RENCANA

Utusan Malaysia 30 April 2001

Lembu sokong parti Islam

Oleh:SYED HUSSEIN ALATAS
MENYAMBUNG tulisan saya di Utusan Malaysia, Isnin 16 April 2001 bertajuk Lembu dan Perjuangan Islam sekitar ucapan Ustaz Buniyamin Yaakub, Pegawai Penerangan Pas, yang menyatakan bahawa lembu pun marah kelak di akhirat terhadap mereka yang tidak menyokong perjuangan Islam di dunia ini dan lembu-lembu yang disembelih untuk korban Hari Raya Haji ini akan menanduk orang-orang ini di akhirat.

Ucapan ustaz Buniyamin ini tentang sokongan lembu pada perjuangan Islam terbit dalam Harakah 16-31 Mac, 2001 kerana pastilah Harakah dan lembu Ustaz Buniyamin, Pegawai Penerangan Pas satu haluan dalam menyokong apa yang dipercayai sebagai perjuangan Islam.

Menurut suatu pepatah Yunani purba, satu orang tolol dapat menimbulkan soal yang tak dapat dijawab oleh tujuh pujangga yang arif. Sebabnya walaupun soalannya remeh atau tidak masuk di akal, tetapi di belakangnya itu ada rentetan pemikiran lainnya yang ada kaitan dengan soal itu.

Demikian juga kalau ada ucapan yang tidak masuk di akal, walaupun nampaknya sederhana, tetapi sulamnya dengan benang-benang lainnya sedia ada walaupun tidak kelihatan sebagaimana jahitan di belakang butang.

Saya ingin mengintip jahitan di belakang Ustaz Buniyamin dengan ukiran lembu menanduk. Demikianlah benang pemikiran selanjutnya di belakang butang lembu akhirat tadi.

Sebagai seorang Muslim yang memahami ajaran agama Islam, Ustaz Buniyamin akan bersetuju dengan saya bahawa makhluk-makhluk di akhirat yang kita dapat kenal pasti asalnya hidup di dunia dahulu. Semuanya yang disebut dalam Quran sebagai makhluk akhirat sebelumnya berada di dunia. Malah malaikat dan jin pun pernah berada di dunia. Demikianlah lembu-lembu Ustaz Buniyamin yang menanduk di akhirat asalnya dari dunia ini.

Yang saya ingin tahu daripada ustaz Buniyamin dari mana di dunia datangnya lembu-lembu itu? Apakah mereka datang dari Kampung Kedai Lalat dekat Kota Bharu, Kelantan, dari Bukit Apit, Terengganu, dari Bergen-op-Zoom negara Belanda, ataupun daripada pembela-pembela orang Sikh di Punjab, India?

Yang di Malaysia mereka dari kandang mana, orang Pas atau UMNO? Yang menanduk pemimpin UMNO kerana tidak berjuang atas landasan Islam, yang dikatakan tersasar daripada perjuangan nabi oleh Harakah, apakah ini lembu dari Bunut Susu turunan lembu dari Kampung Peringat dekat Kota Bharu, Kelantan?

Adakah kemungkinan yang dipilih di akhirat nanti lembu-lembu jantan dari Denmark yang badannya jauh lebih berat dan lebih hebat tandukkannya?

Jangan lupa lembu ini akan ditugaskan oleh Allah di akhirat untuk menjalankan hukum terhadap manusia dan di Malaysia ini terutamanya orang-orang UMNO.

Yang lebih teruk lagi yang keluar dari Pas masuk UMNO. Mungkin yang ditugaskan banteng (seladang) dari hutan gunung Merapi, Jawa. Mungkin juga yang menonton peristiwa menanduk ini para malaikat dan jin. Lembu lebih diutamakan dalam tugas ini daripada malaikat dan jin.

Dari mana Ustaz Buniyamin dapat bertelor fikiran macam ini? Dari lembu buniyan, dari Quran dan hadis daripada Mursyidul Am Pas, Tok Guru Nik Aziz, ataupun daripada impiannya sendiri?

Yang penting dalam soal ini bukan sang lembu di akhirat tetapi ustaz Buniyamin di Bunut Susu, yang mengeluarkan pendapat tentang agama dengan sesuka hati tanpa memikirkan kesan-kesan sampingannya.

Salah satu kesan sampingan adalah terhadap partinya sendiri, iaitu Pas. Pegawai Penerangan Pas rupanya bertindak juga sebagai pegawai penerangan akhirat. Bilakah beliau dilantik sebagai pegawai penerangan akhirat? Siapa yang melantiknya? Tuhan atau lembu-lembu yang asyik menanduk orang-orang UMNO? Kalau beliau dilantik oleh lembu-lembu di akhirat, ini tanpa pengetahuan pimpinan Pas kerana saya yakin bahawa pimpinan Pas tidak akan menerima sah cadangan dari jemaah lembu di akhirat kerana mereka tidak sesama lembu.

Ustaz Buniyamin perlu betul-betul memahami ajaran Islam sekitar binatang-binatang dan makhluk-makhluk hidup lainnya. Dalam al-Quran terdapat enam surah dengan nama binatang dan makhluk hidup lainnya seperti al-Baqarah (lembu), al-Ankabut (labah-labah), al-Naml (semut), al-Nahl (lebah) dan al-Anam (binatang ternak bertanduk termasuk lembu).

Bahawa nama surah itu nama binatang ataupun serangga dan lainnya tidak bermakna bahawa isinya itu tertumpu pada yang dinamakan. Surah al-Baqarah bukan semuanya tentang lembu. Daripada 286 ayat hanya lima sahaja tentang lembu sekitar upacara korban. Dalam keseluruhan Quran hanya ada sembilan ayat tentang Baqarah (lembu).

Tidak pernah Quran menyebut tentang tugas binatang atau semut di akhirat. Isi Quran sekitar penghidupan kita di dunia yang dikaitkan pada iman dan akhirat sebagai panduan.

Demikian juga dalam Quran tidak ada disebut orang yang dilantik memberi penerangan tentang akhirat sebagaimana dilaksanakan oleh Ustaz Buniyamin atas berita lembu-lembu menanduk mereka yang tersasar daripada perjuangan Islam. Yang susah saya terima ialah, apakah yang mendakwa orang yang tersasar daripada perjuangan Islam, sebagaimana yang disuarakan oleh Ustaz Buniyamin, dirinya sendiri, tersasar dari pemikiran Islam?

Yang lebih menakutkan lagi apakah sikap membuat-buat cerita-cerita tentang agama akan diperluas ke bidang-bidang lain selain daripada lembu di akhirat? Apakah parti Pas nanti akan dipengaruhi dengan sikap demikian kalau sudah dibiasakan dengan cerita-cerita agama khayalan oleh pegawai penerangannya.

Saya percaya parti Pas akan dinasihatkan oleh Mursyidul Am mereka jangan terlaju lidah menyanyikan lagu-lagu agama rekaan sendiri. Junjungan kita sendiri dinasihatkan dalam al-Quran jangan terlaju dalam membacakan ayat-ayat yang diturunkan padanya (lihat surah al-Qiyamah (75) ayat 16). Ini kerana segalanya tentang agama mesti hati-hati disampaikan.

Disiplin yang diletakkan oleh Allah pada nabi-nabi sangatlah ketat. Mengapa pula kita longgarkan bagi pegawai penerangan Pas yang semestinya menjadikan nabi-nabi sebagai contoh dalam perjuangan Islam?

Contoh daripada nabi-nabi dan rasul-rasul yang penting dan berat sekali adalah tidak menambah ajaran agama tanpa izin Allah. Surah al-Ra'd, ayat 88, melarang rasul-rasul membawa ayat tidak dengan izin Allah. Menurut firman Allah ini, bukanlah hak seorang rasul untuk mendatangkan sesuatu ayat melainkan dengan izin Allah.

Dengan sendirinya bukanlah hak pegawai penerangan Pas untuk mendatangkan cerita-cerita rekaan sendiri mengenai kejadian di akhirat tanpa izin Allah. Rasul-rasul pun tidak diberi hak untuk cerita tentang akhirat seolah-olah mereka melihatnya sendiri, sebagaimana lembu menanduk, yang boleh dilihat oleh orang-orang yang sedang duduk minum kopi di Kampung Kedai Lalat di Kelantan.

Fasal lalat di akhirat pun kita tidak boleh cerita apatah lagi tentang lembu. Akhir sekali ingin saya menjemput Ustaz Buniyamin Yaakub bersama saya sendiri untuk dengan sekuat tenaga rohani mentaati perintah surah al-Isra, ayat 36: Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak berpengetahuan tentangnya. Seluruh umat Islam yang taat pada pemikian Islam akan menghormati perintah ini.

Buah kuini jadikan gurau,

harumnya sedap warnanya hijau.

Yang diingini lahirkan risau,

jika menyanyi di dalam ngigau.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum