada 4.98 juta pada tahun 2005. Peratus penambahan setahun ini adalah lebih besar daripada angka 2.3 peratus bagi tempoh RMK-7. Tetapi, dari segi peratus daripada jumlah penduduk keseluruhan, peratus pada tahun 2005, iaitu 19.1 peratus, adalah lebih besar daripada tahun 2000, iaitu 18.8 peratus.

Dari segi tajuk program, tidak ada perbezaan di antara RMK-7 dan RMK-8. Kedua-duanya menyenaraikan tujuh tajuk, iaitu: latihan kepimpinan, latihan kemahiran, pembangunan keusahawanan, program gaya hidup sihat, program sukan, program kebudayaan, dan program-program lain.

Manakala dari segi unjuran, misalnya berapakah jumlah belia yang bakal terlibat, nampaknya tidak dinyatakan dengan jelas bagi setiap tajuk. Ini berbeza dengan penilaian jumlah belia yang terlibat dalam tempoh RMK-7 yang dinyatakan dengan begitu jelas. Kerana itu, Majlis Perundingan Belia Negara yang akan bersidang pada 9-10 Mei ini perlu melihat perkara ini dengan serius. Sekurang-kurangnya untuk memastikan bahawa walaupun tajuk programnya sama, tetapi pendekatan, pengisian, pelaksanaan dan keberkesanannya adalah lebih baik.

Salah satu program utama pembangunan belia di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam RMK-7 ialah Rakan Muda. Di samping itu, ialah pelbagai jenis program yang dianjurkan melalui persatuan-persatuan belia. Satu peruntukan yang besar telah disediakan untuk kedua-duanya. Tetapi, akibat kegawatan ekonomi, sebahagian peruntukan tersebut telah dipotong.

Dalam tempoh RMK-8, dua perkara diharapkan akan berlaku. Pertama, Rakan Muda dapat dilancarkan semula dengan beberapa pendekatan dan aktiviti baru. Juga imej baru. Manakala pembinaan 19 buah Pusat Rakan Muda yang diluluskan dalam RMK-7 tetapi 11 daripadanya kini masih di peringkat pembinaan itu dapat disiapkan dalam tahun pertama dan kedua RMK-8.

Dan kedua, peruntukan kepada persatuan-persatuan belia dapat ditingkatkan, selaras dengan konsep hak upaya belia (youth empowerment) dan pengiktirafan terhadap peranan belia sebagai rakan pembangunan.

Perlu disedari bahawa kerajaan tidak mungkin dapat melaksanakan dasar dan program-program pembangunan belia secara sendiri. Persatuan-persatuan belia perlu diberikan hak upaya dan diiktiraf, dengan sepenuh dan setulennya, sebagai rakan pembangunan untuk merancang, melaksana, memantau dan menilai program-program pembangunan belia, di semua bidang dan di setiap peringkat.

Ini memerlukan anjakan dari segi kerangka pemikiran dan budaya, iaitu daripada pemikiran dan budaya bekerja untuk belia kepada pemikiran dan budaya bekerja bersama belia. Barulah sesuai dengan belia diberikan bab yang khusus. Kalau tidak, serupa tanpa bab yang khusus. Sebabnya, persatuan-persatuan belia masih dilihat melalui kerangka pemikiran dan budaya RMK-6!

* SAIFUDDIN ABDULLAH ialah Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum