RENCANA

Utusan Malaysia 25 April 2001

Gelagat Dr. Tan dan Hassan Ali di Parlimen

SAYA berada di Parlimen pada Isnin lalu dan sempat menjenguk di Dewan Rakyat. Ketika itu ahli Parlimen (MP) Kepong, Dr. Tan Seng Giaw sedang berucap. Seperti biasa Dr. Tan pandai mencuri masa memanjangkan ucapan. Caranya, apabila beliau sudah kekurangan apa yang hendak beliau katakan, beliau selalunya mencuit seorang dua MP parti kerajaan lalu MP yang kena cuit terus bangun berhujah dengannya. Beliau pun duduk beberapa minit.

Apabila beliau bangun semula untuk menyambung ucapan, sering beliau kelihatan ada butir-butir baharu yang datang ke kepalanya. Berlainan dengan Lim Kit Siang, Dr. Tan tidak kasar dalam kata-katanya, walaupun perkara yang beliau sebutkan perit didengar oleh pihak kerajaan. Ini mungkin kerana perwatakan diri. Mungkin juga kerana beliau membesar di Kelantan, beliau terikut-ikut orang kampung bertegur sapa.

Penggunaan bahasa Melayunya mengatasi semua MP dari DAP dan hanya disaingi oleh mendiang Patto, bekas MP parti itu dari Ipoh. Begitu lama Dr. Tan cuba mengguna sebutan bukan Kelantan, beliau tidak dapat lari daripada menyebut `tadi' umpamanya dengan sebutan `takdi', `mana' menjadi `mano'. Semuanya tidak salah langsung. Ia hanya mencerminkan betapa penghayatannya dalam suasana kehidupan Melayu di zaman pertumbuhannya.

Bagaimanapun, saya amat terkejut apabila Dr. Hassan Ali, MP dari Parit Buntar, bangun mencelah. Sambil beliau mencemuh RTM kerana bersikap negatif terhadapnya, beliau menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menghina agama Islam ketika berucap membentangkan Rancangan Malaysia Ke-8.

Kelancaran beliau bercakap terbukti sekali, mengingatkan saya kepada kuliah subuhnya dalam kem tatanegara di Langkawi 13 tahun dahulu. Ketika itu beliau bertugas sebagai Timbalan Pengarah Unit Tatanegara. Mula-mula saya mendengar kuliahnya, saya menyangka tentunya tidak lain dan tidak bukan Anwar Ibrahim. Tekanan dan bunyi suara serta pemilihan kata-kata sangat-sangat menyerupai Anwar. Hanya kemudiannya apabila kami pergi ke surau untuk solat subuh, barulah saya tahu siapa sebenarnya.

Sepuluh tahun berlalu, iaitu tiga tahun dahulu, saya berkesempatan sekali lagi mendengar kelancaran tutur katanya di sebuah kem di dalam hutan Hulu Langat. Kali ini saya pergi ke situ kerana hendak mengambil anak perempuan bongsu saya setelah tamat mengikuti kursus menguatkan semangat. Inilah juga buat pertama kali saya dapat menghayati bentuk dan ragam kem yang disediakan oleh Hassan Ali dalam perniagaan motivasinya. Antara aspek motivasinya ialah idealisme kehidupan suami isteri dan peneguhan semangat budak-budak, malah bagaimana hendak menjadi pelajar cemerlang.

Tidak sia-sialah beliau berbelanja begitu banyak mengiklankan dirinya dan perniagaannya di muka akhbar. ``Bisnes Hassan ini besar untungnya,'' kata seorang yang duduk di sebelah saya setelah melihat Mercedez-Benz 300SE kepunyaan Hassan terletak di ruang masuk kem itu.

Sebenarnya apa yang terlintas di kepala saya apabila melihat kem tersebut ialah sebuah kem di Guyana di pantai utara Amerika Selatan. Ia dipanggil Jonestown. Dalam tahun 1978, seorang yang mengaku dirinya padri bernama Jim Jones, berjaya membawa lebih 900 orang pengikut dari Amerika Syarikat, kebanyakannya berkulit hitam dan berkampung di situ.

Keanehan kehidupan mereka menjadi sasaran perhatian, lalu seorang senator AS dengan beberapa orang pegawai datang berkunjung. Mereka ditembak mati oleh pengikut Jones apabila hendak pulang menaiki kapal terbang.

Maka dalam suasana takut dan gemuruh kemudiannya, Jones memotivasikan pengikutnya untuk menghadapi hidup yang berbahagia dalam dunia selepas dunia ini sepertimana yang dijanjikan kepada beliau oleh tuhan bayangannya. Mereka langsung menjalani latihan meminum racun cyanide secara disiplin beratur seorang demi seorang. Apabila latihan terbukti berkesan, tibalah ketikanya mereka betul-betul meminum racun itu. Seorang demi seorang berbaring di tanah dalam kawasan kem itu. Matilah mereka. Lebih 900 mayat bergelimpangan. Adegan terakhir ialah Jones sendiri menembak kepalanya.

Saya tidak bermaksud yang Hassan ada niat begitu. Jauh sekali. Yang dimaksudkan ialah kata hikmat `motivasi' boleh membawa kepada segala kemungkinan. Kalau politik diertikan seni serba mungkin, motivasi boleh juga diertikan sains serba ragam tertakluk pada orang yang menggunakannya. Dalam hal Hassan, ragamnya menguntungkan.

Menuduh seseorang menghina Islam bukanlah suatu tuduhan yang ringan, lebih-lebih lagi terhadap seorang Islam yang lain. Ia mungkin setaraf dengan tindakan mengkafirkan seseorang Muslim. Saya yakin seorang penghujah yang lancar seperti beliau tentunya dapat mencungkilkan premis tuduhan itu diikuti dengan wajaran atau rasional yang boleh tiba kepada kesimpulan bahawa yang dituduh itu sebenar-benarnya penghina agama Islam. Sebaliknya, adalah tidak diterima oleh akal bahawa seorang seperti Dr. Mahathir sanggup menghina Islam.

Ketika bersimpati dengan UMNO dalam era Anwar Ibrahim dahulu, Hassan selalu disebutkan sebagai seorang apologis Dr. Mahathir. Untuk itu penggunaan premis pendapatnya terbukti kental seperti kentalnya sokongan beliau kepada Anwar. Melihat segalanya ini bertukar 360 darjah setelah mentornya tiada lagi dalam UMNO adalah sesuatu yang mencabar minda kita.

Di sinilah timbulnya persoalan sama ada yang disokong dahulu itu berbentuk pendirian ataupun kepentingan. Dalam mencelah ucapan Dr. Tan, soal Dr. Mahathir menghina Islam ditanyai oleh Hassan kepada Dr. Tan. Bayangkan begitu susah untuk Dr. Tan menjawab. Mahu tidak mahu Dr. Tan membawa cerita lain, dengan mencuit seorang penyokong kerajaan yang cuba bangun berhujah dengannya. Sejak saya bersamanya di Dewan Rakyat 15 tahun dahulu, saya tidak pernah mendengar Dr. Tan tersasul atau sengaja menyebut sesuatu yang menghina Islam.

Apa yang diperhatikan kini ialah kurangnya jumlah MP dalam parti kerajaan yang lantang sebagai pematah cakap. Untuk itu saya didatangi perasaan kehilangan orang-orang seperti Shahidan Kassim, Rahman Bakar, Othman Abdul, Zubir Embong malah Ibrahim Ali.

Melihat dari tempat duduk saya di petak ahli pentadbiran, saya begitu tertarik dengan aktiviti bangun duduk mereka mematah hujah Lim Kit Siang, Karpal Singh, Lim Guan Eng, Allahyarham Pak Nik dari Pengkalan Chepa, mendiang Patto serta Shahrir Samad, Zainal Abidin Zin, Rais Yatim dan Radzi Sheikh Ahmad ketika bertindak sebagai pembangkang suatu ketika dahulu.

Melihat keadaan ini, ada pihak yang berpendapat bahawa parti kerajaan elok memilih barisan calon MP-nya dalam pilihan raya akan datang terdiri daripada mereka yang berkaliber untuk menjadi ahli pentadbiran, di satu pihak, dan mereka yang lantang berdebat untuk melawan kelantangan pembangkang, di pihak lain. Kemungkinan bergolaknya Dewan adalah satu prospek yang baik kerana keadaan begini menghidupkan suasana dan boleh dijadikan tajuk berita yang panas.

Justeru ia akan menarik minat dan boleh menjaminkan penuhnya galeri pelawat dan pemerhati, selaras dengan hakikat penyertaan rakyat di situ. Lainlah kalau parti kerajaan yakin akan memenangi semula 90 peratus kerusi!

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum