RENCANA

Utusan Malaysia 01 Mei 2001

Semai perkongsian bestari

Oleh: G. MANIMARAN (WARTAWAN UTUSAN)
SATU lagi tempoh setahun selepas sambutan 1 Mei 2000 telah berlalu dan golongan pekerja termasuk tenaga kerja negara ini sekali lagi menikmati keistimewaan 1 Mei _ hari yang diabadikan sebagai hari memperingati sumbangan mereka.

Merenung sepanjang 365 hari yang lalu, ramai kemungkinan tertanya-tanya mengenai apakah sumbangan mereka kepada pembangunan diri, masyarakat dan negara. Golongan pekerja ini juga mungkin tertanya-tanya sama ada sumbangan mereka kepada organisasi masing-masing telah mendapat pengiktirafan sepatutnya.

Sumbangan dan pengiktirafan yang sewajarnya merupakan elemen utama dalam bidang perburuhan di mana-mana negara. Pekerja-pekerja Malaysia sudah tentu tidak terkecuali dalam hal ini.

Persoalan-persoalan ini sering kali timbul dalam jiwa dan fikiran kebanyakan daripada kita yang telah berkecimpung dalam dunia pekerjaan.

Tetapi yang tinggal ialah sama ada pengalaman sempena sambutan-sambutan 1 Mei lalu benar-benar mengubah kita untuk menuju masa depan yang lebih membina demi kemakmuran.

Di kalangan kebanyakan daripada kita, cuti umum sempena 1 Mei (ataupun lebih dikenali Hari Pekerja dan dahulunya sebagai Hari Buruh) hanya sebagai antara cuti umum biasa. Tidak banyak perubahan yang dicapai dengan merenung dan mengkaji pencapaian-pencapaian masa lalu.

Pada hari ini, dua pergerakan kesatuan sekerja induk menganjurkan sambutan 1 Mei di lokasi dan persekitaran yang berbeza dengan meletakkan elemen sumbangan dan pengiktirafan ke atas pekerja sebagai asas program masing-masing.

Mengupas isu ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) seolah-olah berada dalam situasi bermusuhan dengan majikan termasuk kerajaan. Di sebelah lain, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pula menganjurkan perhimpunan bersama ekoran perhubungan yang boleh disifatkan lebih harmoni.

Sambutan CUEPACS diadakan di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Bukit Kiara dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam. MTUC di premisnya sendiri di Subang Jaya dengan perarakan ringkas.

Sambutan di Subang Jaya akan kelihatan lebih serius manakala acara di Bukit Kiara kemungkinan lebih `ceria dan meriah' yang mencerminkan suasana dan pemandangan hijau kawasan sekitarnya.

Justeru, jika dibandingkan, suasana yang jelas ialah kedua-dua pergerakan ini sedang berada dalam kedudukan berbeza dalam mengeratkan hubungan pekerja-kesatuan-majikan, seterusnya mewujudkan perhubungan harmoni.

CUEPACS memilih tema Pekerja Pemangkin Kemakmuran Negara dalam erti kata perkembangan semasa yang memerlukan pekerja-pekerja khususnya kakitangan awam menghayati keperluan dan tuntutan pembangunan sumber manusia semasa.

``CUEPACS juga mahu sambutan Hari Pekerja ini melibatkan bersama ketua-ketua jabatan, bukan setakat pekerja peringkat bukan pegawai yang diamalkan masa-masa lalu.

``Pegawai-pegawai juga merupakan kakitangan yang menerima gaji daripada majikan,'' kata Setiausaha Agung CUEPACS, Abd. Rahman Manan.

Dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini, teras utama pembangunan sumber manusia ialah menyediakan asas sumber manusia yang kukuh bagi membantu pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan dan meningkatkan produktiviti dan daya saing.

Di samping itu, pengajaran mengenai nilai-nilai etika dan moral akan diperkukuh dengan memasukkan nilai-nilai tersebut dalam kurikulum latihan guru.

Perhubungan MTUC dengan majikan dan kerajaan kini berada dalam suasana yang kurang harmoni berbanding beberapa tahun lalu.

Keadaan bertambah rumit apabila kadar dividen caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengalami penurunan baru-baru ini. Selain itu, sebagaimana diketahui umum, MTUC meletakkan lima isu lain bagi menarik perhatian KWSP.

Bagaimanapun pendirian MTUC dalam isu-isu KWSP berbeza berbanding CUEPACS.

Dalam hal ini, MTUC mendakwa sumbangan pencarum KWSP tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya daripada badan berkanun itu apabila kadar dividen terus mengalami kemerosotan manakala beberapa kemudahan lain untuk kepentingan pekerja pula tidak menunjukkan kesan positif.

Tindakan perhubungan perusahaan iaitu berpiket pada 12 Mei ini merupakan satu petanda bahawa ada yang tidak kena dalam hubungan kerjasama pekerja-majikan negara ini.

Ada baiknya perkara ini diteliti demi kepentingan bersama semua pihak negara ini. Usaha menangani punca kepada kemelut ini dan mencari penyelesaian akan membantu negara ketika berhadapan dengan kegawatan ekonomi peringkat kedua ekoran kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS).

Tidak mustahil untuk kita menyaksikan semula kerjasama dan tolak ansur yang diperlihatkan oleh pekerja-pekerja ketika negara mengalami krisis ekonomi tiga tahun lalu.

MTUC pula memilih `Hapuskan Penindasan dan Martabatkan Kaum Buruh' sebagai tema sambutan kali ini.

Perkembangan-perkembangan semasa pemberhentian dan pembuangan pekerja, di samping isu-isu berkaitan dengan KWSP telah menyumbang kepada pemilihan tema tersebut, kata Setiausaha Agung MTUC, G. Rajasekaran.

Turut disertakan dalam senarai isu itu ialah cadangan pengenalan dana pampasan pemberhentian pekerja dan pelaksanaan gaji minimum yang disyorkan tiga tahun lalu.

``Isu-isu ini tidak mendapat perhatian serius pihak-pihak terbabit,'' kata Rajasekaran yang turut menambah:

``Sambutan kali ini tidak berbentuk sukaneka. Kami ingin membincangkan isu-isu berbangkit secara serius pada perhimpunan kali ini.''

Sebaliknya, beliau menambah: ``Kami hendak lebih serius dalam menganjurkan sambutan 1 Mei tahun ini.''

MTUC juga akan mengeluarkan satu deklarasi berkaitan tuntutan isu berkenaan hari ini. Bagaimanapun Rajasekaran mengakui suasana dan persekitaran perhubungan perusahaan antara MTUC dan CUEPACS berbeza sama sekali.

``CUEPACS lebih kepada perkhidmatan sektor awam manakala MTUC meliputi sektor swasta,'' jelas beliau. ``Begitu juga masalah-masalah yang dihadapi oleh CUEPACS dan MTUC,'' katanya.

Tempoh sepanjang satu tahun lalu sebenarnya berpihak kepada kepimpinan CUEPACS. Dari satu segi mereka telah berupaya membawa perubahan ekoran hubungan harmoni dan rapat dengan kerajaan. Ini termasuklah perubahan had minimum persaraan (55 tahun menjadi 56 tahun), kesediaan kerajaan mengkaji SSB dan pembayaran gaji awal.

Keadaan tidak banyak berubah tetapi menjadi lebih teruk, kata Rajasekaran. ``Kesan globalisasi ke atas pekerja-pekerja juga semakin dirasai. Dengan semua pertumbuhan yang lalui, keadaan seharusnya menjadi lebih baik tetapi tidak sebagaimana diharapkan,'' tambahnya.

Pokoknya, pembangunan negara dan pertumbuhan ekonomi memerlukan perhubungan perusahaan harmoni antara pekerja dan majikan.

Dalam perutusan sempena 1 Mei, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. Fong Chan Onn menyarankan: Suasana perhubungan yang harmoni ini secara tidak langsung akan dapat meningkatkan tahap ekonomi dan sosial warga pekerja.''

Dalam hubungan ini, kata beliau, kerajaan sentiasa berusaha mengekalkan perhubungan yang baik antara majikan-pekerja dan antara pekerja-pekerja serta antara majikan-kesatuan sekerja, di samping sentiasa memantau dan memastikan hubungan perusahaan harmoni.

Kelainan pandangan dan pendirian berbeza bukan sesuatu yang baru dalam sektor sumber manusia. Sebaliknya tumpuan dan usaha perlu disepadukan untuk memperbaiki suasana yang sedia ada demi manfaat jangka panjang secara menyeluruh.

Semangat perkongsian bestari masih belum berakar umbi dalam hubungan pekerja-kesatuan-majikan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum