RENCANA

Utusan Malaysia 25 April 2001

Peluang terakhir bagi bumiputera

PERDANA Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad kelmarin telah membentangkan Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) di Parlimen, suatu pelan pembangunan yang menyeluruh dan satu matlamat yang seimbang.

RMK-8 yang tebalnya 659 muka surat (edisi bahasa Inggeris) itu menekankan pendidikan, memajukan pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan juga pada pendapat penulis, pembasmian kemiskinan semua bangsa.

Tegas Dr. Mahathir, pendekatan RMK-8 bagi lima tahun akan datang berasaskan kepada strategi ilmu pengetahuan kerana ilmu itu kuasa terpenting.

Tanpa ilmu, potensi pertumbuhan bangsa, negara dan agama kita terhad. Kita mahu mempertingkatkan lagi kestabilan sosioekonomi menerusi produktiviti negara melalui pengagihan pendapatan, peluang dan kekayaan secara lebih adil.

Semua rakyat akan diberi peluang dan kesempatan yang sama dalam semua bidang (kecuali yang ditentukan oleh Perlembagaan) bagi meningkatkan kualiti hidup, penyertaan ekonomi, pentadbiran dan ilmu berasaskan k-ekonomi.

Penulis amat bangga dengan ketegasan Dr. Mahathir mahu melahirkan satu negara yang lebih maju, makmur, bersatu padu, tenteram, telus dan satu bangsa Malaysia yang bahagia, adil dan produktif.

Bagi kaum bumiputera, ini adalah peluang terakhir, kalau kita gagal menguasai ilmu dan matlamat kita semasa RMK-8 berlangsung, adalah amat sukar kita dapat mengejar kemajuan dan tamadun ICT.

Kalau kita tertinggal kali ini, kita tidak lagi dapat mengulangi peluang yang sama pada masa kemuka berasaskan orientasi, tuju hala dan arus perkembangan politik tanah air.

Kuasa dan masa depan kita, bahkan negara pun terletak kepada ilmu yang dapat ditimba di sekolah dan di universiti.

Zaman penjajahan dahulu ibu bapa berebut-rebut mahu anak belajar di sekolah Inggeris; sekolah Cina, Melayu dan Arab adalah pilihan kedua, bahkan dalam satu situasi tertentu pilihan ketiga. Bukan kerana ibu bapa sukakan bahasa Inggeris tetapi kerana kualiti pendidikan dan masa depan yang terjamin.

Selepas merdeka, ramai termasuk bukan Melayu menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan tetapi kenapa sekarang orang Melayu pula (lebih 70,000 anak Melayu) sekarang belajar di sekolah Cina?

Penulis terima banyak e-mel tentang ini pagi kelmarin. Seorang pengirim Melayu, YI dari Subang Jaya menulis dalam bahasa Inggeris yang bermaksud kualiti pendidikan di sekolah Cina lebih cemerlang dan tinggi.

Seorang pengawas peperiksaan mendapati jawapan pelajar keturunan Cina berbanding dengan Melayu dan India luas perbezaannya.

Sebab inilah, ramai ibu bapa Melayu menghantar (dan jumlahnya akan meningkat) ke sekolah Cina: gurunya berdisiplin, dedikasi, meletakkan ilmu (bukan politik) sebagai yang terpenting dan mereka benar-benar guru.

Penulis amat bersetuju. Ramai saudara-mara penulis menghantar anak mereka ke sekolah Cina. Sekali gus mereka belajar tiga bahasa Melayu, Mandarin dan Inggeris, dan pendidikan berkualiti dalam ilmu matematik, sains dan ICT di samping etika bekerja kelas satu dan agama turut dijunjung.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum