RENCANA

Utusan Malaysia 27 April 2001

Melengkapkan TLDM dengan senjata dan ilmu


ABU BAKAR.

Oleh: MOHD. RADZI MOHD. ZIN
TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditubuhkan 67 tahun lalu kini semakin matang dan berkebolehan, baik dari segi pemilikan senjata pertahanan mahupun mengawasi perairan negara.

Biarpun dari segi perolehan aset pertahanan, TLDM masih ketinggalan dalam beberapa aspek namun keberkesanan dalam operasinya terus berada pada tahap membanggakan dan disegani oleh negara-negara jiran.

Penaikan taraf jawatan Panglima Tentera Laut (PTL) ke taraf Laksamana (setaraf Jeneral) 23 Jun 2000 membuktikan pengiktirafan kerajaan kepada armada laut negara yang telah sekian lama menabur bakti bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan negara terus terpelihara.

Tahun ini, `Pengetahuan-TLDM' atau `K-Navy' dipilih sebagai tema sambutan ulang tahunnya dalam meneruskan kesinambungan tema tahun lalu iaitu `Membudayakan Kecemerlangan TLDM'.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abu Bakar Jamal berkata, tema itu dipilih untuk menjadikan TLDM terus kompetitif dalam abad ke-21.

Katanya, ia juga mengambil kira usaha kerajaan untuk menerapkan budaya pengetahuan dalam setiap bidang.

``TLDM sebagai sebuah masyarakat tidak mahu ketinggalan mengejar dan menjayakan matlamat nasional.

``Manusia akan jadi relevan hanya melalui pengetahuan dan anggota kita perlu mempunyai pengetahuan yang cukup untuk mengendalikan peralatan dan kapal-kapal yang ada,'' katanya dalam temu bual di pejabatnya, baru-baru ini.

Tema itu diharap mampu memberi kesedaran kepada warga TLDM agar sentiasa meningkatkan kemajuan diri melalui ilmu pengetahuan baik yang disediakan melalui kursus dalam perkhidmatan ataupun melalui inisiatif masing-masing.

Kepentingan ilmu pengetahuan juga akan meningkatkan kesedaran dan kecekapan sekali gus melahirkan warga tentera yang lebih baik dan berupaya menjalankan tugas yang sealiran dengan keperluan negara.

Abu Bakar menjelaskan, TLDM telah pun memulakan kerajaan elektroniknya melalui rangkaian Markas Tentera Laut (MTL-net).

Usaha itu dilihat sebagai melaksanakan pengurusan tanpa kertas yang mana semua urusan antara pejabat dan MTL dibuat melalui komputer dan e-mel.

Katanya, komputer boleh membantu membuat keputusan yang cepat melalui analisis yang sebelum ini dijalankan secara manual.

Namun Abu Bakar menjelaskan pelaksanaan tersebut tertangguh sedikit kerana ada masalah perkakasan yang lambat sampai. Bagaimanapun beliau berharap sistem komputer itu akan berfungsi sepenuhnya dalam masa terdekat.

``Matlamat kita ialah menjadikan warga TLDM bukan sahaja celik komputer tetapi juga mahir menggunakannya,'' jelas Abu Bakar.

Untuk tujuan itu aplikasi Commercial-Off-The Shelf Software (COTS) juga telah diuji dan ia didapati mampu mengurangkan kos pembelian barang-barang aset pertahanan.

Ditanya mengenai penaikan taraf jawatan Panglima TLDM kepada Laksamana, Abu Bakar berkata, ia berdasarkan konteks pertahanan negara kini yang melihat ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sama penting.

Memang dari segi sejarah, Tentera Darat adalah lebih besar dan lebih awal ditubuhkan iaitu pada 1 Mac 1933 namun perspektif pertahanan negara kita memutuskan bahawa dalam peperangan ketiga-tiga perkhidmatan adalah diperlukan untuk menewaskan musuh.

``Namun ia tidak memberi impak dari segi kemampuan kerana dalam tugas, tidak kira sama ada dua bintang (Laksamana Muda) atau tiga bintang (Laksamana Madya), tugas perlu dilaksanakan,'' jelas beliau.

Dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8), kerajaan telah mengumumkan beberapa perolehan baru untuk TLDM.

Ini termasuklah helikopter generasi baru Super Lynx, kapal selam dan helikopter Fennec untuk melengkapkan TLDM dengan aset ketenteraan terkini.

Abu Bakar memberitahu, berdasarkan kepada kemampuan ekonomi negara, perolehan aset itu berupaya digunakan untuk mempertahankan perairan negara.

Katanya, aset-aset pertahanan ini memakan kos yang tinggi kerana tiada yang murah dalam pertahanan.

Bagaimanapun, jelasnya, pelaburan terhadapnya amat perlu kerana jika pertahanan negara goyah ia tidak mendatangkan perasaan gerun terhadap pihak yang cuba menggugat keamanan dan keselamatan Malaysia.

``Kalau nak kata cukup memang tidak cukup. Tentera Laut Amerika juga kalau ditanya akan kata tidak cukup, tetapi kita harap ekonomi negara akan lebih berkembang untuk kita mendapatkan lebih banyak peruntukan,'' katanya.

Menurut Abu Bakar, perolehan aset-aset itu pula bukanlah untuk berlumba senjata sebaliknya untuk menggantikan aset yang lama dan memodenkan TLDM.

``Hubungan kita dengan tentera laut jiran amat rapat malah sebelum membeli kita sudah memberitahu mereka, begitu juga apabila mereka memberitahu hendak membeli sesuatu aset, kita kata bagus,'' jelasnya.

Dalam masa yang sama, Abu Bakar menegaskan, TLDM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menceroboh perairan negara.

TLDM, kata Abu Bakar akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang antarabangsa dan tidak akan teragak-agak menggunakan kekerasan yang minimum.

``Saya ingin menekankan kita akan terus menguat kuasa undang-undang untuk memelihara kepentingan perairan negara.

``Kalau nak memberontak atau menculik buat di negara sendiri jangan masuk ke Malaysia,'' tegas beliau.

Dari segi kegiatan lanun, Abu Bakar menjelaskan, kebanyakan kes berlaku di perairan Indonesia tetapi disebabkan ia dalam Selat Melaka maka berlaku konotasi ia berlaku di Malaysia.

Namun katanya, perkara itu tidak membimbangkan dan terkawal terutama setelah agensi penguat kuasa yang bertanggungjawab iaitu Polis Marin menjalankan kawalan yang kerap.

Jelas beliau, sejak beberapa bulan lepas rondaan Polis Marin di sekitar Tanjung Piai, Johor berjaya mengawal kegiatan itu.

Mengenai keselamatan di Pulau Sipadan dan Pandanan, Sabah di mana berlaku penculikan oleh kumpulan Abu Sayyaf tahun lalu, Abu Bakar berkata, TLDM kini komited mengawal kawasan berkenaan untuk mengelak kejadian yang sama berulang.

Katanya, kes itu berlaku mungkin akibat perasaan sambil lewa tentang keselamatan terutama di kawasan sempadan perairan negara.

Beliau mengakui kejadian itu mungkin disebabkan kurang mantapnya risikan sehingga tidak menjangka insiden itu boleh berlaku.

``Memang ada kelemahan kerana selama ini insiden sedemikian tidak pernah terjadi tetapi kalau kita berkawal ketat sekalipun kalau seseorang itu bertujuan nak membuat sesuatu, mereka akan lakukan juga,'' jelasnya.

Insiden itu juga, katanya, membuka mata di kalangan pengusaha pusat peranginan yang selama ini memandang serong apabila kapal TLDM berlabuh di kawasan mereka kononnya menjejaskan perniagaan.

Katanya, kehadiran kapal dan anggota TLDM bertujuan mengawasi keselamatan pusat peranginan mereka dan juga para pelancong.

``Apa pun, kita tidak boleh berdiam diri walaupun tugas sebenar mengawasi kegiatan ini terletak pada Polis Diraja Malaysia tetapi mungkin kerana kekurangan aset, ATM kini membantu.

``Rakyat Sabah juga telah sedar dan mereka mempunyai tanggungjawab menjaga keamanan dengan memberi maklumat dan bantuan kepada anggota kita yang bertugas,'' tambahnya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum