RENCANA

Utusan Malaysia 25 April 2001

Sudah terhantuk, baru tengadah

BARU-baru ini, kita dikejutkan dengan satu tragedi yang menyayat hati, iaitu kemalangan yang membabitkan peserta Amanah Ikhtiar Malaysia ( AIM ) Kelantan, yang meragut 13 nyawa dan mencederakan 42 yang lain.

Tragedi ini berlaku di Batu 7, Jalan Pengkalan Hulu Baling iaitu jalan utama yang menghubungkan negeri Kelantan dan negeri Perak.

Apa yang menarik ingin saya perkatakan ialah, sudah enam kali berlaku kemalangan maut seperti ini di tempat yang sama.

Apabila berlakunya tragedi seperti ini, apa yang saya perhatikan ialah semua pihak termasuklah syarikat bas, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seolah-olah masing-masing menuding jari menyalahkan pihak lain dan sekali gus mengambil jalan mudah untuk `lepas tangan' dalam kes yang sebesar ini.

Pada saya, dalam apa jua perancangan dan pengurusan, yang hendak kita `bertekak' siapa salah dan siapa tidak bersalah sepatutnya dibuat sebelum sesuatu perancangan itu dilaksanakan.

Suatu analogi, sebuah bangunan yang runtuh, tidak perlu lagi pihak-pihak tertentu mengkaji sama ada kualiti atau kuantiti simennya, batu-batan, pasak dan lain-lain yang berkaitan sesuai atau tidak untuk bangunan yang runtuh itu, tetapi ia amat berguna jika dikaji semua itu sebelum didirikan bangunan. Sama juga halnya dengan tragedi di Baling ini.

Pihak JKR sepatutnya prihatin dengan masalah ini. Saya juga merupakan pengguna yang kerap melalui jalan ini dan mengakui bahawa laluan di kawasan kejadian agak berbahaya kerana kecerunan bukit tersebut adalah melebihi 10 darjah.

Malah sebelum ini pun sudah enam kes kemalangan maut berlaku di kawasan ini. Kalau pihak JKR benar-benar bertanggungjawab dan prihatin, sudah tentu pada kemalangan maut yang pertama atau yang kedua adalah memadai untuk pihaknya mengurangkan kecerunan bukit tersebut.

Saya fikir selepas ini pun pihak JKR tidak akan mengubah kecerunan bukit tersebut, agaknya mahu menunggu kemalangan maut yang kelapan.

Pihak JPJ pula perlu teliti, iaitu sebelum mengeluarkan surat kelulusan perlu memeriksa betul-betul kenderaan tersebut.

Manakala pihak yang secara langsung terlibat ialah syarikat bas. Ia bertanggungjawab terhadap bas-bas, pemandu dan pekerjanya.

Sepatutnya, bas yang hendak digunakan untuk perkhidmatan atau rombongan keluarga seperti ini hendaklah bas yang baik, selamat dan memenuhi spesifikasi yang telah disyaratkan.

Tidak hanya ingin mengaut keuntungan hingga mengabaikan ciri-ciri keselamatan seperti brek tidak makan,lampu tidak menyala, tayar tiada bunga dan sebagainya.

Pemandu juga harus dipilih daripada mereka yang berpengalaman, bertanggungjawab, sabar dan mengetahui hal-hal teknikal yang berkaitan dengan bas yang dipandu.

Ini tidak, sudah tahu bas itu rosak-rosak, janganlah teruskan perjalanan, mintalah bantuan. Jika teruskan juga, ia mengundang bencana. Inilah pemandu yang dikatakan tidak bertanggungjawab.

Segala kejadian yang berlaku, kita baliklah kepada ketentuan Ilahi. Kepada keluarga mangsa saya mengucapkan takziah dan bersabar dengan dugaan Tuhan ini.

Mungkin kejadian ini akan membuka mata semua pihak kerana memang sudah menjadi tradisi masyarakat kita `bila terhantuk baru tengadah.' Sudah berlaku barulah bersuara, tetapi bolehkah suara-suara itu menutup kesedihan anak yang sudah piatu, isteri yang sudah balu dan suami yang sudah duda? Siapa yang perlu menjawab persoalan ini? - ZULKEFLI HAMAT, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum