RENCANA

Utusan Malaysia 27 April 2001

Cerita sebenar tentang Myanmar

MUKADIMAH
SELAMA ini, Myanmar adalah cerita tentang iklim politik yang kacau-bilau, hak asasi manusia yang tidak dihormati, ekonomi yang jauh ke belakang, kemiskinan dan kemunduran melata serta segala macam gambaran buruk yang dilemparkan kepadanya.

Tetapi apakah gambaran yang sering diterima melalui laporan media-media Barat itu, benar belaka?

Wartawan NOOR AZAM SHAIRI dan jurugambar AZLI AHAD mengikuti lawatan ke negara yang juga dikenali dengan julukan `Bumi Emas' itu selama lapan hari bermula 17 April lepas, untuk melihat sendiri dan memahami keadaan politik, ekonomi dan sosial Myanmar.

KALAU hanya bergantung kepada laporan media Barat, Myanmar akan dipercayai sebagai sebuah negara yang tidak aman, tegang iklim politiknya selain begitu mundur dan terkebelakang dari segi ekonomi.

Selebihnya, kerana ia diperintah oleh kerajaan tentera atau dalam bahasa Myanmar disebut tadmadaw, bayangan yang mungkin bermain dalam kepala kita ialah tentera akan kelihatan di mana-mana memenuhi jalan raya.

Tetapi perjalanan merentas negara yang juga dijuluk sebagai suvannabhumi atau `bumi emas' itu menghapuskan sama sekali pandangan awal kami tentang Myanmar.

Myanmar yang kami lihat adalah sebuah negara yang sedang giat membangun dengan segala kekuatan dan kelemahan yang ada padanya selain terpaksa menghadapi pelbagai tekanan di sekelilingnya.

Kerana ia sebuah negara yang mempunyai banyak sungai dan dibelah dua oleh Sungai Ayeryarwady (Irrawaddy), rangkaian jalan raya lengkap dengan jambatan telah dan sedang dibina bagi memudahkan sistem perhubungan.

Sebuah lapangan terbang antarabangsa sedang dirancang dibina di ibu negaranya, Yangon untuk menggantikan lapangan terbang sedia ada. Di Mandalay, bandar kedua terbesar di Myanmar, sebuah lapangan terbang antarabangsa yang baru sudah mula beroperasi sejak 17 September tahun lalu.

Pada masa yang sama, kerajaan tadmadaw itu giat membina empangan hidroelektrik untuk bekalan tenaga, yang sekali gus akan digunakan untuk kemudahan pengairan aktiviti pertaniannya.

Menurut Setiausaha 1, Majlis Keamanan dan Pembangunan Negara (SPDC), Myanmar, Leftenan Jeneral Khin Nyunt, semua pembangunan itu baru saja berlaku sejak tentera mengambil alih pentadbiran negara itu pada tahun 1988.

``Perubahan yang saudara-saudara lihat ini hanya berumur 10 tahun. Daripada pondok-pondok kayu, kami membina bangunan-bangunan moden,'' kata Khin Nyunt, ketika kami membuat kunjungan hormat menemuinya selama lebih kurang 45 minit, petang Isnin lepas.

Dalam erti kata lain, Khin Nyunt cuba memberitahu bahawa Myanmar sepuluh tahun lalu cukup berbeza dengan apa yang kami lihat itu.

Kerajaan tentera mula mengambil alih tampuk pemerintahan selepas kebangkitan pelajar prodemokrasi yang kemudiannya bertukar menjadi kacau-bilau pada tahun 1988. Ketika itu, kerajaan tadmadaw menamakan diri mereka Majlis Pemulihan Undang-Undang dan Ketenteraman Negara (SLORC).

Nama itu diganti pada akhir tahun 1997 kepada SPDC, sebagai gambaran kesungguhannya mahu membangunkan negara itu selangkah demi selangkah.

Kami dapat menangkap bahawa usaha membangunkan Myanmar dalam masa sepuluh tahun itu adalah satu kerja yang cukup sukar.

Selain berdepan dengan sekatan ekonomi yang dipelopori oleh Amerika Syarikat, kerajaannya terpaksa menghadapi pemberontakan kumpulan etnik minoriti.

``Kami berdepan dengan kebangkitan pemberontak ini sejak merdeka lagi,'' kata Timbalan Menteri Luar Myanmar, U Khin Maung Win, dalam pertemuan singkat selepas satu jamuan makan malam, sehari sebelum itu.

Pemberontakan yang tidak pernah berhenti sejak ia merdeka pada tahun 1948 itu, adalah warisan penjajah British. British meninggalkan Myanmar (atau ketika itu, Burma), perlembagaan yang membenarkan kumpulan etnik minoriti negara itu memilih untuk keluar daripada persekutuan, sekiranya ia mahu, selepas 10 tahun merdeka.

Myanmar mempunyai 135 kumpulan etnik. Bamar adalah kumpulan terbesar iaitu kira-kira 70 peratus daripada 52 juta penduduk negara itu diikuti oleh kumpulan etnik utama lain seperti Kachin, Kayin (Karen), Chin, Mon, Rakhine dan Shan.

``Tempat-tempat yang saudara-saudara lawati, Mongla dan Laukkai itu dulunya tidak dapat dibangunkan kerana pemberontakan,'' kata Khin Nyunt.

Kedua-dua bandar itu dahulunya kawasan penanaman popi. Hari ini, ia sudah dibangunkan semula melalui program 15 tahun pembasmian dadah yang bermula sejak 1999. Kawasan pedalaman itu sudah mula menikmati arus pembangunan. Jalan raya melingkar di kawasan berbukit itu, sekolah dan hospital juga dibina dan rumah-rumah batu tumbuh menggantikan pondok-pondok kayu.

``Tahap kehidupan sudah mula meningkat dan sudah ada perpaduan di kalangan rakyat,'' katanya.

Khin Nyunt percaya politik dan ekonomi mempunyai hubungan kaitnya yang tersendiri. Katanya, kestabilan politik, keamanan dan ketenteraman adalah kunci kepada kemakmuran ekonomi. Tanpa kestabilan katanya, ekonomi tidak boleh tumbuh subur.

Maka itu, sejak 1988, kerajaan tadmadaw telah memulakan usaha rundingan damai dengan puak pemberontak, dan mereka berjaya.

Seperti yang disebut oleh Pegawai Kajian Strategik, Kementerian Pertahanan Myanmar, Leftenan Kolonel Hla Min, falsafah yang dipegang oleh Myanmar ialah `keamanan bukan segala-galanya, tetapi tanpa keamanan semuanya tidak bermakna'.

Hari ini, hanya tinggal satu kumpulan pemberontak lagi yang masih aktif manakala 17 kumpulan lagi sudah menandatangani perjanjian damai dan kembali dalam lingkungan Myanmar yang bersatu untuk memajukan negara.

``Keamanan telah kembali ke segenap penjuru Myanmar kecuali di beberapa tempat yang bersempadan dengan Thailand,'' kata Timbalan Menteri Luarnya.

Selepas lapan hari berjalan di Myanmar, kami mendapat gambaran baru tentang bumi emas itu bahawa tidak semua apa yang dilaporkan oleh media Barat itu benar belaka.

``Kata orang, kalau tak kenal maka tak cinta,'' ujar Khin Nyunt.

Setelah menjelajah merentas bumi emas itu kami juga mempunyai pandangan yang sama dengan beliau. Malah selebihnya, tidak keterlaluan dikatakan dengan keazaman dan semangat yang ditunjukkan oleh rakyatnya, Myanmar mampu menepati nama yang digelarkan kepadanya bumi emas yang sebenarnya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum