RENCANA

Utusan Malaysia 27 April 2001

Menilai pemikiran Hang Jebat

SAYA merujuk kepada kolum Fikrah yang ditandatangani Hang Jebat dalam Utusan Malaysia hari Khamis 19 April, 2001 dan ingin membuat sedikit teguran.

Hang Jebat dalam kolumnya telah membicarakan `persepsi pancaindera,' `persepsi akal atau lojik' dan apa yang dia sebut sebagai `kaedah lampau pancaindera atau lampau rasional.'

Beliau sedikit sebanyak telah menyentuh persoalan yang berhubung kait dengan sebab akibat dan dalam pertengahan tulisan tersebut, beliau telah memberi jawapan kepada soalan yang diajukannya `siapakah pula yang menciptakan Tuhan?' dengan jawapan `Tuhan jadi sendiri.'

Soalan siapa menjadikan tuhan adalah hasil bisikan syaitan dan jawapan seperti `Tuhan jadi sendiri' adalah juga jawapan hasil bisikan syaitan.

Ini adalah contoh kes banyak bertanya sesat jalan lalu tersepit dalam lingkaran syaitan.

Bagi mereka yang berpegang teguh kepada kesucian Tauhid, jawapan sedemikian tidak boleh diterima pakai, apatah lagi menjadikannya sebagai asas kepada akidah dan makrifah.

Bukan sahaja jawapan tersebut tidak boleh diterima, malah soalan asalnya juga menunjukkan ketidakrasional sipenanya.

Bila seseorang itu berkata `Tuhan jadi sendiri,' sedar atau tidak sedar beliau telah meletakkan Tuhan juga dalam ruang lingkup `kejadian' yang terikat dengan unsur `jadi', kerana persoalan yang natural yang akan timbul selepas kenyataan bahawa `Tuhan jadi sendiri' ialah `bila Tuhan itu jadi dengan sendiri' (masa) dan `di mana Tuhan itu jadi dengan sendiri.' (tempat).

Implikasi yang amat halus daripada kenyataan `Tuhan jadi sendiri' ialah Tuhan menjadi ada selepas tiada, dalam lain-lain perkataan meletak tuhan juga dalam sifat kejadian, walaupun maksudnya bukan begitu.

Pemikiran begini sudah barang tentu mengotorkan kesucian Tauhid. Maha Suci Allah daripada apa yang dikatakan mengenai-Nya. Allah tidak terikat dengan masa sedangkan Dialah yang mencipta masa dan Dia tidak tertakluk kepada satu-satu lokasi sedangkan semua tempat Dia berada.

Maha Suci Dia untuk jadi dengan sendiri. Tuhan maujud, sedia ada. Segala pujian bagi Allah yang tiada ada satu pun yang mendahului Dia. Dialah Awal sebelum Akhir dan Zahir sebelum Batin.

Seseorang wajib berhati-hati apabila berbicara mengenai tauhid dan maujud Tuhan. Ingin saya tegaskan di sini bahawa dalam soal mengenal Allah, seseorang itu dilarang bertaklid, tetapi hendaklah menggunakan penelitian dan penyelidikan tersendiri.

Saya juga ingin menegur penggunaan perkataan `persepsi' oleh Hang Jebat dalam membicarakan pancaindera, akal dan lampau rasional. Perkataan yang lebih tepat ialah `kognisi' iaitu cognition melalui pancaindera, cognition melalui intelek dan cognition melalui hati (kalbu), seperti yang nyatakan dalam al-Quran.

Al-Quran hanya menyatakan pendengaran (telinga) dan penglihatan (mata) sebagai alat cognition pancaindera, yang dengan jelas menandakan keutamaan pancaindera tersebut berbanding dengan pancaindera yang lain.

Saya rasa adalah tidak tepat dan relevan Hang Jebat menggunakan pendekatan cognition ini dan sambil itu mengaitkannya pula dengan hakikat ainul yaqin, ilmul yaqin dan haqqul yaqin dalam hujahnya untuk membenarkan sebelah pihak dan membatilkan sebelah pihak yang lain dalam kemelut politik di Malaysia masa kini.

Dalam politik soal benar dan batil bukan perkara pokok; yang menjadi pokok ialah kecekapan bagaimana seseorang itu atau mana-mana pihak boleh menggunakan alat-alat cognition untuk menzahirkan kebenaran atau kebatilan. Lumrahnya dalam politik ialah membatilkan yang benar dan membenarkan yang batil dengan pemutarbelitan fakta dan realiti.

Oleh kerana Hang Jebat menggunakan terminologi al-Quran untuk hujahnya, maka izinkan saya merujuk kepada Kitab Suci itu untuk menegurnya.

Al-Quran telah menggariskan beberapa halangan kepada cognition iaitu zalim, kufur, israf (melampaui batas) dan fisq (menyeleweng). Propaganda adalah salah satu cara untuk menyekat cognition.

Propaganda dan cara mana ia diguna pakai, adalah sama ada zalim, kufur, israf dan fisq atau keempat-empatnya sekali bergantung kepada bagaimana ia digunakan; dan propaganda lumrah digunapakai untuk membenarkan perkara yang batil dan membatilkan perkara yang benar sehingga pihak massa kelabu alat-alat cognition mereka dan tidak berdaya membuat keputusan yang betul sesuai dengan kehendak kebenaran atau kebatilan. - OMAR NOOR, Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum