RENCANA

Utusan Malaysia 30 April 2001

Tidak perlu ISA atasi politik wang

BERITA muka surat 11 akhbar Utusan Malaysia 23 April 2001 yang bertajuk Tindakan ISA jika amal politik wang amat membimbangkan saya sebagai seorang rakyat Malaysia. Bukan kerana saya seorang ahli politik yang terlibat dengan pemilihan jawatan parti yang terbabit dengan politik wang tetapi kerana rasional yang diberikan bagi mengguna pakai peruntukan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).

Kenyataan ini dilaporkan dibuat oleh pemimpin kerajaan semasa sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat sebuah bahagian UMNO ketika beliau diminta mengulas kenyataan Presiden parti bahawa calon UMNO yang didapati terlibat dengan politik wang akan dilaporkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Sebagai pemimpin kerajaan, kenyataan beliau ini memaparkan imej yang tidak berapa menyenangkan kepada kerajaan, kementerian dan parti.

ISA adalah satu akta yang serius bagi bertindak sebagai alat cegah rintang bagi menentukan elemen-elemen subversif dan antinasional yang boleh menjejaskan keselamatan kebangsaan akan dapat dibendung.

ISA bukan sebagai satu alat kepada mana-mana individu dalam kerajaan mahupun parti bagi digunakan untuk menakut-nakutkan atau mengacah pihak lain walaupun mereka dianggap terbabit dengan politik wang.

Jika ia digunakan secara ancaman mahupun digunakan secara yang serius untuk tujuan sedemikian, saya bimbang ia akan mendatangkan krisis keyakinan dan kewibawaan kepada akta itu sendiri.

Rakyat akan mula tertanya-tanya, kenapa akta tersebut hendak digunakan untuk kepentingan politik kepartian? Jika ini diteruskan, ia boleh mendatangkan tanggapan sebagai satu bentuk penyalahgunaan kuasa lantas menjejaskan lagi usaha parti bagi mengukuhkan imej dan memulihkan sokongan dan keyakinan massa kepada kemurnian perjuangannya.

Hari ini pun ada segmen besar rakyat yang tidak bersetuju dengan akta tersebut walaupun telah terbukti keberkesanannya dalam menjamin kestabilan negara. Malah kestabilan itu yang telah membuahkan hasil kemakmuran kepada negara dan rakyat.

Janganlah disebabkan kenyataan yang kurang berhati-hati dan cermat ahli politik yang juga pemegang jawatan dalam kerajaan menyebabkan akta berkenaan kehilangan nilai pencegahannya dan menjadi bahan lelucon rakyat.

Saya berdoa agar apa yang dilaporkan itu hanyalah kesilapan teknik komunikasi. Kalau tidak ia berpotensi membawa impak yang negatif kepada imej kerajaan dan parti.

Gejala politik wang dalam UMNO sewajarnya ditangani oleh Lembaga Disiplin UMNO, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti dan jika wajar buat aduan kepada BPR.

Sebenarnya untuk mencabut gejala politik wang dalam UMNO hingga ke akar umbi memerlukan kerjasama dan iltizam daripada setiap ahli dan pemimpin UMNO dari peringkat cawangan, bahagian, perhubungan negeri dan MKT. Selagi setiap ahli UMNO mengambil sikap acuh tidak acuh atau hanya beretorik tentang soal ini, selagi itulah masalah ini tidak akan selesai.

Apa yang malang dan kadangkala mungkin tidak disedari oleh ahli UMNO ialah gejala politik wang boleh memusnahkan parti dan jika parti hancur, yang rugi bukan orang UMNO sahaja tetapi setiap anak Melayu akan kehilangan tempat berteduh.

Alangkah baiknya jika hanya sebahagian kecil keghairahan, sumber serta kepakaran strategik merebut jawatan yang disalur dan dipamerkan sepanjang pemilihan bahagian UMNO ini didermakan untuk meleng-kapkan jentera parti bagi melawan fitnah dan propaganda parti musuh. - MAZRI MUHAMMAD, Kota Bharu, Kelantan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum