RENCANA

Utusan Malaysia 30 April 2001

Masa depan regionalisme primitif

PERKATAAN regionalisme membawa maksud sesuatu yang berasal dari sesebuah daerah yang mempunyai kesamaan dari segi perspektif iklim. Aliran regionalisme boleh dibahagikan kepada dua pendekatan iaitu regionalisme mesin dan regionalisme primitif. Regionalisme Primitif adalah suatu pendekatan yang mementingkan respons bangunan kepada iklim tetapi ia menggunakan kembali bahan-bahan tradisi seperti kayu dan batu sebagai bahan binaan utama yang boleh memberi suatu kesan rupa `kematangan' apabila bahan-bahan berhadapan dengan serangan elemen-elemen iklim setempat.

Penggunaan bahan kayu dan batu ini terdapat pada bangunan-bangunan pusat peranginan seperti Datai di Langkawi, Palm Springs di Selangor, Sebana dan Hotel Sofitel di Johor. Rumah Walian, Masjid ASPA dan kompleks riadah Hutan Bandar Johor juga boleh disifatkan sebagai contoh bangunan bukan peranginan yang menggunakan pendekatan ini.

Dalam kesemua bangunan peranginan yang disebutkan, penggunaan batu sebagai asas lantai dan dinding bawah serta penggunaan kayu sebagai badan utama bangunan merupakan ciri-ciri terserlah. Penggunaan kedua-dua bahan ini dapat mencadangkan kesinambungan tradisi binaan di Malaysia yang memang mempunyai tradisi pembinaan kayu pada rumah-rumah Melayu serta tradisi pembinaan batu pada zaman Hindu masa lampau seperti yang terdapat pada kesan peninggalannya di Lembah Bujang. Tambahan lagi penggunaan kedua-dua bahan ini dapat memberi kesan psikologi tentang ketuhanan dari aspek semantik kekekalan dan kesinambungan primitif kewujudan manusia.

Bangunan-bangunan juga dibina dengan mengimbau kembali bangunan yang lebih kecil daripada saiz-saiz komersial biasa. Pada zaman dahulu, elemen-elemen binaan seperti alang dan tiang mempunyai saiz-saiz kecil berbanding dengan keupayaan penghasilan produk binaan masa kini kerana waktu itu kaedah pembinaan hanya bergantung kepada tenaga manusia dan gajah. Teknologi struktur rentang panjang seperti penggunaan kekuda belum wujud lagi. Hasilnya adalah bangunan berskala domestik yang mempunyai banyak tiang. Perkara inilah yang ingin ditonjolkan oleh bangunan-bangunan peranginan itu.

Ciri ketiga adalah penggunaan bumbung panjang, meru dan limas yang memang terserlah dalam reka bentuk bangunan regionalisme primitif di Malaysia. Sememangnya bentuk-bentuk bumbung tersebut merupakan warisan seni bina tradisi di negara ini. Penggunaan bumbung-bumbung itu dapat menjalin hubungan sejarah warisan di samping sebagai tindakan semula jadi kepada penggunaan kayu sebagai bahan binaan. Sesungguhnya pembinaan kayu memerlukan bumbung-bumbung sedemikian dan bukannya bumbung rata.

Ciri keempat pendekatan ini bersabit dengan perancangan atau tataatur bangunan-bangunan pada tapak. Perancangan kompleks yang menggunakan pendekatan ini adalah secara berselerak dengan tujuan pengudaraan tropika yang memerlukan konsep keterbukaan dan membenarkan tumbuh-tumbuhan menjadi dominan kepada perancangan tersebut. Keutamaan landskap lembut yang dibenarkan tumbuh di celah-celah atau ruang perantaraan bangunan amat ketara sekali dalam pendekatan ini. Tujuan utamanya, selain aspek pengudaraan ialah untuk memberi kenyataan peri pentingnya alam semula jadi sebagai elemen yang mengingatkan manusia kepada kejadian asal primitifnya serta kehebatan ciptaan Tuhan. Semangat primitivisme ini cukup penting bagi menghasilkan kesedaran manusia sebagai sebahagian daripada keseluruhan kosmos sahaja.

Penulis berpendapat bahawa pendekatan regionalisme primitif ini berasal daripada Frank Lloyd Wright, walaupun pada kebiasaannya ia dikaitkan dengan pengaruh daripada Geofrey Bawa. Besar kemungkinannya Geofrey telah dipengaruhi oleh kerja-kerja dan falsafah Wright.

Wright yang disifatkan oleh ahli sejarawan seni bina sebagai salah seorang `pintar' terpenting dalam aspek prinsip estetika dan reka bentuk moden kurun keduapuluh. Reka bentuk seni bina pada awal kurun kedua puluh telah dikatakan mempengaruhi gerakan kubisme di Eropah. Prinsip reka bentuk `organik' yang mementingkan keseimbangan antara alam semula jadi dan rekaan manusia telah memberi nafas baru dan falsafah penting bagi arah seni bina di Amerika Syarikat dan serata pelosok dunia. Beliau juga terkenal dengan pemikiran inovatifnya dari aspek sistem kerangka kayu dan konkrit serta integrasi kemudahan bangunan.

Beliau juga berjaya mencetuskan suatu kaedah abstraksi ornamen berasaskan tumbuh-tumbuhan dan elemen-elemen semula jadi yang lain. Pada masa arkitek Eropah terpesona dengan `Seni Bina Putih' yakni bercirikan estetika mesin, Wright mereka bentuk bangunan yang bergaya tradisi atau pun vernakular yang lebih sensitif kepada lokasi setempat. Walaupun para arkitek Amerika Syarikat sezaman dengannya tidak berapa mengendahkannya tetapi ia disanjung tinggi oleh jurubina Eropah yang mempamerkan hasil kerjanya. Bangunan-bangunan ciptaannya seperti Rumah Robie, Rumah Ward Willitts, Unity Church, Bangunan Pejabat Larkin, Rumah Kediaman Fallingwater, Bangunan Pejabat Johnson Wax, Menara Price dan Galeri Seni Guggenheim menjadi mercu tanda kejayaan beliau mencipta seni bina yang bercirikan estetika abadi, penggunaan ruang yang berkesan dan teknologi kreatif.

Hasil kerja Wright yang awal dikenali sebagai Seni Bina Prairi. Gaya rupa Seni Bina Prairi telah diberikan kepada reka bentuk segelintir arkitek Amerika yang mementingkan bahasa seni bina vernakular Amerika dengan menggunakan bahan binaan seperti batu bata dan kayu yang berbeza dengan orang Eropah yang mula menggunakan konkrit, keluli dan kaca seluas-luasnya. Gaya ini juga berbeza dengan gaya Ecole des Beaux Arts yang mementingkan penggunaan batu dan kemasan marmar serta reka bentuk bersimetri. Pada reka bentuk Rumah Robie dan Ward Willitts, Wright mengajukan suatu sintaksis estetika seni bina yang amat menarik sehingga ke zaman ini.

Ciri-ciri utama reka bentuk seni bina organik yang dipeloporinya adalah seperti berikut. Pertamanya komposisi elemen dan `proportion' bangunan yang mendatar yang menggunakan garisan dataran yang terserlah. Garis datar ini dikatakan mempunyai simbol dataran padang Prairi serta bebas. Keduanya adalah penggunaan bahan binaan kayu serta batu yang tahan cuaca dan yang dihasilkan secara semula jadi. Ketiga, bumbung yang luas menutupi kawasan dalaman serta tunjangan perapian memberi simbol kekukuhan keluarga. Keempatnya pelan lantai yang terbuka tanpa banyak dindingan pembahagi ruang memberi simbol kebebasan demokrasi, kemudahan pergerakan dan pencahayaan yang terang. Kelimanya bangunan yang mempunyai tapak atau yang kelihatan kukuh memberi gambaran sebatang pohon yang berakar tunjang yang dalam.

Keenam adalah penggunaan lebih daripada satu paksi pada reka bentuk pelan bangunan. Kepelbagaian paksi ini menjadikan rumah itu seolah-olah menjalar pada keseluruhan tapak dan membenarkan pertumbuhan bangunan sambungan tanpa merosakkan komposisi asal.

Kekuatan pendekatan ini terletak kepada suatu penghasilan seni bina yang sebati dengan sistem cuaca serta iklim setempat serta memberi kesinambungan bahasa seni bina warisan yang kukuh. Pendekatan ini dapat menghasilkan bangunan yang menjadi `matang' setelah lama `dibelai' iklim dan cuaca setempat. Penggunaan batu, daun dan kayu sebagai elemen semula jadi tidak memerlukan usaha mengecat atau melepa. Bagi sesuatu produk yang terpaksa digunakan sehingga beberapa ratus tahun, perkara ini amat penting dari perspektif kos dan aset visual.

Pendekatan ini pun boleh menghasilkan bangunan yang berskala kecil kerana keupayaan bahan serta teknologi struktur. Skala yang kecil pada bangunan dapat mengelakkan suatu kompleks bangunan itu daripada mempunyai ketumpatan penduduk yang ramai dan menggalakkan interaksi sosial.

Perkara ini amat penting dari segi ekologi kerana menjunjung kedudukan semula jadi sesuatu tempat harus dihormati agar masalah `kesesakan' tidak berlaku. Daripada penggunaan bahan semula jadi dan penghasilan bangunan berskala kecil, suatu kesinambungan dengan warisan tempatan dapat dijalin dan ini menyemarakkan suatu semangat identiti sendiri. Dari sudut agama ketimuran yang mementingkan kontemplasi terhadap alam semula jadi, penggunaan bahan-bahan seperti batu dan kayu yang bukan buatan manusia seperti konkrit dan keluli dapat mencetuskan perasaan `eternal' atau hakiki yang menjalinkan hubungan rapat dengan asal-usul primitif yang beribu-ribu tahun dahulu.

Regionalisme Primitif membawa mesej seni bina lestari yang bakal menjadi tonggak seni bina masa depan. Dengan kehadiran cara kerja menggunakan Internet maka hayat bangunan pejabat di ambang kemusnahan. Sistem perbandaran masa depan bukan lagi berteraskan kepadatan kependudukan tetapi ia bersifat lebih bebas dan terbuka dengan perumahan serta tempat rekreasi menjadi sasaran tempat berkerja yang baru.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum